Tuesday, July 30, 2013

Ubah laluan: Kenapa rakyat jadi tikus makmal?

KUANTAN: Pengguna-pengguna jalan raya di bandar ini tidak henti-henti merungut akibat kesesakan luar biasa selepas Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) membuat percubaan mengubah laluan trafik bermula 22 Julai lalu.

Ini disebabkan bukan sahaja masalah kesesakan tidak dapat diatasi, malah juga menimbulkan kekeliruan akibat arahan yang berubah-rubah, meskipun pada asalnya untuk mengelakkan kesesakan.

Antara usaha yang dibuat ialah mengubah jalan dua hala selama ini dijadikan jalan sehala. Jalan-jalan yang terlibat adalah Jalan Penjara, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Tun Ismail, Jalan Beserah, Jalan Teluk Sisek dan Jalan Besar.

Tinjauan mendapati, kebanyakan pembahagi jalan sudah dibuang tetapi tiang elektrik di tengah jalan masih dibiarkan. Manakala di beberapa simpang diletakkan kon.

Ini berikutan MPK dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) melaksanakan program perubahan arah aliran trafik dengan tempoh percubaan tiga bulan melibatkan kos sebanyak RM4 juta dan akan berakhir pada 21 Oktober ini.

Seorang pengguna Alang Ahmad Teh, berkata perubahan aliran trafik memang membawa kelam-kabut akibat kekeliruan kepada pengguna.

“Bayangkan, penduduk Kuantan yang menggunakan jalan ini setiap hari juga kadang-kala terpaksa berpusing-pusing di tengah bandar akibat terkeliru, inikan pula pelancong.

“Saya mendengar aduan ada kakitangan pejabat di bandar ini menghadapi kesukaran umpamanya apabila tersalah mengambil lorong akibat perjalanan mengambil jarak yang jauh,” jelasnya yang tinggal di Kampung Teluk Mahang.

Beliau khuatir perancangan dibuat tanpa kajian teliti seperti mendapatkan dulu nasihat polis trafik kerana bagi beliau jika berlaku kesesakan mestilah dilebarkan jalan, bukannya mengubah haluan jalan, katanya.

Bagi Syed Anis Syed Hussin pula, kesilapan MPK ialah membuat percubaan pada bulan ramadan yang memang kebiasaannya sentiasa sibuk kerana aktiviti perniagaan dan budaya membeli-belah termasuk daripada pengunjung luar daerah.

“Kebanyakan jalan pintas yang menghubungkan Jalan Besar dengan Jalan Mahkota ditutup, menyebabkan laluan bertambah sesak dan menyusahkan orang ramai untuk ke Masjid Negeri.

“Bagi saya ada cara lain, jika di bandar-bandar besar lain longkang dan aliran air dibina dalam tanah seperti terowong supaya di bahagian atasnya boleh digunakan sebagai jalan raya dan ini boleh meluaskan lagi jalan yang ada,” katanya yang tinggal di Kampung Razali.

Bagi Shukri Ramli, perubahan aliran trafik oleh MPK ini bukan sahaja menyusahkan penduduk bahkan ia memberi imej yang tidak baik kepada pelancong.

“Umpamanya pelancong yang datang dari arah Jalan Gambang untuk ke Teluk Chempedak terpaksa mengikut jalan Wong Ah Jang melalui Megamall terus ke Jalan Beserah dan ke kanan. Perjalanan tersebut bukan sahaja sentiasa sesak tetapi juga terpaksa mengambil masa kerana jarak yang lebih jauh.

“Saya difahamkan peniaga-peniaga di Kuantan Parade turut tidak puas hati dan berdemonstrasi sejak Jalan Penjara dijadikan jalan sehala sehingga mereka semakin kekurangan pelanggan,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, dalam sidang medianya kesal kerana rakyat dijadikan tukus makmal dengan simulasi di jalan raya sedangkan ada kaedah lebih sesuai tanpa menyusahkan orang ramai.

“Eksperimen yang dilakukan MPK di bandar ini menyebabkan keadaan sesak sehingga ramai merungut, malah kesesakan semakin teruk kerana arahan berubah-uabah dalam tempoh tiga hari,” katanya.

Tambah beliau, pakar lalu lintas juga memaklumkan masih ada cara terbaik untuk mengubah laluan.

