Monday, April 8, 2013

Nizam tak tanding PRU

Oleh M. FEISAL

TEMERLOH:
Ketua Cabang PKR Temerloh mengumumkan tidak bertanding di mana-mana kawasan dalam PRU-13 ini sebaliknya akan bekerja seperti biasa dan memberikan tumpuan membantu jentera Pakatan Rakyat (PR) untuk menang.

Ahmad Nizam Hamid yang juga Timbalan Pengerusi PKR Negeri Pahang berkata, beliau bersama penyokongnya akan memberikan tumpuan kepada Dun Lanchang yang diwakili ahli parti itu.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas pucuk pimpinan Pakatan Rakyat (PR) mengumumkan Ketua Pemuda Pas Pusat Nasruddin Hassan Tantawi akan bertanding di Parlimen Temerloh iaitu kerusi yang ditanding beliau pada PRU-12 lalu.

“Setakat ini saya tidak akan bertanding di kerusi Parlimen atau Dun, malah untuk kerusi Dun Lanchang sekalipun saya tidak akan bertanding kerana saya tidak akan mengkhianati rakan-rakan.

“Sekarang ada empat calon Melayu yang layak di Dun Lanchang untuk mewakili PKR, yang pasti tidak ada nama saya. Walaupun tidak bertanding di Temerloh tetapi saya ada prinsip, saya tidak akan bertanding di kawasan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di Rumah Rehat Temerloh di sini semalam. Turut hadir setiausahanya Dr. Yahaya A.Rahman.
Ahmad Nizam berkata, beliau menggesa semua penyokongnya memberikan sokongan penuh kepada calon PKR di Dun Lanchang sekaligus dapat membantu kemenangan Pas di Parlimen Temerloh.

Beliau berkata, kesemua empat calon PKR di Lanchang juga telah menyatakan pendirian untuk menyokong calon yang layak seandainya mereka sendiri tidak terpilih.
Dalam perkembangan berkaitan Ahmad Nizam turut mengulas pemilihan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji sebagai calon DAP Melayu yang bertanding bagi kerusi Dun Mentakab.

Beliau berkata, itu sebenarnya taktikal yang menarik untuk PR meraih undi Orang Melayu yang mewakili 52 peratus pengundi dalam Dun Mentakab.

“Sekarang calon DAP adalah Orang Melayu, BN pula hampir pasti meletakkan calon MCA untuk kerusi itu, ini satu taktikal yang menarik dan kita lihat apa berlaku selepas ini.

“Saya juga rasa mungkin ada sedikit perubahan undi DAP kepada MCA di kerusi itu kerana selama ini calon mereka adalah Orang Cina, tetapi itu tidak akan menjejaskan PR secara keseluruhannya,” katanya.

Caption
1) Ahmad Nizam (duduk empat kanan) bersama pimpinan PKR Cabang Temerloh selepas sidang media di Rumah Rehat Temerloh tengahari tadi.

No comments:

Post a Comment