Thursday, November 20, 2014

Aktivis PAS rayu bantu anak gadis 23 tahun kanser

MARAN: “Saya tak pernah menduga anak bongsu kami yang dulunya begitu periang kini terlantar tidak bermaya.

“Dia telah menderita sejak tiga tahun lalu tetapi paling teruk sejak selepas hari raya Julai lalu,” kata aktivis PAS Abdul Rahim Awang Kenit, 66, dari Kampung Bukit Lada dekat sini.

Tambahnya, anak bongsu dari sembilan beradik itu, Jahirah berusia 23 tahun, disahkan menghidap sejenis kanser dengan ketumbuhan bersaiz besar di peha dan kepala oleh doktor Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (Hoshas).

Abdul Rahim menceritakan, pada peringkat awal, anaknya yang pada ketika itu bekerja di Kuantan, telah perasaan ada ketumbuhan di pehanya tetapi tidak menimbulkan rasa sakit dan dianggap normal memandangkan tubuh badan anaknya yang agak gempal.

Tiga tahun yang lalu ketumbuhan itu mulai membengkak dan memecah menyebabkan Jahirah hilang upaya berjalan dan susut berat badan secara mendadak.

Julai lalu, keadaan Jahirah makin tenat dan pernah ditemui terbaring di bilik mandi dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlaku pertumpahan darah dari ketumbuhannya.

Abdul Rahim berkatanya, ketika ketumbuhan itu membesar, mereka pernah bawa Jahirah ke sebuah hospital pakar di Kuantan, namun kos rawatan mencecah RM10,000 dikenakan sekiranya mahu menjalani rawatan pengimbasan bagi mengetahui penyakit tersebut.

“Saya hanyalah seorang penoreh getah. Disebabkan tidak mampu, kami hanya bawa ke Hoshas sebelum dirujuk ke Hospital Besar Kuala Lumpur.

“Pihak hospital hanya maklumkan ia sejenis kanser, namun tiada rawatan lanjut atau sebarang pembedahan dicadangkan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, situasi itu menyebabkan dia sekeluarga agak panik tetapi buntu dan keadaan bertambah teruk. Tiada apa dapat dilakukan selain rawatan mencuci sementara tumor di kepala yang kadangkala membesar dan mengecut sehingga mengakibatkan penglihatan Jahirah semakin kabur.

“Kami hanya mampu berdoa kerana buntu berikutan tiada sebarang rawatan yang dicadangkan pihak hospital. Namun kami tidak pernah berputus asa.

“Saya belum lagi menerima sebarang bantuan dari pihak berkuasa tetapi amat memerlukan bagi menampung belanja lampin pakai buang dan kos berulang-alik ke hospital.

“Paling mendesak sekarang ialah memerlukan katil mudah alih seperti hospital (yang boleh dibaring dan didudukkan) kerana keadaannya terbaring begitu menyebabkannya selalu tersedak apabila minum dan makan,” katanya.

Turut menziarahi keluarga Abdul Rahim ialah Ahli Harian Negeri PAS Pahang yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Hasnan Haron dan Ketua Muslimat Azizah Khatib Mat.

Sementara itu Pengerusi Prihatin Rakyat PAS Pahang Hassanuddin Salim turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan derma kepada keluarga Abdul Rahim.

Bagi yang terlintas di hati untuk membantu insan ini bolehlah menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam Abdul Rahim, 06028024631391 atau untuk lebih lanjut menghubunginya di talian 0139004450.

CAPTION
Abdul Rahim (dua, kanan) menemani Hasnan dan Azizah yang menziarahi anaknya.





Husam akui tiada kaitan dengan Pasma

TEMERLOH: “Saya tidak terlibat dengan Pasma, tuduhan dalam media sosial hanya fitnah semata-mata”.

Demikian pengakuan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa ketika sesi soal jawab dalam program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS ke 60 peringkat negeri Pahang di Darul Amin Sungai Gau, dekat sini baru-baru ini.

Sebelum itu beliau ditanya oleh seorang peserta sama ada beliau terlibat menubuhkan NGO berkenaan kerana ia mula ditubuhkan di sebuah perpustakaan didakwa milik beliau dan ada rakan-rakannya yang terlibat.

“Sebelum ini saya dituduh syiah kerana menamakannya Nur Zahrah iaitu nama kepada Saidatina Fatimah iaitu isteri kepada Ali.

“Perpustakaan tersebut milik orang lain dan perjumpaan menubuhkan Pasma adalah dengan izin pemilik berkenaan dan saya tidak terlibat,’ katanya.

Menurut Husam, fitnah tersebut samalah dengan apa yang dihadapinya berkaitan tuduhan mengupah seorang penulis membuat artikel memburukkan pemimpin.

“Semua itu tidak benar. Walhal penulis berkenaan selama empat tahun menyerang saya, sehinggalah dalam satu majlis alumni penulis berkenaan duduk dekat saya. Dan hanya kerana itu saya dituduh mengupah penulis berkenaan memburukkan pemimpin,” tegasnya.

Husam sebelum itu menyampaikan kertas kerja kedua yang memperincikan tajuk ‘Terus Beristiqamah’ ucapan dasar presiden pada muktamar PAS yang lalu.

Beliau mengaitkan istiqamah dalam parti mestilah bersatu dan tidak menerima hasutan luar seperti melaga-lagakan ulamah dan profesional dalam PAS.

“Perlu diperbetulkan balik hubungan sesama dalam PAS dan kena sedar dengan permainan musuh. Jangan perbesarkan isu-isu dalaman parti terutama dalam media sosial.

“Pelaku kesalahan dalam jamaah perlu diambil tindakan supaya virus itu tidak merebak menjangkiti orang lain, “ katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya dihadamkan kembali buku yang ditulis oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Awang mengenai syarat-syarat kemenangan gerakan Islam.

Caption
Husam