Gambar:
Jalan-jalan yang terlibat dengan perubahan

Friday, July 26, 2013

Rompakan besar di bandar kecil

TEMERLOH: Kejadian rompakan kedai emas bernilai RM3.2 juta di Mentakab dekat sini Khamis minggu lalu, terus menjadi bualan hangat orang ramai di daerah ini.

Dalam kejadian tersebut enam lelaki bertopeng bersenjatakan parang hanya mengambil masa tiga minit ‘menyapu’ 21 dulang emas ketika kedai baru dibuka oleh pemiliknya.

Rompakan sebesar itu merupakan pertama kali berlaku dalam sejarah daerah ini. Manakala perompaknya pula berjaya melarikan diri dan belum berjaya diberkas sehingga ke hari ini.

Apa yang amat memusykilkan penduduk ialah rompakan berlaku pada jam 9.30 pagi iaitu sewaktu orang ramai lalu-lalang, apatah lagi kedai emas yang menjadi mangsa itu terletak di pinggir jalan utama Mentakab-Temerloh.

Kedua, lebih membingungkan lokasi kejadian itu terletak hanya sekitar 300 meter dari Balai Polis Mentakab.

Ketiga, turut menjadi persoalan ialah bagaimana enam perompak itu boleh meloloskan diri dengan mudah untuk memecut kereta keluar ke Tol Temerloh Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) sedangkan masa yang sepatutnya diambil tidak kurang daripada 20 minit.

Lebih memeningkan penduduk, berdasarkan kenyataan polis penjenayah yang menggunakan dua kenderaan iaitu Toyota Camry dan Honda Accord kemudiannya masuk ke dalam sebuah lori kargo yang menunggu di pusat rawat dan rehat sebelum menuju ke Kuala Lumpur melalui LPT. Mudahnya? Sedangkan perjalanan ke ibu negara mengambil masa dua jam?

Setakat ini tidak ada penduduk yang berani membuat sebarang andaian tetapi hanya kehairanan dilahirkan melalui mulut ke mulut.

Seorang penduduk, Norazmi Abdul Majid, 57, berkata apa yang dikhuatiri dan menghantui penduduk ialah tahap keselamatan mereka benar-benar terkawal jika berlaku iaitu mampukah pihak berkuasa bertindak dengan pantas pada masa-masa yang akan datang.

“Mentakab tidak sebesar mana iaitu hanya bandar kedua dalam daerah ini. Maka jika itupun sudah boleh berlaku jenayah sebegini besar dan menakutkan, apa lagikah jaminan keselamatan kepada orang ramai?,” soalnya.

Tambahnya, bagi penduduk yang penting ialah jaminan keselamatan. Sebelum ini banyak kali disiarkan media cerita budak hilang kerana menjadi mangsa penculikan.

Bagi seorang penduduk lagi, Saifudin Kamarudin, 36, memang wajar jika pihak kerajaan memberi perhatian serius dan menekankan permasalahan keselamatan rakyat kerana ia termasuk dalam Aku Janji Manisfesto BN pilihan raya umum ke 13 iaitu “Meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam”.

“Propaganda kerajaan ialah menjadikan negara ini maju. Seolah-olah pembangunan sekarang ialah ke arah mengejar kemajuan itu. Untuk siapakah kemajuan apabila makin maju rakyat semakin dihambat ketakutan?,” soalnya.

Bagi beliau, sepatutnya masalah sosial mesti diutamakan namun akhir-akhir ini kes jenayah berat semakin meningkat hari demi hari.

Sementara itu, kenyataan rasmi polis menadapti suspek adalah kumpulan sama yang merompak kedai emas di Jalan Besar, Karak yang berlaku sebulan lalu.

Ini bermakna, kumpulan penjenayah itu amat aktif dan sudah dikenal pasti oleh polis. Modus operandinya sama iaitu merompak kedai emas di bandar-bandar kecil.

RAYUAN BANTUAN WANG JAMINAN MAHKAMAH DITERUSKAN

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berdepan cabaran paling getir menjelang Syawal apabila tanggal 29 Julai 2013 iaitu Isnin ini, seramai 33 aktivis yang ditangkap dalam kejadian protes penipuan SPR di depan Parlimen pada hari pertama sesi parlimen berlangsung, akan didakwa.

