Monday, May 31, 2010

Putuskan hubungan dengan Israel, Solat Hajat - Tuan Ibrahim


TEMERLOH: Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa seluruh negara Islam memutuskan hubungan dengan negara haram Israel sementara umat Islam diminta membuat Solat Hajat dan membaca Qunut Nazilah bagi memohon negara dan bangsa terkutuk itu dioitimpa mala petaka.

Menulis dalam blognya, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang tindakan sedemikian bagi menyatakan kutukan dan membalas tindakan zalim rejim laknat itu yang menyerang konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"PAS mengecam keras tindakan regim Israel menyerang konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza. Tindakan biadap ini diharap membuka mata pemimpin dunia khususnya Amerika dan sekutunya di Barat. PAS melihat tindakan tidak bermoral ini mencerminkan sikap angkuh regim Yahudi kerana adanya Amerika dan negara Barat yang sentiasa melindunginya."


"PAS menggesa seluruh negara Islam memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim tersebut. Tindakan kerajaan menggunakan APCO juga mesti ditentang dan PAS mendesak PM untuk membatalkan segera perjanjian tersebut."


"PAS memohon seluruh ahli mengadakan solat hajat seluruh negara dengan membaca qunut nazilah; agar Allah menghancurkan Yahudi laknatullah dan memelihara semua anggota konvoi."

"PAS juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kekejaman Yahudi, semoga gugurnya pejuang ini menyemarakkan lagi usaha membebaskan saudara kita di Gaza," tulis beliau dalam blognya.



Lawyer Fadzli dihalau dari premis sendiri

Oleh MOHD FADZLI MOHD RAMLY

Politik balas dendam dan nafsu jahat para pimpinan UMNO Pahang rupanya tidak berakhir atas pentas politik. Sikap rakus dan jamban inilah yang menjadi anutan mereka terhadap musuh politik mereka tanpa menyedari bahawa politik ala zaman batu itu makin dibenci rakyat.


Sewaktu sambutan Aidilfitri tahun lepas, saya telah dimaklumkan oleh Pegawai MARA Daerah Rompin, bahawa Kerajaan Pahang minta saya keluar dari pejabat premis MARA yang saya sedang sewa sekarang.


Untuk rekod, saya telah menyewa sebuah premis MARA untuk saya mula bertapak sebagai sebuah firma guaman sekitar tahun 2007, Tetuan Mohd Fadzli & Co. Pemilihan saya sebagai penyewa juga melalui saluran yang sah iaitu secara temuduga. Tiada kabel,tiada orang dalam. Saya diterima sebagai penyewa secara merit walaupun terdapat ramai penyewa lain yang turut memohon. Sebagai seorang yang baru mula mengenal erti dunia perniagaan dan bertatih, sudah tentulah mengharap sebuah premis mampu sewa seperti MARA.


Saya menyewa tanpa sebarang masalah. Sewa sentiasa berbayar. Tiada Tunggakan. Rekodnya cemerlang. Dulunya Arked MARA sunyi dan hampir tidak dikenali kalau tiada Pejabat Pos Rompin bermukim di sini. Bukan mendabik dada, tetapi selepas pejabat peguam saya mula beroperasi yang merupakan pejabat peguam pertama di Rompin, Arked MARA meriah sekali kalau tidak hingar bingar pun sesesak pasar malam Chow Kit.


Kini, UMNO peralatkan MARA untuk usir saya. Semua ini kerana saya bekas calon PAS dalam dua siri pilihanraya lalu. Ditambah perit pula bila saya sering memekakkan telinga pemimpin UMNO dengan berdiri secara terbuka mengecam kezaliman dan salah laku pemimpin UMNO dan Barisan Nasional di pentas-pentas Pakatan Rakyat. UMNO makin pedih bila saya mengheret perangai korup mereka ke Mahkamah. Kes Ketua Penerangan UMNO Rompin saman Dato' Jamaluddin Jarjis (Ketua UMNO Bahagian Rompin), Saman terhadap anak syarikat Kerajaan Pahang kerana lambat serah milik (late delivery), Saman terhadap Kerajaan Malaysia berhubung isu pelatih dirogol jurulatih dan pelatih mati dalam latihan, Saman terhadap Polis kerana menghalang ceramah di Muadzam Shah bersama-sama peguam Hanipa Maidin disamping membantu syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd yang menang saman RM6 juta terhadap Kerajaan Pahang adalah antara rentetan perangai jahat UMNO yang didedah di Mahkamah.


