Saturday, July 11, 2015

Najib perlu cuti elak persepsi

PAS berpendirian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mesti bercuti dalam masa Jawatankuasa khas siasatan mengenai penyelewengan dana 1MDB menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini penting bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap negara dan Perdana Menteri (PM) sendiri berkaitan polemik isu yang telah diketahui dunia ini.

“Isu 1MDB adalah isu serius dan melibatkan maruah. Bayangkan hutang sampai puluhan bilion kemudian satu demi satu keluar cerita disuruh agensi-agensi beli tanah serta kontroversi transaksi wang.

“Sekarang dah tubuh jawatankuasa jadi inilah masa yang paling baik PM cuti bercuti supaya tiada gangguan dalam siasatan. Sebab keempat-empat yang dilantik itu merupakan kakitangan sedangkan yang disiasat itu bos mereka,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian dalam ceramahnya di tapak Kompleks PAS Pahang di Kerdau dekat sini malam tadi.

Turut berceramah Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Temerloh, Ustaz Nasrudin Hassan dan Timbalan Pengerusi Tetap PAS Pusat yang juga Penyelaras Dun Kerdau Ustaz Kamal Ashaari.

Baru-baru ini kerajaan menubuhkan Jawatankuasa khas siasatan mengenai penyelewengan dana 1MDB setelah isu tersebut menjadi kontroversi dibangkitkan oleh Wall Street Journal (WSJ) mengenai sejumlah wang dimasukkan ke akaun Najib.

Mereka ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu bakar dan Ketua Pengarah SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Tuan Ibrahim berkata, inilah masa paling baik PM bercuti dan ambil waktu untuk berehat zaman paling baik untuk PM bercuti supaya siasatan terus berjalan lancar.

“Kalau nak rehat masa inilah bukan masa ditimpa musibah banjir bercuti, kalau nak main golf pun masa inilah. Supaya tidak ada perspektif yang tidak elok.

“Katakanlah selepas siasatan didapati tidak bersalah, orang akan kata memang dia tak terlibat sebab dia masih PM dan ada elemen-eleman campur tangan. Jadi pergilah rehat dulu supaya jawatankuasa boleh siasat dengan bebas tanpa gangguan dan tanpa persepsi negatif,” ujarnya.

Ini merupakan program julung-julung kalinya diadakan di tapak kompleks bernilai RM5 juta yang masih dalam pembinaan itu. Sebelum itu turut diadakan majls berbuka puasa, Solat Maghrib, Solat Isyak dan tarawih di situ.

Sementara pada sebelah petangnya pula Tuan Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada orang miskin, anak yatim dan orang kelainan upaya sekitar Dun Kerdau.


No comments:

Post a Comment