Berdasarkan makluman dari pegawai penyiasat (IO) kes berkenaan dari IPD Dang Wangi menyatakan 33 akan dituduh dibawah Akta Perhimpunan Aman kerana menyertai himpunan haram dan 17 orang dari mereka akan diberikan tuduhan tambahan iaitu akta 147 iaitu cubaan merusuh.

Pihak peguam juga menasihatkan agar pihak SAMM bersedia dengan wang jaminan RM5000 bagi setiap 33 orang aktivis yang bakal didakwa, menjadikan jumlah keseluruhannya RM165 ribu hanya untuk wang jamin sahaja. Dakwaan akan dijalankan di Mahkamah Jalan Duta pada hari Isnin ini iaitu kurang 10 hari dari hari perayaan Aidilfitri.

Bagi tujuan membantu gerakan dan khususnya ikat jamin kes 33 orang yang akan didakwa, boleh terus masukkan ke akaun Maybank 555041113224 atas nama Solidariti Anak Muda. Selepas menyumbang harap dapat sms ke no 0126937908 atau email ke samm4anakmuda@gmail.com bagi makluman pengesahan.

Sekian, terima kasih.

Edy Noor Reduan
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Friday, July 12, 2013

6 RESOLUSI SAMM: PASCA PRU13 MENDEPANI MASSA

Resolusi SAMM Rapat Kebangsaan 02/2013

1. SAMM menolak sepenuhnya keputusan PRU-13 yang penuh kecurangan dan SPR yang 'bekerja' di bawah JPM harus dimansuhkan, diganti dengan badan pemilih baru yang diletakkan bawah parlimen.

2. Dua tahun kebelakangan ini SAMM bekerja memberikan tumpuan mengembeling sokongan dan undi kepada Pakatan rakyat sesuai dengan maksud perubahan harus dimulakan dengan menjatuhkan regim. Selepas PRU ke 13 tumpuan kerja SAMM berubah dengan SAMM akan menumpukan program dalaman untuk menguatkan gerakan anak muda bagi meneruskan kelangsungan SAMM sebagai kelompok progresif dan bergerak ke depan.

3. Demi memperkukuh pemahaman massa rakyat terhadap SAMM maka pedoman apa dia SAMM akan dikeluarkan dalam bentuk booklet, khusus untuk mengenali SAMM dan perjuangannya. Seiring dengan itu program - program penerangan mengenainya akan dipergiat.

4. SAMM akan terus mengembeling kesedaran rakyat untuk bangkit. SAMM akan terus menjuarai isu rakyat yang dilihat makin kritikal dan sewenangnya dipermainkan oleh regim pemerintah, termasuklah isu terbaru seperti TPPA, GST. Hanya dengan kesedaran rakyat akan bangkit. SAMM yakin kebangkitan hanya melalui kesedaran akar umbi.

5. SAMM menolak keganasan Regim Assad dalam masa sama menolak usaha anasir luar khususnya barat, untuk menjatuhkan pemerintah di Syria. Di Mesir pula, SAMM menolak keras rampasan kuasa yang berlaku terhadap Mursi. Pengambil kuasa dari perubahan seharusnya faham dan mengikut kehendak rakyat bukan berdasar kehendak dan pemikiran mereka semata. Ini pengajaran penting. Dunia seharusnya lebih sensitif dengan isu kezaliman contohnya Rohingya yang seperti tenggelam.

6. Walaupun keadaan dilihat semakin sukar dan mood perlawanan yang menjunam jatuh, namun SAMM tetap bertekad dan berjanji pada tanahair ini untuk terus berjuang mempertahankan nasib rakyat, kami berjanji untuk tidak berganjak daripada jalan perjuangan kami selama ini untuk menyelamatkan ibu pertiwi dari terus dijarah.

Sekian


ISAMUDDIN SANUSI
Pengarah Sekretariat SAMM

Sunday, July 7, 2013

PRU 13, selepas dua bulan


Kelmarin, 5 Julai 2013, genaplah dua bulan daripada tarikh pilihan raya umum (PRU) ke 13. Namun di Pahang, masih terdengar cakap-cakap, rintihan dan rengusan berkaitan dengan keputusan PRU itu.

