Wednesday, September 24, 2014

Adun Mentakab turun padang

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji meneruskan rutinnya bertemu rakyat di kawasannya.

Kelmarin bermula pada jam 9 pagi beliau telah duduk bersarapan dengan penduduk Kampung Mambang Berulang, Sungai Dingin, Bukit Chermin dan Gantuk sambil mendengar pelbagai permasalahan yang ditimbulkan oleh mereka.

Pada jam 12 tengahari pula menerima aduan dari seorang penduduk yang memohon baiki atap bocor. Juga minta pengesahan borang, bantuan JKM dan penerangan insuran bencana alam.

Manakala pada 9 malam pula menziarahi kematian emak kepada Encik Khoo Lai Choon yang beralamat di no 6, Taman KSM, Mentakab.




Thursday, September 18, 2014

Rumah pembantu Adun Semantan terbakar, cucu rentung

Rumah pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan, Ahmad Zubir Omar terbakar pada petang Isnin lalu dan mengorbankan cucunya.

Menurut Zubir dalam tragedi jam enam petang itu, cucunya Mohd Hakimi Mohd Redzuan, 12, yang berkelainan upaya (OKU), terperangkap dalam api marak sehingga rentung 85 peratus daripada seluruh badannya.

“Saya kebetulan berada di Kuantan ketika kejadian atas satu urusan dan bergegas pulang. Cucu saya bersama isteri, tetapi dia tinggal berseorangan dalam rumah pada masa itu dan isteri saya berada di belakang rumah.

“Api terlalu cepat marak dan menjilat keseluruhan rumah papan dalam tempoh yang singkat. Bomba yang tiba 10 minit kemudian hanya berjaya menghalang kebakaran rumah batu sebelah bawah.

“Cucu saya gagal diselamatkan dan ditemui bomba berada berhampiran pintu masuk rumah,” katanya ketika ditemui selepas Solat jenazah di Masjid Kampung Bukit Kelulut pagi tadi.

Zubir pesara sebuah syarikat telekomunikasi, ialah bekas Setiausaha PAS Kawasan Temerloh dan juga bekas Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Kuala Semantan.
Sementara itu Adun Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamad ketika ditemui di tempat yang sama, merayu orang ramai agar menyalurkan bantuan kewangan semampu mungkin bagi pembantunya dapat membaiki rumah yang tinggal sebagai tempat berlindung.

Katanya, kebanyakan barangannya musnah dan beliau terpaksa memulakan hidup baru tetapi yang mustahak pada masa ini ialah membaiki kediamannya.

Bagi sesiapa yang berhajat untuk membantu bolehlah memasukkan wang ke akaun Ahmad Zubir 10605800021811 (RHB) atau menelefon beliau di talian 0108074199.






Monday, September 15, 2014

GST Untuk Petrol dan Diesel: Bila Kerajaan Mahu Umum?

Jaminan Kerajaan Barisan Nasional kononnya perlaksanaan Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak akan menyebabkan kenaikan melampau harga barang bakal menjadi satu mitos moden. Ia berikutan kegagalan kerajaan mengumumkan petrol dan diesel termasuk dalam senarai pengecualian GST.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah membuat jangkaan awal bahawa GST menyebabkan kenaikan harga barang tidak mampu dikawal. Rakyat adalah mangsa kerana bukan sahaja tidak bersedia, malah tidak mengetahui betapa perbelanjaan mereka akan berganda khususnya selepas April 2015.

Apabila komoditi petrol dan diesel dikenakan cukai GST, kenaikan hampir 15sen seliter ini akan menjadi satu 'chain reaction' kenaikan harga barang yang merosakkan kuasa membeli rakyat Malaysia.

Lebih malang ketika rakyat dikenakan GST, pelancong yang hadir ke negara ini dibenarkan 'refund' semula cukai GST yang dikenakan (setelah berbelanja hingga ke suatu angka) tetapi apakah akan ada mekanisma yang membolehkan pihak tertentu seperti penggunaan petrol/diesel kenderaan syarikat/perdagangan 'refund' GST? Ramai rakyat yang tidak tahu mengenai perkara ini, kerajaan wajar umum semua perkara GST.

Perlaksanaan GST versi Malaysia dilihat penuh dengan helah tersembunyi tidak seperti perlaksanaan GST negara barat yang telus dan pulangan perkhidmatan kerajaan yang cemerlang. Contohnya, kerajaan telah umum tiada GST untuk bayaran tol namun setiap kali pengisian semula kad pra-bayar Touch n Go akan dikenakan GST. Dalam masa sama, kerajaan secara berperingkat memperkenal tol tanpa laluan tunai yang memaksa pengguna memiliki kad pra-bayar (Touch n Go).

