Monday, February 24, 2020

Eksport ikan patin Temerloh ke pasaran antarabangsa bakal ibarat lubuk emas

Cadangan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk memasarkan ikan patin Sungai Pahang khususnya di Temerloh ke  pasaran antarabangsa khususnya di Timur Tengah, dianggap penternak-penternak sangkar ikan tersebut sebagai membuka peluang keemasan.


Ini disebabkan mereka bakal mendapat peluang terbaik kerana penternak boleh mendapatkan harga ikan yang lebih baik terutama ketika berlaku lambakan penawaran ikan patin.

Sekali gus, berupaya melonjakkan pendapatan dan rezeki dalam bidang tersebut.Sedangkan pada masa ini, mereka terpaksa menjualnya sendiri.

Jika benar langkah pengeksportan ikan itu dilaksanakan ia juga bakal memberikan impak positif terhadap industri penternakan ikan patin di Pahang apatah lagi dengan adanya kerjasama semua pihak termasuk daripada kerajaan negeri.

Sudah pasti kerajaan negeri akan membantu dengan memastikan sungai lebih terpelihara serta mengelakkan aktiviti yang boleh menjejaskan kualiti ikan patin dari negeri ini bagi tujuan eksport.

Mengenai bekalan untuk eksport, ia dijangka tidak menghadapi masalah kerana selepas ini dipercayai ramai pengusaha yang akan menternak ikan patin.

Cuma buat masa ini, penternak hanya mampu mengeluarkan untuk pasaran tempatan dan sudah tentu jauh daripada mencukupi untuk pasaran antarabangsa. Namun inilah peluang terbaik untuk memasarkan dan memperkenalkan keenakan ikan patin Temerloh kepada masyarakat antarabangsa.

Kerajaan negeri pula, alang-alang sudah meneroka pasaran ikan tersebut sudah tentu akan mempersiapkan segala kemudahan untuk memenuhi keperluan eksport.

Pahang sebagai negeri yang sinonim dengan ikan patin perlu menggunakan peluang tersebut untuk menjadi pembekal selain menonjolkan kualiti ikan keluaran negeri berkenaan yang diakui enak selain menjadi tumpuan penggemar ikan patin atau nama saintifiknya, pangasius.

No comments:

Post a Comment