Friday, October 5, 2012

Bajet 2013 tak serius tangani kemiskinan – Husam

MARAN: Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa menganggap Bajet 2013 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak serius untuk menyelesaikan masalah kemiskinan rakyat.

Katanya, ini disebabkan kerajaan memberi bantuan wang tunai sekali gus melalui Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) tanpa berusaha menghapuskan persekitaran mereka yang membawa kepada kemiskinan.

“Cara pemberian BR1M tak betul, beri wang kepada orang susah tetapi tidak ubah persekitaran yang membuatkan mereka susah. Itu bermakna tidak menyelesaikan masalah kemiskinan rakyat (tapi mahu menampakkan kerajaan baik).

“Sepatutnya hapuskan monopoli (syarikat kroni), turunkan harga minyak (yang membawa kepada kenaikan harga barang keperluan) dan turunkan harga kereta (yang semuanya membawa kepada kos hidup tinggi).

“Apabila kos hidup di tahap rendah dengan harga barangan terkawal, barulah pendapatan rakyat mencukupi,” katanya ketika berceramah di pejabat PAS Maran di sini baru-baru ini sempena Himpunan Hijau Peringkat Daerah Maran.

Turut berceramah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Dr Hamzah Jaafar, Ketua Perhubungan PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman dan bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ismail Hamzah.

Pada sebelah petangnya diadakan acara konvoi bermotor ARC dari Kaung Embun ke tapah himpunan dan larian hijau dari masji Sentosa ke lokasi yang sama. Pada sebelah malamnya diadakan Solat Hajt dan munajat sebelum ceramah.

Tambah Husam, Islam telah menetapkan antara mekanisme menangani kemiskinan ialah dengan zakat namun sistem tersebut tidak dimanfaatkan.

“Bayangkan jika keuntungan Petronas dibayar zakat dah dapat kira-kira RM1 bilion setahun dan jumlah yang besar itu sudah tentu boleh menyelesaikan banyak masalah kemiskinan rakyat.”

Malangnya, kerajaan lebih suka lebihan wang daripada hasil petroleum dibelanjakan ke arah perkara-perkara lain.

Baru-baru ini dalam pembentangan bajet dicadangkan pemberian BR1M kali kedua. Kali pertama tahun ini telah diagihkan RM500 kepada yang berpendapatan di bawah RM3,000. Namun tiada petunjuk penerima bantuan tersebut semakin baik taraf hidup dan pendapatannya.

Husam berkata, apabila Pakatan Rakyat membentangkan bajet alternatif dengan tawaran yang lebih lumayan kepada rakyat, BN akan segera mengatakannya jika dilaksana egara akan menghadapi bankrap.

“Isu bankrap ini sudah banyak kali dicanangkan pemimpin Umno. Dulu semasa PAS mula mentadbir Kelantan, Umno beria-ia kata akan bankrap selepas tiga bulan, tetapi sekarang sudah 22 tahun tidak pula bankrap.

“Begitu juga apabila kerajaan Pakatan di bawah pimpinan Ustaz Azizan, Umno juga kata Kedah akan bankrap tetapi sampai hari ini tak bankrap malah lebih baik daripada negeri BN. Itu menunjukkan isu negara bankrap hanya ugutan Umno,” ujarnya.

Justeru Husam menyeru agar rakyat jangan takut melakukan perubahan kerana hanya dengan cara itu dapat memastikan masa depan rakyat lebih terjamin.

“Macam di Mesir dulu kerajaan Hosni Mubarak dan sebelumnya kata Ikhwan Muslimin jahat dan tidak pandai memerintah tetapi apabila Dr Morsi dari Ikhwan menjadi PM Mesir ternyata boleh memimpin negara itu dengan baik dan diterima semua pihak.”

Mengenai rayuan Najib yang minta dikekalkan pemerintahan sepenggal lagi dalam kempennya ke seluruh negara, Husam mengingatkan supaya rakyat tidak terpedaya.

“Kita perhatikan sekarang ini kerajaan BN lemah iaitu tanpa majoriti dua pertiga di parlimen. Tetapi Lynas yang menjadi kemarahan rakyat tetap diteruskan. Itu masa dia lemah cuba bayangkan jika BN kuat?

“Penyenaraian FGVH, walaupun ditentang peneroka tetap diteruskan walaupun pada masa BN lemah sekarang, bagaimana kalau BN kuat? Royalti yang sepatutnya diperoleh Kelantan. Apabila Kerajaan Negeri Kelantan minta, pada masa mereka lemah pun ditolak cuba bayangkan kalau BN kuat.

“Pendek kata pada ketika BN lemah pun dia boleh tindas rakyat, bayangkan kalau dia kuat. Jadi lebih baiklah ubah kerajaan yang ada kepada yang lebih berkebajikan dan memahami tuntutan rakyat,” tegasnya.

Husam menjelaskan, tidak mustahil BN boleh dikalahkan kerana pada tahun 2008 di Semenanjung BN sudah ketinggalan lima kerusi berbanding Pakatan tetapi Najib boleh menjadi Perdana Menteri kerana tambahan kerusi parlimen dari Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, pada masa itu juga sokongan Cina tidak menyeluruh dan kali ini akan berlaku gelombang sokongan rakyat kepada Pakatan.



No comments:

Post a Comment