SAMM juga menggesa pihak kerajaan mengumumkan senarai 85 barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan cukai sebelum pembentangan bajet 2015. Senarai tersebut harus menjadi pengetahuan dan perbincangan umum sebelum ia digazetkan.

Bagi SAMM, rakyat selama ini bisa sahaja membayar apa jua cukai yang berpatutan, tetapi harus tidak rela ditipu atas nama cukai GST.

Sekian,

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Friday, September 12, 2014

Hentikan terus projek ikan sturgeon - PAS Pahang

TEMERLOH: PAS Pahang mendesak Kerajaan Negeri Pahang menangguh atau menghentikan segera projek penternakan ikan sturgeon di Kuala Tahan, Jerantut sehingga diselesaikan pelbagai persoalan.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang Andansura Rabu dalam sidang medianya hari ini, berkata pelaksanaan projek yang diusahakan oleh Felda Global Venture Holding (FGV) bersama sebuah syarikat dari Korea Selatan itu tidak melalui prosedur yang sepatutnya iaitu proses penilaian impak alam sekitar (PDE).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Beserah berkata, PAS bimbang projek tersebut bakal menyebabkan kemusnahan alam sekitar, ekosistem serta flora dan fauna di kawasan yang telahpun diwartakan sebagai Taman Negara dan Pusat Biodiversiti Negara itu.

“Bayangkan kedudukan tapak projek terlalu hampir dengan kawasan sensitif yang diwartakan sebagai Taman Negara iaitu pusat pelancongan utama negara. Jarak lokasi projek hanya kira-kira 40 meter daripada Sungai Tembeling

“Apa yang dibimbangkan ialah sisa buangan sama ada dalam bentuk pepejal ataupun cairan termasuk bakteria bawaan penyakit terlepas ke Sungai Tembeling iaitu sumber utama bekalan air bagi penduduk setempat,” ujarnya.

Menurut Andansura, sudah tentu ianya akan menyebabkan pencemaran kualiti air sungai sehingga menjejaskan kesihatan dan sumber ekonomi penduduk pesisir Sungai Tembeling.

Menurut laporan, kerja-kerja penebangan balak sedang berjalan di kawasan Sungai Tabung seluas 50 ekar selain daripada pembinaan jalan sementara ke tapak projek. Difahamkan, ia satu projek di bawah ECER.

Sebelum ini, projek berisiko ini turut mendapat bantahan Sahabat Alam (SAM), Persatuan Pencinta Alam (MNS) dan Persatuan Operator Pelancongan Taman Negara Pahang.

Andansura berkata, ikan sturgeon yang berasal dari luar negara itu telah dilarang dibawa masuk mengikut Akta Perikanan kerana habitatnya memakan ikan-ikan lain. Kebimbangan penduduk ialah jika ikan tersebut terlepas ke Sungai Tembeling dan Sungai Pahang.

“Kita juga khuatir, untuk membolehkan projek ini dilaksanakan maka kegiatan penebangan hutan kawasan tadahan. Ini akan menyebabkan proses hakisan tanah yang teruk, runtuhan dan banjir lumpur sehingga menyebabkan kemusnahan.

“Oleh yang demikian PAS Pahang merasakan wajar projek ini dihentikan kerana kesan kerosakan kepada alam sekitar yang akhirnya gagal dikawal.

“Akhirnya projek ini tidak memulangkan keuntungan hasil ekonomi kepada kerajaan negeri dan tidak meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat.

Sementara itu pengerusi badan bertindak projek berkenaan Mohd Zakhwan Ahmad Badardin yang turut bersama dalam sidang media, berkata penduduk di Kuala Tahan pernah memohon tanah di kawasan projek untuk aktiviti pertanian. Namun tidak diluluskan oleh pejabat tanah atas alasan pemeliharaan alam sekitar.

“Tetapi kenapa dianugerahkan kepada FGV?,” soalnya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Pahang Yohanis Ahmad, berkata FGVH sepatutnya mengkaji balik projek berkenaan kerana tidak menampakkan keuntungan dan lari daripada matlamat asal.

“Warga Felda terdapat banyak masalah seperti masalah duit raya peneroka yang dinafikan, perumahan generasi kedua Felda dan geran peneroka yang masih belum dapat. FGVH sepatutnya menumpukan penyelesaian masalah tersebut daripada melabur dalam projek berisiko yang belum tentu mendapatkan keuntungan itu,” katanya.