Saya ingin tegaskan, bahawa tindakan penyingkiran saya adalah kerana dendam kesumat politik kotor UMNO/Barisan Nasional. Ini adalah kerana, saya dimaklumkan Pegawai MARA Daerah dalam sambutan aidilfitri tahun lalu bahawa saya mesti mengosongkan premis sewaan saya dalam jangka masa segera. Pada hal pada ketika itu, tempoh penyewaan saya masih berbaki hampir satu tahun lagi. Saya tidak menyalahkan MARA dan kakitangannya. Tapi sifat dungu UMNO ini terserlah apabila saya dimaklumkan bahawa punca saya disingkir adalah kerana aduan pemimpin UMNO Bahagian Rompin kepada Menteri Besar. Namun setelah berkeras dan mencabar supaya MARA mengeluarkan surat penamatan pada ketika itu juga, MARA akhirnya memaklumkan saya bahawa saya boleh terus menyewa sehingga tamat perjanjian iaitu sehingga Ogos 2010. Walau apapaun jua yang dibuat, saya tetap tegaskan penyingkiran saya adalah kerana dendam kesumat UMNO pada saya!


Inilah UMNO, sebuah parti yang kononnya perjuangkan bangsa Melayu. Saya orang Melayu. Bumiputera. Anak jati Rompin. Warga Pahang tulen. Saya menyewa dengan sebuah agensi yang bercita-cita ingin membantu orang Melayu,Majlis Amanah Rakyat (MARA). Tapi apa sudah jadi. Saya bukan komunis, bukan penjenayah, tetapi dinafikan oleh bangsa sendiri.Semata-mata berlainan fahaman politik.


Sebenarnya, sikap busuk perut UMNO Pahang ini telah bermula apabila firma guaman lama saya Tetuan M.K Othman & Co yang telah berjaya menjadi peguam panel Unit Perumahan Kerajaan Pahang. Namun apabila mendapat tahu saya menjadi rakan kongsi pemilik M.K Othman & Co, Tuan Khairuddin Othman ( sekarang Setiausaha Perhubungan PAS Selangor), hanya dengan satu panggilan telefon menamatkan khidmat "panelship" dengan Kerajaan Pahang. Nasib yang sama menimpa rakan guaman saya, Tuan Iqbal Hamdi (bekas YB Kuala Pahang) apabila beliau bertanding atas kerusi PAS dan menang. Habis semua "panelship" beliau ditarik akibat perangai UMNO ini.


Saya mendapat dokongan teguh rakan-rakan peguam Pahang untuk terus berjuang dan memastikan UMNO/BN akan dikuburkan dalam Pilihanraya akan datang. Politik bodoh UMNO ini pasti akan ditertawakan oleh rakyat dalam konstituensi Duta Besar Malaysia Bertaraf Menteri ke Amerika Syarikat. Masyarakat di barat memandang tinggi Demokrasi yang subur di sana. Bukanlah niat saya untuk berkiblatkan mereka. Tetapi sikap professional mereka dalam melayani musuh politik boleh disanjung. Selepas musim pilihanraya, semua pihak membantu bangunkan negara, tiada istilah balas dendam. Rakyat perlu bangkit untuk menolak budaya hina ini. Ambillah contoh negeri Pakatan Rakyat, carilah satu sahaja contohnya, sekiranya ada mana-mana yang tersingkir dri premis kerajaan kerana jadi calon BN...

Realiti tenggelamnya kapal BN

Itulah Tuhan empunya kuasa.

Beberapa tahun lalu tiada siapa yang mampu menduga bahawa parti-parti komponen BN yang berasaskan perkauman boleh berpecah-belah begitu teruk, sama ada sesama parti mahupun dalam parti-parti itu sendiri.

BN yang dikatakan utuh tanpa cabaran sengit sepanjang 52 tahun yang lalu tiba-tiba seakan-akan bakal menerima hukuman alam, bahawa yang lama pasti akan lenyap berganti baru.

Beberapa waktu dulu, tidak ramai yang boleh meramal dengan yakin bahawa BN akhirnya bakal hancur atau bercerai-berai.

Semuanya gara-gara perubahan rakyat yang dimanifestasikan melalui keputusan pilihan raya umum (PRU) pada Mac 2008.

Selama ini BN digambarkan pohon rendang tempat bernaung dan berlindung rakyat majmuk, khususnya di bawah payung parti berasaskan kaum masing-masing.

