Thursday, August 11, 2011

Prestasi ekonomi mutakhir menjadi petanda kegagalan dasar ekonomi Najib

Angka-angka ekonomi terkini yang baru diumumkan membayangkan ekonomi negara akan terus malap; selain dari kerugian ratusan bilion ringgit yang dialami pelabur di Bursa Kuala Lumpur sejak Jumaat lalu.

Keputusan agensi pelaburan dan penganalisa pasaran memotong unjuran pertumbuhan ekonomi negara di bawah paras 5% bagi tahun 2011 menjadi tanda-tanda bahawa dasar dan inisiatif ekonomi yang menjadi tonggak pentadbiran Najib Razak (seperti Program Transformasi Ekonomi, Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Model Ekonomi Baru) telah gagal sejak dari awal-awal lagi.

Jika prestasi ekonomi terus malap seperti yang diunjurkan, Program Transformasi Ekonomi akan gagal sebelum memasuki tahun kedua kerana ia mensasarkan pertumbuhan ekonomi 6% setahun untuk mencapai sasaran Pendapatan Kasar Kebangsaan (GNI) per kapita sebanyak RM48,000 menjelang 2020 yang diwar-warkan. Pertumbuhan ekonomi tahunan di bawah angka 5% setahun bermakna Program Transformasi Ekonomi telah gagal menarik minat pelabur walhal kerajaan menumpukan sepenuh tenaga, fokus dan jentera kerajaan untuk mempromosikannya. Jika ia gagal menarik perhatian dalam tahun pertama dan di kemuncak promosinya, bayangkan keadaannya 2-3 tahun akan datang.

Prospek yang malap ini akan diburukkan lagi dengan keadaan tidak menentu yang dialami Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Pakar ekonomi dunia sependapat bahawa krisis hutang di Eropah akan mengheret tiga ekonomi terbesarnya iaitu Itali, Perancis dan Jerman ke kancah kekalutan ekonomi seperti yang dialami oleh negara-negara Eropah lain. Jika ini berlaku, prestasi ekonomi Malaysia akan turut terkesan dan memburukkan lagi angka pertumbuhan ekonomi tahun-tahun akan datang.

Najib Razak juga perlu menerima hakikat bahawa pentadbiran beliau telah gagal mencapai sasaran pelaburan swasta yang ditetapkannya sendiri dan diumumkan sebagai strategi utama beliau menghidupkan kembali pertumbuhan ekonomi Malaysia. Sebelum ini, PEMANDU dengan gah mengumumkan bahawa 92% daripada dana untuk melaksanakan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi bernilai ratusan bilion ringgit akan dibiayai swasta.

Namun, sumber dana untuk membiayai projek-projek utama yang diumumkan masih diselubungi rahsia. Setakat ini, 77% daripada 10 projek terbesar yang diumumkan di bawah Program Transformasi Ekonomi akan dilaksanakan dan dibiayai oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Analisis 10 projek terbesar membuktikan bahawa pentadbiran sekarang masih menggunakan kaedah pergantungan kepada wang rakyat untuk mewujudkan peluang ekonomi, tetapi kini ia disalurkan melalui GLC.

Setakat ini, 10 projek terbesar di bawah Program Transformasi Ekonomi menelan pelaburan RM142 bilion, iaitu 82% daripada keseluruhan pelaburan projek-projek yang telah diumumkan berjumlah RM173 bilion. Hakikatnya, 77% daripada 10 projek terbesar di bawah pelan ekonomi Najib Razak sebenarnya menggunakan dana awam melalui GLC dan membuktikan bahawa sasaran 92% pembiayaan swasta itu tidak lebih dari angka-angka untuk kempen politik yang sudah tentu tidak akan dicapai.

Prestasi tiga penanda aras ekonomi yang paling utama (iaitu kekalutan di Bursa Kuala Lumpur, unjuran pertumbuhan yang semakin rendah saban hari dan kegagalan menarik pembiayaan swasta bagi projek-projek utama di bawah Program Transformasi Ekonomi) sudah cukup untuk membayangkan kegagalan dasar dan inisiatif ekonomi Najib Razak.

Malangnya, prospek ekonomi murung yang menyelubungi Malaysia adalah berlainan sama sekali dengan prestasi ekonomi Indonesia. Pertumbuhan ekonomi Indonesia terus meningkat pada kadar 6.5% suku yang lepas dan dijangka mencecah 7% tahun depan. Pada masa rakyat Malaysia bergelumang dengan kadar inflasi tertinggi dalam tempoh dua tahun, Indonesia pula mencatatkan kadar inflasi terendah dalam tempoh 14 bulan yang lalu. Sementara kadar kenaikan gaji hanya menokok pada angka 2.6% sahaja bagi pekerja Malaysia sepanjang sedekad yang lalu, pekerja di Indonesia menikmati kadar kenaikan gaji tahunan 10% sejak tahun 2006.

Sudah tentu ada perbezaan yang nyata dari segi pendekatan ekonomi sehingga mengakibatkan prestasi yang berlainan seperti ini. Pemerintah Indonesia mengalu-alukan reformasi dan keterbukaan sejak tahun 1998 lagi, berbeza dengan Barisan Nasional yang mencari seribu satu alasan untuk memadamkan api reformasi yang dituntut rakyat sehingga mengorbankan prestasi ekonomi negara.

Baiknya keadaan ini tidak akan berterusan kerana lebih ramai rakyat boleh menilai sendiri bahawa reformasi ekonomi hanya boleh berlaku seiringan dengan reformasi politik, selaras dengan pendekatan ekonomi yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.

*Kenyataan media oleh Rafizi Ramli Pengarah Strategi PKR.

No comments:

Post a Comment