CAPTION
Andansura (tengah) bersama (dari kiri) Syed Abdul Rahman, Zakhwan, Yohanis dan Youslydi menunjukkan poster ‘Yes to Kelah, no tu Sturgeon’


Pembocor soalan adalah penjenayah akademik

TEMERLOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) hari ini mengecam keras tindakan pihak tidak bertanggungjawab sehingga bocornya kertas soalan subjek Sains dan terbaru Bahasa Inggeris.

Dalam kenyataan medianya Ketua Pemuda PAS Pahang Nazri Ahmad berkata, perbuatan dilakukan pihak tersebut sangat tidak wajar boleh dianggap sebagai jenayah akademik kerana secara tidak disedari boleh merosakkan masa depan bangsa sendiri.

“Saya mengambil maklum berita yang menjadi viral di laman-laman sosial pada petang ini mengenai penangguhan peperiksaan UPSR bagi subjek Sains kertas 018, 028, 038. Peperiksaan yang mengikut jadual berlangsung pada 11 September 2014 akan ditunda kepada 30 September 2014.

“Hari ini pula menteri berkaitan mengumumkan peperiksaan semula subjek Bahasa Inggeris. Bagi saya atas nilai integriti dan amanah, bolehlah di katakan mereka ini melakukan jenayah akademik yang boleh merosakkan masa depan bangsa.

“Tindakan dan ketamakan mereka telah meruntuhkan nilai-nilai murni seperti bertawakkal, berusaha, gigih serta tekun yang sentiasa di tanam oleh warga pendidik tanpa jemu kepada pelajar sebagai perisai jati diri yang utuh,” ujarnya.

Serentak dengan itu DPPNP menyokong tindakan Lembaga Peperiksaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia menangguhkan kertas Sains pada peperiksaan ini bagi memberi masa untuk peperiksaan semula serta menjamin keadilan yang sewajarnya bagi semua calon UPSR.

“Dalam masa yang sama juga kami menggesa agar tindakan yang sewajarnya diambil ke atas mereka yang telah mencalarkan sejarah serta nama baik sistem peperiksaan di Malaysia,” tambahnya.

Nazri turut memetik ayat al-Quran dari surah An-Nisa' ayat 58 ytang menegaskan “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat.”

~ Nazri (kiri sekali) dalam sidang media.

Tuesday, September 9, 2014

Adun Mentakab tambun sendiri lopak bahaya

TEMERLOH: Setelah lebih seminggu aduan dibuat oleh penduduk kepada Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) berkaitan lopak besar di hadapan Sekolah Cina Bandar Mentakab tidak diindahkan, akhirnya wakil rakyatnya sendiri yang turun menambun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, beliau menyelesaikannya bersama sukarelawan bagi mengelakkan sesuatu yang bahaya berlaku terutama kepada pelajar sekolah berdekatan.

Ceritanya kepada media, semalam semasa dalam perjalanan pulang daripada program mengagihkan kuih bulan beliau telah meninjau keadaan lopak besar dimaksudkan yang telah diadukan penduduknya kepadanya.

“Kemudian berhenti satu lori satu tan di depan saya dan memberitahu dia mahu menambun lubang tersebut. Saya bertanya pada pemandu lori tersebut adakah beliau kontraktor yang di lantik untuk buat kerja itu?

“Pemandu lori itu memperkenalkan diri beliau sebagai Wai, rupanya seorang sukarelawan, beliau buat Kerja amal ini kerana telah ramai penunggang motor jatuh dalam lopak tersebut,” katanya.

Zulpuri berkata, oleh kerana keprihatinan pemandu lori tersebut menyentuh perasannya, lalu beliau turut sama membantu demi untuk keselamatan orang awam dan pelajar-pelajar sekolah yang menggunakan jalan berkenaan.

Tambahnya, banyak lagi jalan yang berlopak dan membentuk lubang besar di jalan raya sekitar Mentakab berikutan hujan sejak akhir-akhir ini.


~ Zulpuri membantu sukarelawan menambun lopak atas jalan


Usah Berdalih Lagi, Hentikan Segera Bantuan Ekonomi dan Perdagangan Malaysia-Israel

Selesai sahaja sidang media aksi #PagarMiTi298 “Hentikan Perdagangan Malaysia dengan Israel” yang dikelola oleh SAMM dan sekutu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tampil memberikan penjelasan separa masak dalam isu ini.