Namun seperti yang penulis nukilkan di atas, hukum alam tidak dapat disekat apabila tiba waktunya. Pada PRU 2008 orang-orang Cina terjun daripada kapal BN yang mereka tumpang selama ini dan berhijrah ke kapal Pakatan Rakyat beramai-ramai.

Orang India lebih hebat lagi! Jika peratusan berpaling orang Cina dari BN sehingga 65%, orang India pula menjangkau 75%. Ini membuatkan calon-calon BN kebanyakannya kalah di hampir semua kerusi yang jumlah pengundi Cina dan India tinggi.

Lebih memeranjatkan lagi, “taiko-taiko” Cina dan India dari MCA, Gerakan dan MIC tewas tersungkur!

Kali ini BN hanya diselamatkan oleh undi di kawasan padat orang Melayu. Jika pada PRU 1999 kerusi-kerusi BN hanya diselamatkan oleh undi di kawasan-kawasan bukan Melayu, maka PRU 2008 pula sebaliknya.

Pola keputusan tersebut tidak terhenti setakat itu, sepanjang 11 pilihan raya kecil (PRK) selepas itu menunjukkan undi Cina yang menyelamatkan kapal BN sebelum 2008, terus meninggalkan parti usang yang karat dengan retorik perkauman itu.

Tiada siapa dapat menjangka, calon PAS yang terdiri daripada ulamak dan lebai mendapat undi besar daripada Cina dan India. Mereka sudah tidak hiraukan lagi propaganda dan gerak saraf Umno selama ini yang menggambarkan orang PAS sebagai “pengganas dan Al-Qaeda”.

Senario ini tidak terhenti di situ. Terbaru ialah keputusan PRK Hulu Selangor dan PRK Sibu yang menunjukkan kaum Cina sudah berpatah arang dengan BN. Kebetulan, pemimpin-pemimpin Cina dalam MCA terus berkecamuk dan berbalah sesama sendiri.

Orang India juga begitu. Mungkin ada yang berkata, selepas PRU 2008 kemarahan kaum itu kepada BN mulai kendur akibat kelumpuhan Hindraf dan penubuhan parti Makkal Sakti.

Namun pertelingkahan luar biasa dalam MIC sehari dua ini, dilihat pemerhati sebagai isyarat penghijrahan beramai-ramai kaum India kepada Pakatan.

Selamat Tinggal BN!

Kebetulan, Umno yang selama ini dianggap pelindung kepada bangsa Cina dan India, tiba-tiba bertukar menjadi begitu lantang sekali sentimen perkaumannya. Di sana-sini ekstrimis Umno berdemonstrasi dan melompat-melompat mencabar kaum bukan Melayu.

Tiba-tiba muncullah Perkasa dan Gertak, yang tujuannya tidak lain melainkan melaung-laungkan isu perkauman. Kalau satu masa dulu Umno berteriak: “Undilah BN bagi kesejahteraan”, nampaknya sudah terbalik kerana BN kini membawa kepada huru-hara. Semuanya gara-gara marah kerana dendam akibat bukan Melayu tidak lagi mengundi BN.

Jika dulu mereka mempropaganda dan menggeraksarafkan bahawa negara ini tidak sesuai dengan hukum Islam kerana negara ini bermasyarakat majmuk, kini sudah terbalik kerana dengan mengundi calon parti Islam mereka selamat sebaliknya mengundi Umnno/BN bermakna merelakan agenda perkauman sempit.

Kini ramai yang melihat bahtera BN makin tenggelam akibat agenda perkauman sempit komponen parti itu sendiri.

Semuanya Tuhan yang empunya kuasa.

Andainya pada PRU akan datang PAS berjaya meyakinkan pengundi Melayu, maka hagemoni Umno/BN akan terus karam, tenggelam dan hanya dikenang dalam sejarah.

Kelibat kemenangan PAS dan Pakatan sudah kelihatan sebenarnya di nun kejauhan, Ini bukan khayalan dan imiginasi, tetapi realiti. Cuma perlukan komitmen, gerak kerja berganda dan fokus secara serius.

Sabarlah.... hanya selangkah sahaja lagi ke garis penamat!





Saturday, May 29, 2010

SUK PAS Pahang ke jinjang pelamin

LANCHANG, 29 Mei: Setiausaha Kerja Badan Perhubungan PAS Pahang Amira Shahabuddin hari ini naik pelamin menjadi Raja Sehari apabila diijabkabulkan dengan pasangannya A. Razmi Razali, dari Felda Bukit Damar.

