Sunday, November 7, 2010

Awas, Pahang mungkin banjir lebih buruk tahun ini

KUANTAN: Rakyat negeri Pahang, khususnya yang berada di pinggir sungai dan tempat rendah, diminta bersedia menghadapi kemungkinan banjir yang lebih buruk tahun ini berbanding tahun-tahun lepas berasaskan keadaan banjir di utara Semenanjung sekarang.

Amaran tersebut telah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Pahang Jumaat lalu. Ini ditambah lagi dengan keadaan hujan yang mulai turun sejak dua hari lalu kadang-kadang lebat dan kadang berhenti.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail menyatakan kerajaan negeri telah mengenal pasti 594 pusat pemindahan yang mampu menampung kira-kira 128,528 mangsa jika berlaku banjir.

Selain itu, bekalan juga telah dihantar sejak Oktober lagi ke 92 buah pangkalan yang diwujudkan bagi menampung keperluan mangsa banjir yang terputus hubungan, katanya kepada pemberita, pada hari Jumaat.

"Seramai 9,138 pesakit berisiko tinggi di kawasan yang mungkin terlibat banjir turut akan diberi perhatian sewajarnya, termasuk kanak-kanak di bawah satu tahun, pesakit mental, ibu mengandung yang dijangka bersalin pada tempoh banjir, golongan istimewa dan lain-lain," katanya.

Kerajaan Pahang juga kata beliau, telah mengenal pasti pusat peperiksaan alternatif bagi pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia sekiranya pusat sedia ada terlibat dengan banjir.

Muhammad Safian berkata sebanyak 442 kawasan di Pahang dikenal pasti sebagai berisiko dilanda bencana itu termasuk 123 kawasan di Temerloh, 64 di Pekan dan 47 di Kuantan.

Kali terakhir Pahang dilanda banjir buruk ialah penghujung tahun 2007 di mana hampir semua daerah terlibat. Sementara daerah yang paling teruk ialah Temerloh di sepanjang Sungai Semantan dan Maran di sekitar Chenor.

Bagi pihak PAS sahaja, ketika itu tidak kurang RM300 ribu disediakan terutama dalam bentuk barangan bagi membantu mangsa.

Serentak dengan itu, petugas Amal negeri ini juga diminta bersedia dengan persiapan dan perancangan bagi membantu mangsa banjir sebagaimana dilakukan dengan cemerlang pada 2007.

Banyak pihak berpendapat, persediaan rapi perlu dibuat kerana apabila musim banjir tiba kebanyakan mangsa tidak sempat menyelamatkan semua benda. Oleh itu, sekurang-kurangnya dokumen-dokumen penting sudah mula diambil perhatian sekarang.







No comments:

Post a Comment