Wednesday, September 11, 2019

Tuan Ibrahim tegaskan penyatuan bukan perkauman

PAS dan Umno membentuk kerjasama politik antara parti Melayu Islam terbesar di negara ini adalah dasar penyatuan bukannya perkauman sebagaimana didakwa propagandis Pakatan Harapan.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim dalam kenyataan medianya mengenai hubungan ta’awun siyasi atau kerjasama tersebut, menegaskan bahawa PAS menolak sebarang propaganda yang dicetuskan oleh PH untuk menggambarkan hubungan PAS dan UMNO bermotifkan sentimen perkauman yang sempit dan boleh mengundang konflik keharmonian.


“Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir juga pernah mengatakan pada bulan Julai yang lalu bahawa bangsa Melayu telah berpecah belah. Tindakan membentuk kerjasama PAS dan UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 untuk mempertautkan semula orang-orang Melayu yang merupakan tonggak politik utama negara dengan menjadikan Islam sebagai teras penyatuan.

“Laporan Straits Times (ST) pada bulan Jun 2018 telah memetik pandangan daripada Merdeka Centre dan Kumpulan KRA yang mendedahkan kira-kira 95% pengundi Cina dan 75% pengundi India menyokong PH. Oleh itu, tidak salah jika PAS dan UMNO mengukuhkan kembali kekuatan dalam kalangan 70% pengundi Melayu. Hasrat PH sebenar adalah untuk memecahkan kesatuan 70% ini.

“Selain itu, banyak isu yang dimainkan oleh PH termasuk kumpulan pendukungnya yang jelas menggugat status quo negara seperti ICERD, Statut Rom, UEC, Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, LGBT serta hak-hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera. Maka, penyatuan ini adalah satu tuntutan yang mendesak supaya dapat mengimbangi isu-isu sensitif yang dimainkan oleh PH,” jelasnya.

Tuan Ibrahim menyebut, menjelang Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914), jentera PH semakin agresif menggambarkan kerjasama politik PAS dan UMNO adalah tindakan rasisme dan ekstremisme. Mereka turut mendoktrinkan kempen mengutamakan produk Muslim (BMF) sebagai agenda boikot barangan bukan Muslim. Doktrin pecah dan perintah sangat sinonim dengan agenda PH untuk bongkak berkuasa.

“PAS ingin memberikan jaminan bahawa agenda penyatuan ummah tidak akan meminggirkan hak-hak orang bukan Islam sepertimana yang diajar oleh Islam dan diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Malah, PAS telah merintis banyak perbincangan dengan MCA dan MIC sebelum ini agar pelbagai salah faham dapat diperbetulkan. In Shaa’ Allah, penyatuan ummah ini akan menguntungkan rakyat,” tegasnya. 

No comments:

Post a Comment