Lihat gambar (Amboi... sama kacak sama padan, laksana pinang dibelah dua).

Majlis kenduri diadakan di rumah keluarganya di Kampung Bolok Hilir dengan dihadiri pimpinan PAS Pahang serta jemputan lain yang terdiri daripada kaum keluarga, jiran dan sahabat taulan.

Pimpinan kebetulan bermesyuarat bulanan BPPNP di Darul Ansar, Chempaka.

Paling menarik ialah kehadiran dua pemimpin PAS dan Umno Pahang iaitu Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Exco yang juga Adun Lanchang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin.

Keduanya duduk makan dan berbual bersama.

Di celah-celah suasana begitu ada yang nakal-nakal berkata:

“Lihat, antara dua (bakal) MB....”

“Amboi... orang PAS dah bincang pasal MB sekarang ekkk?,” celah Sharkar...

Tuan Ibrahim kelihatan tersenyum lebar.






Friday, May 28, 2010

Projek gerai MPT terbengkalai

TEMERLOH: Pembangunan sesuatu tapak niaga sememangnya baik dan dinanti-nantikan kerana dapat membantu usahawan-usahawan kecil tempatan bagi menempatkan perniagaan masing-masing.

Namun jika ianya tidak dirancang dengan teliti, tidak profesional dan dibuat dengan tidak bertanggungjawab, sudah tentulah akan membawa kerugian kepada umum.

Apa lagi apabila sesuatu projek terbengkalai dan terbiar dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan, ternyata ia membazirkan wang rakyat yang membayar cukai.

Demikianlah yang terjadi kepada Gerai Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) Megat Segama, Batu Tiga yang tersergam dalam belukar sehingga amat menyakitkan mata yang melihat.

Kedudukannya terletak kira-kira 200 meter dari jalan utama menghala ke Tol Temerloh Lebuhraya Pantai Timur, namun dapat dilihat dengan jelas.

Deretan 8 buah gerai tersebut mula dibina April tahun lalu dengan kos kurang sedikit setengah juta, namun sebelum siap sepenuhnya sturuktur asas bangunannya dikatakan rosak sehingga menyebabkan terdapat keretakan serius pada bangunan.

Tapak yang ditambun daripada kawasan bekas paya itu juga runtuh dan atap bangunannya melentur.

Menurut sumber, kontraktor kedua kemudiannya dilantik bagi membaiki dan menyiapkan projek berkenaan. Namun sehingga hari ini bangunan deretan gerai berkenaan terus terbiar.

Seorang penduduk di Taman Sri Semantan Permai yang berhampiran dengan gerai berkenaan, Qamarul Raihan, 39, menggesa bangunan tersebut diruntuhkan kerana menjadi sarang maksiat dan gejala sosial.

“Pada pendapat saya elok diruntuhkan saja bangunan tersebut kerana ternyata tidak memberi apa-apa faedah kepada orang ramai bahkan banyak mudaratnya. Sekarang di situ dah jadi tempat remaja lepak dan kegiatan tidak bermoral seperti menghisap dadah serta seks rambang.”

“Lagi pun lokasinya pun tidak strategik dan tak sesuai langsung kerana kawasan rendah bekas paya yang ditambun dan sebelum ini jadi tempat pembakaran mayat penganut Hindu. Jalan masuk di situpun berbahaya kerana lampu isyarat sangat mengelirukan.”

“Jadi saya minta pihak MPT ambil tindakan segera robohkan dan lebih baik tukarkan saja menjadi tempat rekreasi... itu lebih sesuai,” katanya.

Seorang lagi penduduk berhampiran, Abirerah Awang Chik, 49, dari Bukit Semantan mempertikaikan bagaimana sebuah agensi kerajaan seperti MPT boleh merancang dan bekerja sambil lewa.

Akibatnya demi mencari rezeki, ada peniaga-peniaga yang mengambil risiko dengan membina gerai-gerai kayu di pinggir jalan.

“Kenapa buat pembangunan tidak terancang dan sambil lewa sehingga menyekat peluang peluang-peluang peniaga kecil. Sehinggakan ada peniaga-peniaga kecil mengambil jalan mudah dengan membina gerai-gerai kayu di pinggir jalan besar.”

“Tindakan ini sudah tentu amat membahayakan kerana terdedah dengan kemalangan, tetapi apa boleh buat sebab itu sajalah sumber rezeki mereka.”

