Friday, May 1, 2015

Campur tangan politik lewatkan pemilihan AJK masjid?

Dewan Pemuda PAS Kawasan Temerloh (DPPKT) menyatakan kekesalan di atas kelewatan lantikan Ahli Jawatankuasa Masjid Kariah seluruh negeri Pahang sesi 2015-2017. Sehingga kenyataan ini ditulis, masih tiada surat pelantikan rasmi daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kepada masjid kariah yang telah dicadangkan senarai nama mereka oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) sepertimana yang termaktub dalam enekmen.

Menurut ketuanya, Ustaz Zaharim Ishak “Perkara ini amat menghairankan kerana kelewatan hampir 4 bulan pastinya mengganggu pengurusan dan pentadbiran sesebuah masjid. Ramai ahli kariah datang bertanya dan menyatakan kebimbangan mereka”

“Kami ada terima maklumat bahawa kelewatan ini berpunca apabila senarai nama jawatankuasa yang diterima pihak JAIP telah diambil semula oleh wakil Menteri Besar.

Kami juga sebagai ahli kariah nak tahu kenapa pihak Menteri Besar nak campur urusan pelantikan Jawatankuasa Masjid Kariah?” soalnya.

Beliau mendakwa ada salinan surat yang menyatakan dengan jelas wujudnya campurtangan politik pihak Menteri Besar terhadap lantikan tersebut.

“Bagi pihak ahli kariah dan rakyat, saya mendesak agar Menteri Besar dan para exco segera memahami perbezaan antara urustadbir politik dan pengurusan masjid. Hentikan segera campur tangan politik. Serahkan sahaja urusan lantikan kepada Majlis Ugama Islam Pahang MUIP). Uruskan negeri Pahang ini dengan baik tanpa ada unsur rasuah, kezaliman dan khianat kepada amanah rakyat”, ujarnya lagi.


No comments:

Post a Comment