Tuesday, July 26, 2016

Sebagai yang dituduh Najib tak patut ulas - Tuan Ibrahim

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai siasatan pasukan petugas khas berkaitan 1MDB.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan Najib hanya memakan dirinya sendiri.

Katanya, Najib tersilap langkah apabila beliau sendiri menerangkan skop siasatan pasukan petugas khas itu yang sedang menyiasat dakwaan mengenai penyaluran dana kepada akaun-akaun bank yang didakwa dimiliki Najib.

“Kenyataan Najib pada 8 Julai lalu hanya mengundang persepsi bahawa pasukan tersebut tidak bebas, sedang menerima arahan, atau melaporkan penyiasatan kepada Najib.

“Selaku orang yang sedang dituduh di dalam kes ini, tindakan itu tidak betul dalam usaha Najib membersihkan namanya,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Dalam kenyataannya Tuan Ibrahim, turut mengulangi kenyataan Najib yang berbunyi ‘siasatan mesti mengambil kira kesahihan dokumen yang telah disiarkan bagi menyokong tindakan akhbar tersebut.

“Tindakan ini lebih buruk daripada hakikat bahawa empat individu yang mengetuai pasukan siasatan iaitu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed, and Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekerja di bawah beliau.

“Kerana itu, Pas sekali lagi menegaskan bahawa Najib perlu bercuti agar siasatan dilihat bersih. Jika tidak, Najib akan kelihatan bermasalah walaupun pasukan siasatan mendapati dakwaan ke atas beliau tidak benar,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, siasatan pasukan petugas khas bukan sahaja perlu menentukan kebenaran dakwaan tersebut benar atau tidak.

“Tetapi jika benar, siasatan juga harus diteliti ke mana dana tersebut disalurkan dan siapa penerimanya.

“Kami mahu siasatan diselesaikan segera. Kita tidak mahu rakyat terus bimbang dengan keadaan sekarang,” katanya.


Jamuan Aidilfitri PAS Kuala Krau meriah

BANDAR TUN RAZAK JENGKA: Majlis sambutan hari raya Aidilfitri anjuran PAS Kawasan Kuala Krau, iaitu kawasan yang diketuai oleh Timbalan Presiden PAS Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, disambut meriah dengan kehadiran kira-kira 5,000 orang bertempat di perkarangan Masjid Lama Rantau Perintis, Ahad lalu.

Antara tetamu yang hadir ialah Adun Meru yang juga bekas calon PRK Sungai Besar baru-baru ini Dr Rani Osman, Penasihat Perantau Dato’ Ismail Hamzah, Timbalan Pengerusi Tetap PAS Pusat Ustaz Kamal Ashaari, Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar, dua timbalannya iaitu Hj Jusoh Darus dan Yohanis Ahmad serta pimpinan negeri serta masyarakat setempat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Turut kelihatan, bekas Ahli Harian PAS Pahang Ustaz Yusof Embong dan Ustaz Suhaimi Md Saad.

Majlis mula dimeriahkan dengan acara memotong kek yang disumbangkan oleh Dewan Muslimat Kawasan.

Mengulas kehadiran begitu ramai pengunjung meskipun PAS berhadapan pelbagai fitnah pada ini, Hj Jusoh berkata, “Kita berharap kepada yang hadir memeriahkan sambutan hari raya ini biarlah istiqamah hingga ke pilihan raya,” katanya.

Sementara itu dalam acara tahunan ini, pelbagai juadah disediakan seperti lemang dan rendang, nasi himpit, mi goreng, laksa, cendol, tapai, ais krim serta pelbagai lagi.

Seperti tahun-tahun yang lepas, duit raya kanak-kanak turut disumbangkan membuatkan suasana lebih meriah. Kehebatan tiga orang deejay yang petah berceloteh, turut menarik perhatian pengunjung.

Majlis yang bermula pada jam 2 petang itu berakhir jam 5 petang.



Tuesday, July 19, 2016

Felda : Bayar segera duit jualan buah sawit ( BTS) peneroka .