Umpamanya seorang aktivis PAS, Cikgu Notfi berkata beliau masih terkejut dengan keputusan diperolehi Pakatan Rakyat (PR) khususnya PAS dalam PRU lalu kerana pencapaiannya di luar dugaan sama sekali.

Benar PR Pahang buat pertama kalinya berjaya menghantar 12 orang wakil ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang, iaitu kurang dua kerusi lagi untuk menafikan 2/3 BN. Namun daripada 12 kerusi tersebut hanya tiga daripada PAS. Dua PKR dan tujuh DAP. DAP bertanding tujuh kerusi bermakna menang semuanya. Sedangkan PAS yang memimpin PR Pahang diberi amanah bertanding di 21 kerusi Dun.

“Bayangkan (setahun sebelum PRU) tiga kali kita (PAS) adakan Himpunan Kebangkitan Rakyat, kebanyakan program kita begitu meriah dan setiap bulan kita saksikan berbondong-bondong orang baru khususnya orang Melayu menyertai PAS tetapi keputusannya tidak menepati perkembangan ketika itu,” katanya dengan nada agak kecewa.

Memang jika disaksikan pencapaian PAS di Pahang terdapat sedikit peningkatan iaitu bertambah satu kerusi berbanding PRU 2008. Jika dulu PAS hanya memenangi Dewan Undangan Negeri Kuala Semantan dan Beserah, dalam PRU baru-baru ini PAS menambah satu lagi kerusi iaitu Tanjung Lumpur. Sedangkan sasaran PAS ialah memenangi sekurang-kurangnya 10 kerusi berpotensi.

Ertinya PAS Pahang gagal menandingi rekod pada PRU 10 di mana berjaya menghantar enam orang wakil ke Dewan. Meskipun dari segi jentera, dikatakan pada kali ini jauh lebih bersedia.

Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Md Saad berkata, PRU ke 13 ialah ‘tsunami pengundi-pengundi bermaklumat’. Maksudnya kemenangan yang diraih oleh PR semuanya di kawasan bandar iaitu Tanah Rata, Tras, Beserah, Semambu, Teruntum, Tanjung Lumpur, Mentakab, Kuala Semantan, Ketari, Bilut, Sabai dan Triang. Kemenangan pula bukannya kecil tetapi meningkat antara 1,000 hingga ke lebih 5,000 undi majoriti.

Malah Dun Damak (dalam bandar Jerantut) juga selayaknya milik PR namun tewas disebabkan pertandingan empat penjuru. Keputusannya adalah seperti berikut: Datuk Lau Lee (BN) 7,905, Koh Boon Heng (DAP) 7,841, Jamaluddin Abd Rahim (PKR) 2,435, Mohd Nor Jaafar (Bebas) 174. Majoriti 64 undi dan undi rosak 647. Ertinya undi yang diperolehi oleh kedua calon PR ialah 10,276 undi!

Malangnya semua kerusi Dun yang mempunyai peti undi Felda (kecuali Triang), PAS atau PKR kalah. Dun tersebut ialah Jelai, Padang Tengku, Batu Talam, Tahan, Pulau Tawar, Sg Lembing, Lepar, Panching, Chini, Luit, Kuala Sentul, Chenor, Jenderak, Kerdau, Jengka, Lanchang, Pelangai, Guai, Kemayan dan Bukit Ibam.

Daripada 21 Dun Felda ini hanya Jelai, Tahan, Sungai Lembing, Lepar, Panching, Luit, Chenor dan Pelangai yang berjaya mengurangkan majoriti BN berbanding PRU 12, sementara yang lainnya BN menang besar. Ada yang mengatakan, itupun disebabkan masalah calon BN yang tidak diterima.

Maka sementara menanti PAS Pahang membuat post-mortem penuh PRU 13 atau ‘retreat’, elok rasanya diperhatikan beberapa perkara berkaitan pengundi-pengundi Felda bagi menghadapi persediaan PRU 14. Ini amat perlu dan mendesak jika mengambil kira pengundi Felda merangkumi sekitar 55 peratus keseluruhan pengundi di Pahang. Dengan makna, selepas ini jika PR merancang untuk menang di negeri Pahang faktor warga Felda mestilah menjadi agenda dan keutamaan.

