Monday, December 10, 2012

Seorang lagi artis naik ke pentas dakwah

Pelakon dan pengarah muda terkenal, Pierre Andre, menjejaki teman artis yang lain naik ke pentas dakwah.

Beliau baru-baru ini muncul dalam Anugerah Skrin 2012 dan memenangi Anugerah Yasmin Ahmad. Anak kepada pelakon wanita, Katijah Tan itu, muncul dengan perwatakan dan peribadi yang sudah berubah ke arah kebaikan juga membuka mata ramai pihak.

Ucapannya di atas kemenangan itu juga merangkumi kata-kata dia teramat bersyukur dengan nikmat yang Allah S.W.T berikan kepada dirinya.

Pierre yang mengakui semakin mencuba untuk mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Tuhan mengatakan kehidupan di dunia perlulah seimbang dengan kehidupan di akhirat kelak.

Oleh itu, anak muda itu mempunyai niat untuk berdakwah melalui hiburan dan berharap cara itu dapat menyampaikan mesej tentang agama Islam dengan jelas lagi.

Beliau yang juga terkenal dalam lakonan drama-drama Melayu, mengakui menurut jejak rakan-rakan seperti Bob Lokman, Abby Abadi, Dayangku Intan, Haire Othman dan lain-lain yang kini berpidato di pentas dakwah.

“Bila orang mencari agama mereka akan mula menolak dunia. Saya fikir pada mulanya saya begitu tapi sebenarnya kita ada keperluan lain di dalam dunia ini jadi kita harus seimbangkannya.

“Inilah sebab kenapa saya datang hari anugerah ini, bukan sebab saya menang tapi sebab apa yang ingin saya katakan tadi kerana ‘kita sudah jauh’. Dan Alhamdulillah Allah permudahkan urusan saya dan dapat saya sampaikan di atas pentas,” kata Pierre yang dipetik dari laporan Buahmulut.com.

Hilang seketika dari dunia seni seolah-olah menunjukkan Pierre merajuk untuk terus berkarya sebagai pengarah filem Malaysia.

Selain itu, Pierre sendiri juga menyatakan dia pernah hilang keyakinan untuk meneruskan usaha menjadi seorang pengarah yang tersohor.

Namun, selepas menerima anugerah itu, Pierre semakin bersemangat untuk terus berdiri dalam industri seni Malaysia dan tidak mahu hilang keyakinan sekali lagi.

“Apabila saya diberitahu memenangi Anugerah Yasmin Ahmad saya sangat terkejut dan saya rasa itu merupakan satu pentunjuk yang mengatakan saya patut berada di dalam bidang ini lagi.

“Sebab ada satu ketika saya hampir hilang keyakinan sebagai seorang pengarah dan anak seni, tapi ada benda lain yang buat saya kemballi ke bidang ini dan hari ini anugerah pertama yang saya terima setelah hampir 10 tahun berada dalam kitaran bidang ini dan ianya memberi saya lebih motivasi,” katanya.

No comments:

Post a Comment