Sehubungan itu, SAMM sekali lagi tampil meminta Menteri MITI untuk menjawab penjelasan yang telah beliau berikan tersebut :

Produk yang dihantar ke Palestin melalui Israel


Dunia mengetahui bahawa serangan rejim Zionis terhadap Gaza Humanitarian Aid Flotilla – Mavi Marmara pada 31 Mei 2010 sehingga menyebabkan Perdana Menteri Turki ketika itu Tayyip Erdogan telah menghalau keluar kedutaan Israel daripada Turki. Malah, 6 hari lepas, regim Zionis Israel telah pun melancarkan serangan udara menggunakan pesawat F-16 terhadap rombongan misi kemanusiaan Venezuela ke Gaza.

Bagaimana Menteri MITI boleh membuat kesimpulan bahawa regim Israel ini begitu suci dan murah hati mereka untuk melepaskan bantuan kemanusiaan masuk dengan mudah ke Palestin ataupun produk-produk yang boleh membantu urusan pembangunan ekonomi di wilayah Palestin? Jika regim Zionis ini begitu mulia hatinya tidak perlu warga Palestin bermurah hati untuk menggali terowong-terowong tikus bagi tujuan menyeludup masuk bekalan makanan, pakaian dan gas ke wilayah mereka.

SAMM telah mendedahkan isu perdagangan Malaysia dengan Israel ini semenjak tahun 2010 lagi. MITI sering membisu dalam isu ini dan mengelak untuk menjawap. Dalam Perbahasan Belanjawan 2012, YB Er Teck Hwa, Ahli Parlimen Kawasan Bakri telah membawakan isu ini dan Menteri MITI hanya memberikan jawapan bahawa perhubungan Malaysia dan lsrael adalah melalui rangkaian bekalan antarabangsa (international supply chain).

Namun, apabila SAMM terus membongkarkan dokumen demi dokumen, Menteri berubah nada dan menyatakan bahawa perdagangan ini adalah untuk menyelamatkan Palestin. Mengapa Menteri sering berdolak dalik? Apakah yang sedang dipertahankan oleh MITI dan keseluruhan Kabinet? Adakah MITI sedang mempertahankan kepentingan regim Zionis ataupun Ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat-Syarikat yang mempunyai hubungan perdagangan dengan Israel?

SAMM dengan ini mendesak Kementerian untuk menjelaskan apakah jenis produk, syarikat yang terlibat dan nilai dagangan yang dihantar ke Palestin. Adakah Malaysia mempunyai pengesahan bahawa Pelabuhan di Ashdod, Israel itu digunakan sebagai transit sebelum produk-produk ini dihantar masuk ke Palestin.

Menteri tidak harus sekadar memberikan jawapan rambang sebaliknya mesti diiringi dengan fakta-fakta sahih. Dimanakah bukti-bukti produk-produk ini diterima oleh Syarikat-Syarikat atau perusahaan-perusahaan milik rakyat Palestin atau beralamat di wilayah Palestin?

Jika tidak, Menteri sekali lagi seperti kebiasaan terus kekal berbohong dan memanipulasi fakta untuk berselindung dan menyelamatkan diri semata-mata. Adakah Menteri juga merelakan setiap daripada rakyat Malaysia menjadi penyumbang kepada kematian rakyat Palestin selama ini?

Hubungan Eksport Israel ke Malaysia dan Penglibatan Syarikat Tempatan Dengan Syarikat Berpengkalan di Israel

Dalam isu hubungan perdagangan ini, SAMM tidak sekadar menyebut mengenai produk tempatan yang dieksport ke Israel tetapi juga melibatkan statistik eksport Israel ke Malaysia. Produk-produk yang dikeluarkan di Israel atau Made In Israel dan kita membantu untuk membelinya melalui syarikat-syarikat MNC.

Adakah MITI juga ingin mengatakan bahawa produk-produk ini berasal atau Country of Origin adalah dari Palestin yang hanya menggunakan pelabuhan-pelabuhan di sekitar Ashdod atau Haifa, Israel? Sejak bila Palestin mempunyai kilang-kilang industri membuat material-material atau komponen produk?

Menteri tidak sepatutnya mengecilkan skop seolah-olah hanya barang-barang bantuan kemanusiaan ke Palestin sahaja yang kita hantar selama ini. Kelemahan dan sikap sering menunduk kepada konglomerat asing oleh Pemerintah ini dalam menghalang produk “Made In Israel” masuk ke negara ini adalah sangat dangkal dan tidak boleh diterima.