Bayangkan, Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Pahang, Yohanis Ahmad melahirkan kehairanan PR Pahang sudah menawarkan segala yang terbaik untuk warga Felda dalam manisfesto tetapi seolah-olah dipandang dingin.

Antara lain tawaran PR ialah menyegerakan pemberian hak milik tanah kepada peneroka yang telah melangsaikan hutang. Generasi kedua dan ketiga Felda yang layak ditawarkan menjadi peneroka baru di Felda Plantation. Memasukkan nama isteri dalam rekod pemilikan geran tanah. Serta menawarkan lot tapak rumah pertama untuk bekas kakitangan Felda dengan bayaran pindah milik minimum.

Itu hanya tawaran khas kepada warga Felda. Mereka juga mendapat manfaat daripada tawaran-tawaran lain seperti tanah dan perumahan, skim untuk anak muda, pendidikan, industri dan pertanian. Namun hanya dipandang sepi. Bahkan di saluran lima dan enam peti undi Felda pun banyak yang PAS kalah! Kenapa?

Dedahkanlah penyelewengan dalam Felda, bongkarlah ketidakadilan dalam agihan saham, belalah peneroka dalam isu penipuan gred sawit, diberilah jaminan untuk hapuskan hutang peneroka yang menjangkau ratusan ribu ringgit. Semuanya tidak dihiraukan. Kenapa?

Sepatutnya persoalan inilah yang perlu dirungkaikan dan dicari penawarnya.

Dengan lain-lain perkataan, PAS dan PR Pahang mesti merancang sesuatu atau menukar strategi bagi menangani undi Felda yang jatuh teruk daripada menyokong PR dalam PRU kali ini. Bayangkan, kemerosotan undi Felda amat ketara sehingga mengalahkan undi Melayu di kampung-kampung tradisional dan pedalaman.

Sebagai contoh, di peti undi Kampong Som, Ulu Tembeling (Dun Tahan) PAS menang. Tetapi di peti undi Felda Sungai Retam dalam Dun yang sama, PAS kalah.

Mungkin ada benarnya juga satu pendapat yang mengatakan bahawa orang Melayu (secara amnya) khuatir untuk mengundi PAS berikutan mainan media kawalan Umno. Pepatah ada mengatakan: ‘pembohongan yang diulang-ulang boleh menjadi dipercayai’. Maka jika seseorang Melayu itu menjadikan Tv3/4 dan Utuseks Malaysia sebagai bahan rujukannya, maka tidak larilah mafhum kepada pepatah tadi.

Maka bertolak dari situlah kita rasakan PAS perlu brain-storming, merancang dan bertindak sekarang. Kitapun sudah tentulah tidak mahu nanti, selepas PRU 14, jawapan yang sama (untuk menghiburkan hati yang lara) diulang-ulang kembali iaitu: “Bersabarlah, Allah belum kehendaki kita menang”.


Wednesday, July 3, 2013

HIMPUNAN MUSLIMAT PAS PAHANG, 30 JUN


Laporan SAL

Perasmian Program dimulakan pada jam 9.30 pagi dengan dirasmikan oleh Ketua Muslimat PAS Pusat Yb Ustazah Pn Zailah Mohd Yusoff. Beliau menyarankan agar muslimat komited dengan tugas dan tuntutan serta bijak dalam pengurusan masa. Selain itu juga, isteri isteri YB juga perlu aktif dalam program kebajikan dan rakyat supaya dapat memberi impak yang positif kepada parti dan jamaah.

Program himpunan ini juga turut mendapat kupasan dan penerangan yang cukup baik dari Yb Ustaz Nasrudin Hasan, merangkap Ketua Pemuda PAS Pusat. Beliau membentangkan berkenaan ‘Tarbiah, Dakwah & Siasah yang berterusan’ dalam himpunan berkenaan.

Majlis penutupan dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang iaitu Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. Besar harapan beliau agar muslimat dapat menarik golongan wanita terutama dikalangan warga felda untuk memberi kepercayaan kepada PAS.

Program ini berjaya menghimpunkan seramai 450 orang peserta dari seluruh negeri Pahang. Diharapkan agar diperingkat kawasan dapat melaksanakan program yang sama agar fikrah yang jelas dapat disampaikan kepada ahli-ahli yang lain.