Wednesday, April 13, 2016

Lanjutan moratorium: Apa SOP selepas itu?

Lanjutan tiga bulan lagi tempoh moratorium perlombongan bauksit seperti diumumkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar minggu lalu, sudah tentu disambut gembira oleh mangsa jenayah alam sekitar.

‘Tempoh bertenang’ yang pertama tamat 15 April ini dan ini bermakna tempoh kedua akan berakhir pada Julai.

Namun bagi rata-rata penduduk, tindakan tersebut tidaklah memadai kerana apa yang lebih penting ialah apa SOP (prosedur operasi standard) kekal oleh kerajaan selepas tempoh moratorium kedua ini berakhir.

Ertinya, selagi pihak kerajaan gagal mendedahkan pelan perancancangan SOP tersebut, masyarakat sukar menerima dan bantahan oleh menduduk yang menjadi mangsa akan terus berlarutan.

Kata Pengerusi Gerakan Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram), Ali Akbar Othman, masyarakat bimbang aktiviti bauksit akan terus menjejaskan kesihatan, kemudaratan dan pencemaran dalam kehidupan harian mereka seperti yang dideritai mereka sejak dua tahun yang lalu.

“Jadi, kerajaan kena dedahkan SOP yang lebih komprehensif dengan memberi penerangan kepada masyarakat kerana tanpanya maka pelbagai spekulasi akan timbul dan banyak isu akan dibangkitkan kembali.

“Semasa moratorium pertama, pihak kami sudahpun meminta kerajaan dedahkan SOP namun gagal. Jadi ini masalahnya sehingga menjadi kemusykilan penduduk.

SOP yang dimaksudkan NGO berkenaan antara lain melibatkan penyelesaian tapak lombong, pemilihan kawasan lombong, pengangkutan, kawasan untuk pencucian bauksit, pusat pengumpulan berpusat (stockpile) dan pemindahan bahan mineral itu dari pusat penyimpanan ke kapal eksport.

Selain daripada itu, kerajaan juga perlu mewujudkan satu laporan kajian impak alam sekitar (EIA) bagi setiap peringkat perlombongan. Untuk itu Jabatan Alam Sekitar (Jas) mestilah bertindak dalam tempoh tiga bulan ini. Laporan inilah yang boleh menentukan pengusaha bauksit melanggar peraturan atau tidak.

Inilah sahaja langkah yang boleh menghalang daripada berulangnya jenayah alam sekitar sehingga mendera warga pribumi Inderapura ini.

Penduduk sepanjang jalan ke pelabuhan dan sekitar sudah cukup serik dan ngeri dengan fenomena air sungai sumber minuman yang bertukar merah, debu amang merah yang menyakitkan mata dan tekak, kemalangan lalu lintas akibat berleluasanya lori pengangkut dan sebagainya.

Setakat ini pihak kerajaan hanya memaklumkan bahawa
lanjutan tempoh moratorium itu antara lain bagi membolehkan stok simpanan bauksit sedia ada yang berjumlah hampir empat juta tan metrik "dikosongkan" atau dieksport terlebih dahulu sebelum operasi baru.

Seperti yang dijelaskan pihak yang meminta dihentikan operasi bauksit, bukan bermakna pihak mereka anti ekonomi, tetapi kegiatan mestilah tidak menjejaskan manusia dan alam sekitar.

Umpamanya seperti yang disiarkan di media ada peneroka-peneroka Felda Bukit Goh yang kehilangan sumber pendapatan apabila operasi bauksit dihentikan selama tiga bulan ini.

Hal ini disebabkan ladang sawit mereka telah ditebang dan aktiviti mengorek bauksit dihentikan sedangkan selama ini mereka menjalani kehidupan dengan hasil pajakan tanah yang diserahkan kepada pengusaha.

Ertinya, operasi bauksit juga memberi pendapatan kepada tuan tanah selain daripada ‘tauke besar’ dan sektor pengangkutan.

Sebab itu jika kerajaan dapat menetapkan SOP terbaik, sudah tentu operasi bauksit dapat dijalankan tanpa mengganggu-gugat penduduk yang terkesan. Peneroka pula dapat kembali hasil daripada pajakan.

Sementara kerajaan negeri pula akan mendapat cukai hasil bumi lumayan hasil limpahan kekayaan logam yang dianugerahkan Allah itu.

CAPTION
Ladang seorang peneroka Felda Bukit Goh yang telah digondolkan untuk pelombongan bauksit.

No comments:

Post a Comment