Peneroka Felda dan Generasi pelapis yang menetap di tanah rancangan mulai bersungut disebabkan mereka belum menerima lagi bayaran hasil jualan buah sawit. Ramai kalangan peneroka yang menjual buah sawit pada 2 Julai 2016 masih belum menerima sebarang bayaran sehingga hari ini. Lebih malang lagi, ada yang mendapat separuh sahaja bayaran bagi hasil jualan sawit bagi bulan Jun yang lalu.

Saya melihat perkara ini melibatkan kaedah pengurusan bayaran ( jauh sekali andaian nakal yang mengatakan Felda kurang kewangannya ).

Jika pengurusan Felda menukar sistem bayaran, saya mencadangkan :

Maklumkan terlebih dahulu tentang tarikh bayaran penerimaan jualan hasil. Sebagai contoh, bayaran akan dibuat pada setiap 2 kali sebulan, iaitu bayaran pertama pada 10 hb dan bayaran kedua pada 20 hb. Pemakluman ini secara bertulis kepada semua warga peneroka.

Ini akan memudahkan kalangan peneroka dan generasi muda untuk menguruskan bajet bulanan kewangan masing masing seperti bayaran pinjaman kenderaan, bil bil serta lain lain komitmen.

Saya juga meminta supaya perkara ini diatasi segera kerana ramai kalangan anak anak peneroka yang mengambil upah mengusahakan lori memunggah hasil sawit ke kilang. Mereka terpaksa mendahulukan duit sendiri untuk bayar upah ' loading 'dan lain lain.

Justeru itu, satu jawapan yang konkrit diperlukan dari pihak Felda bagi menyelesaikan perkara diatas. Usah biarkan nasib peneroka dan rakan rakan generasi ke 2 ( yang mengusahakan sawit di tanah rancangan) berlarutan lantaran sememangnya ' periuk nasi ' mereka bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan sawit.

Saya percaya, diatas kebijaksanaan pegawai pegawai Felda mampu menyelesaikan perkara ini secara profesional dan berhemah.

Sekian.

Sdr YOHANIS BIN AHMAD
Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang
Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah & Hal Ehwal Felda Pas Pahang
19 Julai 2016.








Parti baru, PAS tiada masalah asalkan dasar dihormati

TEMERLOH: PAS tidak ada masalah dengan kehadiran parti baharu yang diuar-uar diusahakan oleh bekas Presiden Umno dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed bersama pemimpin Umno yang dipecat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, malah PAS tiada masalah untuk bekerjasama asalkan parti tersebut menghormati dasar dan perjuangan PAS.

“Dalam sebuah negara demokrasi kita tak dapat nak halang penubuhan parti baru cuma PAS mesti lihat dulu dasar dan hala tuju parti itu dan bagaimana pakatan yang hendak dijalin dengan parti pembangkang yang ada.

“PAS tidak ada masalah untuk bekerjasama asalkan tahu menghormati dasar perjuangan PAS. Maknanya, jika parti tersebut tak terima apa yang PAS bawa macamana nak bersama mereka.

“Begitu juga jika parti baru membentuk pakatan melibatkan DAP dan PAN sudah tentu menyulitkan PAS. Sebab sehingga kini parti-parti tersebut masih belum berhenti menyerang PAS,” katanya.

Nasrudin berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Ahli Parlimen berserta PAS Kawasan Temerloh di perkarangan pejabat Khidmat Komuniti Parlimen Temerloh, dekat sini Ahad lalu.

Lebih 3,000 penduduk tempatan dari kalangan pelbagai bangsa hadir memeriahkan majlis tersebut.

Nasrudin berkata, menghormati dasar masing-masing adalah prinsip PAS pada masa ini tanpa bertolak ansur, namun PAS tetap bersikap terbuka.

Dalam pada itu, Nasrudin menjelaskan, PAS pada masa ini masih berusaha menguatkan blok ketiga termasuk sedang berunding serius dengan dua buah lagi parti politik.

<i>
Nasrudin melayan tetamu dari kalangan Tionghua yang turut hadir memeriahkan majlis tersebut