Tuesday, March 30, 2010

Skuad Sinar Harian Pahang lawat pejabat PAS

TEMERLOH: Pejabat Badan Perhubungan PAS Pahang (BPPNP) di Jalan Dato Bahaman pada Ahad 21 Mac lalu buat pertama kalinya menerima kunjungan tetamu istimewa iaitu daripada skuad wartawan akhbar Sinar Harian edisi Pahang.

Skuad seramai 16 orang dari Kumpulan Karangkraf diketuai editornya Mohd Hanafiah Hashim itu, mengambil kesempatan singgah sambil beramah mesra dengan pimpinan Pakatan Rakyat Pahang sempena program lawatan ‘Singgah Mesra’ menemui masyarakat daerah ini.

Antara pimpinan yang hadir mewakili PAS ialah Timbalan-timbalan Pesuruhjaya Dr Hamzah Jaafar, YB Syed Hamid Syed Muhamad, Sementara YB Leong Ngah Ngah mewakili DAP dan Tajuddin Ramli mewakili PKR.

Turut hadir ialah Setiausaha Perhubungan Roslan Zainal, Ketua Penerangan Hasanuddin Salim, Pengarah Japen Hashim Abdullah dan Ketua DAP Temerloh Woo Chee Wan.

Dr Hamzah dalam ucapan alu-aluan dan terima kasih merakamkan rasa terharunya kerana kesanggupan pihak media yang mulai mendapat perhatian masyarakat ke tempat ‘panas’ ini dan berharap akhbar tersebut meneruskan dasar liberal dan terbukanya dengan menyiarkan berita-berita berkaitan aktiviti parti-parti dalam Pakatan.

“Kita harapkan wartawan Sinar Harian daerah-daerah juga meneruskan dasar yang sama dan kita percaya jika berterusan akhbar harian ini akan terus laris di pasaran kerana masyarakat juga muak membaca berita sehala mengampu parti kerajaan sahaja seperti disiarkan akhbar-akhbar arus perdana”.

Adun Triang Leong Ngah Ngah pula dalam ucapannya menganggap Sinar Harian media yang neutral kerana boleh melaporkan berita pelbagai pihak dan cadangkan supaya mendapatkan pandangan daripada empat Adun Pakatan di Pahang.

“Jadi ada persefahaman tidak langsung antara Pakatan dengan pihak akhbar tuan-tuan dan ini saya anggap satu perkembangan yang baik. Saya cadangkan juga supaya wartawan Sinar Harian mendapatkan pandangan Adun-Adun Pakatan pada setiap kali selepas perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tanpa salah faham”.

Mohd Hanafiah pula yang berucap bagi pihak Sinar Harian memberitahu, akhbar yang berorientasikan perniagaan itu mengamalkan tujuh dasar iaitu jujur, telus, wibawa, adil, amanah, disiplin dan prihatin.

“Dengan slogan tersebut kami bebas daripada mana-mana kelompok politik dan wartawan kami tidak dibela oleh mana-mana wakil rakyat atau parti. Mereka bertindak sebagai wakil rakyat kecil bagi menyampaikan hasrat penduduk setempat”.

“Saya tawarkan kepada Pakatan Rakyat Pahang jika berhajat untuk melawat Karangkraf, iaitu penerbitan terbesar di negara ini dengan kakitangannya melebihi 1,500 orang”.

1 comment:

  1. Syabas Sinar Harian!!!!!Selepes ni lantik wakil wakil bebas difelda felda..
    Lepas ni dedahkan kes anak peneroka yang dituduh mencuri harta sendiri diMahkamah Temerloh.Kahabarnya duit barang kes 'lesap' tapi kes tetap dituduh dan anak peneroka tu dah pun didenda oleh Mahkamah atas tuduhan Mencuri.Pelik sangat bunyinya kes ni...Tak dengar pulak ada undang undang baru digubal diParlimen mengatakan mengambil harta peninggalan ayah sendiri boleh dituduh dan dihukum..Kalau dah barang kes yang berupa wang tunai itu hilang dalam simpanan polis,mengapa polis itu tidak dituduh mencuri atau menggelapkan wang barang kes yang sepatutnya dijadikan bukti penting diMahkamah?Dah tu pulak sawit barang kes yang dijual dikilang felda seberat 3 tan tapi yang dituduh cuma sekitar 30 tandan.Bakinya yang lebih 1 tan itu siapa pula yang mencuri?Pelik juga..memang pandai juga pengurus felda dan polis itu menipu cara terhormat..mereka sendiri yang mencuri,dituduhnya tuan punya ladang itu mencuri...dah macam Mahkamah Anak Bapak AR Tompel pulak....

    ReplyDelete