Wednesday, August 12, 2015

Himpunan bantah bauksit di Kuantan 22 Ogos ini

Susulan kegagalan Kerajaan Negeri Pahang menunaikan janji untuk memberhentikan lesen pengeluaran bauksit selepas 31 Julai yang lalu serta tiada tindakan berkesan diambil untuk mengatasi pencemaran, Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (GERAM) akan mengadakan satu himpunan besar.

Dalam kenyataan yang diedarkan kepada media, himpunan aman itu akan diadakan pada 22 Ogos ini bertempat di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1 berhadapan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 bermula jam 9 pagi hingga 1 tengahari.

Menurut Pengerusi GERAM Andansura Rabu, pihaknya telah memutuskan untuk menggerakkan rakyat yang prihatin untuk menghadiri himpunan raksaksa tersebut sebagaimana pernah diadakan berikutan isu Lynas beberapa tahun lalu.

“Dalam mesyuarat hari ini jawatankuasa berpendapat setelah segala usaha diplomasi dijalankan dan tidak mendapat maklumbalas serta tindakan yang berkesan daripada pihak kerajaan, maka rakyat perlu tunjukkan
solidariti menyatakan bantahan terhadap isu ini dengan berhimpun secara aman.

“Malahan keadaan menjadi semakin tidak terkawal sehingga melibatkan kesan pencemaran terhadap
sungai dan laut seperti yang dilaporkan oleh media baru-baru ini, maka kebimbangan rakyat adalah
berasas dan wajib diambil perhatian serius oleh pihak berwajib.

“Oleh itu himpunan ini diharapkan akan memberikan impak dan tekanan kepada semua pihak yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bauksit ini agar peka dan prihatin terhadap nasib rakyat,” katanya.

Andansura yang juga Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang dan Adun Beserah berkata, pihaknya tidak menghalang sebarang bentuk aktiviti ekonomi yang boleh
menjana pendapatan kepada negeri dan rakyat, namun kesan daripada aktiviti tersebut buruk
terhadap alam sekitar ,keselesaan dan kesihatan rakyat perlu diutamakan dan diatasi segera.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob sebelum ini berjanji akan menghentikan lesen operasi pelombong bauksit yang didapati melanggar peraturan yang ditetapkan.

Janji tersebut dibuat berikutan titah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menegur operasi pelombongan bauksit di Felda Bukit Goh yang didapati menyebabkan pencemaran teruk alam sekitar.

Selain daripada itu, penggunaan pengangkutan lori yang melalui kawasan kampung sehingga menyebabkan kerap berlaku kemalangan maut.



No comments:

Post a Comment