Apakah Malaysia tidak lagi mempunyai kedaulatan sehingga mudah mengikut telunjuk pelabur asing? Mengapa Pemerintah tidak mempunyai keberanian seperti Turki, Chile, dan kebanyakkan negara Kesatuan Eropah yang begitu tegas menghalang perdagangan dengan Israel? Seperti mana ketegasan dan keberanian kita mengikut telunjuk Amerika Syarikat semasa menghentikan dagangan minyak dengan Iran pada tahun 2012 dahulu.

Keadaan ini samalah juga dengan sikap kita yang mengagungkan dan menyanjung tinggi Henry Gurney sehingga kini walaupun Henry Gurney ini merupakan watak belakang tabir yang mewujudkan negara Israel dan merampas tanah dan hak warga Palestin sebagai manusia yang bebas dan merdeka di dunia ini.

Bagaimana pula dengan syarikat perkapalan Zim yang bebas keluar masuk ke pelabuhan-pelabuhan kita, Syarikat AMDOCS yang digunapakai oleh ASTRO, APCO Worldwide yang menjadi penasihat Kerajaan dan lain-lain, apakah semua syarikat ini tidak berdaftar dan mempunyai lesen perniagaan. Siapakah pula yang memberikan syarikat-syarikat yang berlatarbelakangkan Zionis Israel ini diberikan lesen perniagaan di Malaysia?

Syarikat-syarikat yang diasaskan atau berpengkalan di Israel ini sudah pasti akan membawa balik setiap sen keuntungannya ke Israel. Tidak mungkin Mak Timah di Ulu Choh, Ah Seng di Kuala Kurau, Maniam di Telok Kemang dan jutaan lagi rakyat Malaysia akan menerima laba keuntungan syarikat ini apatah pula rakyat Palestin yang telah lebih 60 tahun menjadi mangsa penghapusan etnik regim zalim Zionis Israel ini.

Alasan bahawa syarikat-syarikat ini didagangkan di New York Stock Exchange (NYSE) juga hanya satu alasan untuk mengaburi pandangan khalayak dan mengelakkan sentimen kempen Boycott, Divestment and Sanction (BDS) yang banyak dilakukan di negara-negara luar terutamanya dalam Kesatuan Eropah.

Penutup


Melihat kepada respons yang diberikan Menteri adalah merupakan satu cubaan untuk membela diri dengan penjelasan serba kemungkinan tanpa ada sebarang hujah-hujah atau statistik-statistik atau fakta-fakta iringan yang lebih konkrit untuk mewajarkan penjelasan beliau.

Beberapa perkara yang sering SAMM bangkitkan dalam isu perdagangan dengan Israel ini masih tidak dapat dijawab dengan tuntas oleh Kementerian. Menteri MITI sekadar memberikan jawapan umpama melepaskan batuk di tangga untuk mewajarkan tindakan Kabinet pada tahun 1996 yang telah memberikan kelulusan untuk perdagangan dengan Israel.

Ini hanyalah satu cubaan untuk meredakan kemarahan rakyat Malaysia yang tidak pernah bersetuju dengan sebarang bentuk keganasan terhadap manusia sejagat. Tetapi malangnya sifat munafiq itu tidak mampu disorok lagi.

Ayuh kita bersama Solidariti buat Warga Palestin dengan turun beramai-ramai dalam aksi #PagarMiTi298 : Malaysia STOP Arming Israel pada 29 Ogos 2014 di hadapan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Jalan Duta, Kuala Lumpur bermula dengan solat jumaat di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Inilah harinya untuk rakyat Malaysia bangkit menyatakan kepedulian kita terhadap kemanusiaan di Gaza yang mendapat perhatian antarabangsa.

sekian,


Ahmad Anwar Asyraf

Penyelaras SAMM Kebangsaan



Wednesday, September 3, 2014

Tak patut Adun Semambu dilarang sambut merdeka - Tuan Ibrahim

KUANTAN: PAS Pahang melahirkan rasa dukacita dengan larangan Kerajaan Negeri Pahang terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu Lee Chean Chung daripada menghadiri perarakan hari kemerdekaan.

Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan tersebut tidak langsung menggambarkan sifat patriotisme dalam saat-saat negara menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ke 57.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS mengulas isu Adun DAP itu yang dilarang menyertai sambutan Hari Merdeka peringkat negeri Pahang melalui panggilan telefon oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu daripada PKR Lee Chean Chung dibatalkan ekoran penggantungannya daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) selama dua sesi.

