Monday, June 30, 2014

PAS Pahang bantu tiga beradik kematian ibu

TEMERLOH: Nasib tiga beradik malang yang terpaksa menumpang kasih nenek berikutan ibu mereka yang meninggal dunia akibat kemalangan, mendapat perhatian dan simpati PAS Pahang.

Sehubungan itu PAS Pahang melalui Prihatin Rakyat Lajnah Kebajikan semalam menyampaikan sumbangan kepada nenek tiga beradik berkenaan, Maziah Omar, 68.

Maziah yang juga merupakan pekerja separuh masa sebagai tukang sapu di pejabat PAS Pahang di sini, menerima sumbangan wang tunai daripada Setiausaha Kerja PAS Pahang Amira Shaharuddin.

“Kami memahami kesedihan dan kesempitan makcik (Maziah) yang selama ini kami sudah anggap sebagai rakan sekerja.

“Dengan itu Prihatin Rakyat buat permulaan ini menghulurkan sedikit bantuan kewangan sempena Ramadan dan jika ada rezeki, akan disumbangkan lagi dari masa ke semasa,” kata Amira.

Menantu Maziah, Rosmawati Mohd Mahidin, 32, ibu kepada tiga beradik) ditimpa kemalangan kira-kira jam 7.30 malam 10 Jun lalu ketika menunggang motosikal untuk ke tempat kerja sebagai pembantu kedai makan di Kampung Seberang Temerloh di sini.

Menurut Maziah yang tinggal di Kampung Padang Tenggala di sini, menantunya terlanggar longgokan batu yang dibuang sebuah lori yang menjalankan kerja membuat jalan di kampung berkenaan sehingga tercampak dan koma.

Seminggu kemudian, Rosmawati meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh meninggalkan tiga anaknya Nurul Nabila, 14, Nurul Elya Syafina, 6, dan Syabil Nazrin, 5, yang semuanya masih bersekolah.

Sementara itu menurut Maziah yang memelihara seorang lagi cucu, suami Rosmawati, Hazranizam, bekerja sebagai buruh di Thailand.

CAPTION
Amira (tengah) menyampaikan sumbangan wang kepada Maziah.


Saturday, June 28, 2014

Ahli Parlimen lunas janji PRU

Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan hari ini mulai melunaskan satu lagi janji pilihan raya umum (PRU) yang lalu iaitu memberi bantuan benih ikan kepada penternak ikan sangkar di daerah ini.

Berikutan itu, sebanyak 2,000 anak ikan patin dilepaskan kepada penternak ikan sangkar di Kampung Paya Kechik dan Kampung Lompat dekat sini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu turut menyampaikan bantuan jala kepada tiga orang nelayan sungai di kampung yang sama.

“Hari ini kita sumbangkan dulu kepada dua penternak. Kita bagi beringkat-peringkat. Sasaran kita boleh memenuhi keperluan antara tiga ke empat orang penternak dalam sebulan sehingga semua yang memerlukan dapat.

“Kita tidak mempunyai peruntukan rasmi daripada kerajaan. Jadi kita terpaksa menghadkan sumbangan kepada mereka yang betul-betul memerlukan kerana kita juga mencari dana daripada sumbangan orang ramai,” ujarnya.

Kata Nasrudin, usaha tersebut bagi melunaskan apa yang dijanjikan sebelum PRU dan agak tergendala, tetapi akhirnya berjaya walaupun tidak mampu memberi secara serentak kepada pengusaha sangkar kerana terpaksa menggunakan kos yang besar.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh Md Jusoh Darus.

Mengenai kritikan sesetengah pihak kononnya beliau hanya menumpukan kuliah dimasjid, Nasrudin menafikannya dan berkata penduduk di sini merangkumi semua aspek kategori masyarakat.

“Ada yang di pasar, ada yang di padang dan ada yang di masjid. Kekerapan kuliah ilmu di masjid. Kesemuanya saya pergi. Saya perasaan seperti ada yang tak senang apabila saya begitu aktif menghidupkan masjid dan surau.

“Bagi saya sebahagian daripada pembentukan masyarakat dan daerah mesti ebrmula daripada ilmu. Jadi salah satu ialah melalui kuliah yg konsisten. Jadi sebab itu satu kuliah saya boleh bertemu ratusan malah ribuan pengunjung atau rakyat yang hadir.

“Maka saya dapat tiga dalam satu. Yang pertama saya dapat bekalkan ilmu yang kedua saya dapat beramah mesra dengan rakyat di Temerloh dan yang ketiga saya dapat maklum balas daripada mereka apa yang perlu saya lakukan sebagai wakil rakyat di Parlimen Temerloh,” katanya.

Nasrudin menjelaskan, beliau tidak merasa kesal dengan aktiviti malah merasa bangga kerana dapat menghidupkan masjid. Dengan itu bukan saja dapat membekalkan agama tetapi juga dapat memulihkan sistem sosial seperti menasihatkan mereka supaya menjauhkan diri daripada kemungkaran, jenayah dan semua itu nasihat datang daripada majlis-majlis yang diadakan.

CAPTION
Nasrudin (dua kiri) sedang melepaskan anak benih ikan patin ke dalam sangkar seorang penternak.















Thursday, June 26, 2014

YDP PAS Bera kembali ke rahmatullah

BERA:
Setelah kira-kira 80 hari terlantar dan bergelut dengan penderitaan akibat pecah saluran darah dalam otak, akhirnya jam 3 pagi tadi (26 Jun) Yang Dipertua PAS Kawasan Bera, Ustaz Sulaiman Muhamad, 52, meninggal dunia di wad neurologi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut waris, doktor mengesahkan Allahyarham menghadapi masalah jantung dan komplilasi buah pinggang.

Beliau meninggalkan balu Suhaila Abd Mutalib dan lima orang cahaya mata berusia antara enam ke 17 tahun.

Sulaiman menjawat YDP Kawasan bermula 2005 hingga sekarang dan sebelum itu Naib Ketua Pemuda PAS Temerloh.

Allahyarham yang juga AJK Badan Perhubungan, merupakan pendakwah sepenuh masa dan juga pentadbir pondok pengajian Padang Luas, dekat sini.

“PAS kehilangan seorang pemimpin berdisiplin dan pejuang Islam yang tidak pernah mengenal erti penat sejak zaman mudanya,” kata Timbalan YDP PAS Bera Musaniff yang juga Bendahari PAS Pahang.

Jenazah Allahyarham disemadikan di tanah perkuburan Bukit Keledang, iaitu di kampung asalnya setelah disolatkan di masjid Padang Luas dan Bukit Keledang oleh hampir keseluruhan PAS Pahang, sahabat serta anak-anak murid beliau.


~ Datuk Tuan Ibrahim menziarah Ustaz Sulaiman ketika mula dimasukkan ke hospital Temerloh.