Tuan Ibrahim berkata, sebenarnya isu penggantungan dewan bukan bermakna wakil rakyat tersebut tidak boleh hadir semua program.

“Bila dah digantung dia dilarang menghadiri sidang dewan kita fahamlah sebab itu hak dewan. Tapi apa hak untuk membatalkan Adun berkenaan menyertai perarakan sambutan kemerdekaan.

“Sepatutnya perkara itu tidak berlaku. dan bagi PAS di saat-saat menyambut kemerdekaan yang sering diuar-uarkan supaya mengenepikan nilai-nilai politik kepartian, kita bersama membangunkan negara ternyata ternyata gagal diterjemahkan oleh pemimpin kerajaan negeri ini.

“Sebab dia tetap ahli yang berhormat, dia masih dibayar elaun, dia masih ada hak sebagai Adun. Di luar dewan rakyat masih menganggapnya sebagai wakil rakyat dan rakyat di kawasannya masih datang menemuinya dan meminta pertolongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai Hari Keluarga Badan Perhubungan dan Amilin PAS Pahang di sebuah resort pinggir Laut China Selatan di sini.

Tuan Ibrahim berkata, sepatutnya pemimpin kerajaan meminta maaf kepada beliau demi maruah kerana beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan sehingga dilarang menyertai sambutan merdeka yang sepatutnya diraikan oleh semua.

Sementara itu, kira-kira 200 orang menyertai hari keluarga sempena cuti hari merdeka 31 Ogos dan 1 September baru-baru ini. Mereka terdiri daripada anggota Badan Perhubungan (BPPNP) diketuai Pesuruhjaya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, kedua-dua timbalan Ustaz Yusof Embong dan Md Jusoh Darus hadir bersama keluarga masing-masing. Turut menyertai, petugas-petugas sepenuh masa dengan PAS seluruh negeri ini.

Tuan Ibrahim dalam ucapan penutup berkata program yang diadakan berjaya menjalin dan mengeratkan ukhuwah sesama peserta.

"Saya cadangkan hari keluarga seperti ini dimasukkan dalam kalender tahunan PAS Pahang kerana berjaya mengeratkan ukhuwah tanpa mengira kedudukan masing-masing dalam parti dan silaturahim sesama keluarga.

"Dengan program kekeluargaan seperti ini insyaallah dapat meningkatkan lagi ruh perjuangan buat bekalan masa hadapan," katanya sebelum bergegas ke Kuala Lumpur untuk menyertai satu program anjuran PAS Pusat.

~ Andansura menyerahkan potret Tuan Ibrahim yang dilukis oleh seorang ahli PAS Indera Mahkota.

Perbandingan JMF dan PPS Adalah Dangkal Dan Tidak Tepat

Johore Military Forces (JMF) atau Askar Timbalan Setia ditubuhkan pada tahun 1886 sebagai memenuhi syarat Perjanjian Setia 1885 antara Kerajaan Johor dan Kerajaan Great Britain. JMF ini juga terlindung di bawah Enakmen No 13 Negeri Johor - Johore Military Forces Enactment 1915.

Walaupun terdapat usaha Kerajaan Persekutuan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Johore Military Forces (Disbandment and Repeal) 1994 namun ia tidak berjaya melepasi bacaan kedua di Dewan Rakyat.

Tun Salleh Abbas, Ketua Hakim Negara ketika itu telah menasihatkan pihak Istana Bukit Serene bahawa JMF ini telah diwujudkan lebih dahulu daripada Rejimen Askar Melayu DiRaja dan penubuhan serta pengekalan JMF ini adalah sebahagian hak dan keistimewaan Istana dan Negeri Johor.

Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai legitimasi dan hak untuk membatalkan keistimewaan hak tersebut tanpa persetujuan Sultan Johor. Pandangan Tun Salleh telah disokong oleh Neil Lawson yang menjadi Penasihat Perundangan semasa perbincangan menuntut kemerdekaan.

Maka, untuk membandingkan JMF dan PPS adalah tidak tepat. Tidak sewajarnya JMF yang mempunyai legitimasi undang-undang dan sejarah ini dimanipulasi dalam sengketa politik domestik.

Sehubungan itu, SAMM Johor memperingatkan semua pemain politik tempatan, dalam kita berpolitik, kita juga harus mempunyai etika dan moral. Fakta yang dibentangkan perlu mempunyai asas dan perbandingan juga haruslah berlandaskan Apple to an Apple bukannya Apple to an Orange.

"Johore Untuk Rakyat Johore"

Ahmad Anwar Asyraf