“Jadi alternatif mesti difikirkan segera...,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang, Hassanuddin Salim meminta MPT mengambil tanggungjawab kerana pembangunan tanpa kajian teliti dan kurang pengawasan akhirnya tidak memberi apa-apa manfaat.

“Saya lihat ini tiada perancangan yang betul dan sudah tentu tidak mengikut spesifikasi. Apa yang saya pertikaikan kalau dah ini tapak projek atas paya di mana silapnya. Apakah kesilapan kontraktor? Apakah tiada perunding? Apakah tiada pengawasan?”

“Sekarang bangunan dah siap dan tak boleh digunakan, jadi rugi kerana duit rakyat habis tanpa sebarang faedah. Jadi apa keputusan MPT sekarang, kalau nak dibaiki nanti jadi mahal tali daripada lembu.”

“Sebab itu lain kali MPT kena profesional dan teliti, sebab saya tengok ada beberapa projek agensi berkenaan yang banyak kelemahan dan dibaiki berulang-ulang seperti di bulatan Bukit Angin contohnya,” katanya.

Gambar:

1. Papan tanda gerai MPT dalam semak

2. Longkang bahagian belakang gerai pecah keranma tanah mendap

3. Semak samun melitupi longkang

4. Qamarul

5. Abirerah









Demi pembangunan Bera perlu jambatan


Dari: http://mediaguai.blogspot.com

Negeri Pahang mempunyai sebelas buah daerah. Bera adalah merupakan daerah yang kesebelas. Dari segi keluasan Daerah Bera mempunyai 2228 KM persegi.

Negeri Pahang adalah negeri terbesar di Semenanjung. Juga mempunyai sungai terpanjang di Semenanjung, iaitu Sungai Pahang.

Dengan panjang 459 KM Sungai Pahang hanya merentasi 6 daerah sahaja daripada 11 daerah. Daerah itu ialah Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Ini bermakna keenam-enam daerah ini mempunyai dua daratan yang dipisahkan oleh Sungai Pahang. Kami telah meneliti hanya Daerah Bera sahaja yang tidak mempunyai Jambatan yang menghubungkan kedua-dua daratan daerah ini.

Keujudan jambatan banyak memberi kemudahan kepada rakyat untuk berurusan yang berkaitan pentadbiran , perkhidmatan dan lain-lain.

Jambatan yang terbaru siap dibina ialah Jambatan Kuala Krau, terletak di dalam daerah Temerloh (merupakan jambatan ke 3 di dalam daerah ini). Sebelum ini jambatan di Chenor (Maran).

Pihak kerajaan diseru agar mempercepatkan pembinaan jambatan di Daerah Bera, kata Musaniff ketika dihubungi selepas berceramah di Felda Purun sempena Karnival Warga Felda Bera 2010. Mungkin ada yang menyatakan oleh kerana tiadanya jalan yang sekurang-kurangnya bertaraf Jalan Negeri dikedua-dua tebing menyebabkan jambatan tidak boleh dilaksanakan, tambahnya.

Dengan nada yang bersungguh-sungguh Musaniff berkata, hendak seribu daya tak nak seribu dalih. Di sebelah daratan yang didirikan tulisan “ BERA” sekarang ini memang tidak mempunyai jalan yang bertaraf Jalan Negeri. Tetapi perlu diingat bahawa jika projek jalan yang ditinggalkan dengan peruntukkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka ( LKWJ ) diteruskan masalah ini boleh diselesaikan. Jalan yang dimaksudkan ialah Jalan dari Kg Lebak Seberang melalui Kg Guai-Kg Charuk Puting- Kg. Serindang – Kg Batu Bor - Kg. Durian Duduk – Kg. Lubuk Paku ( Maran ).

Jika ingin melihat Bera membangun seiring dengan daerah lain terutama dari segi pembangunan, pemikiran rakyat dan sikap proaktif pemimpin...rakyat dan pemimpin Bera perlu melakukan perubahan serta berani melakukan yang benar serta buangkan sifat duduk 'dibelakang orang'. Sejarah membuktikan bahawa pahlawan dan rakyat BERA adalah orang berilmu, berprinsip ,berani, gagah dan taat kepada agama.

Ahli Parlimen Bera merupakan seorang menteri dan tahu bahwa Bera merupakan daerah penghubung dengan selatan Tanah Air. Sebuah jambatan yang merentang Sungai Pahang sudah pasti dapat memacu kepesatan pembangunan.

BN pertahan kuasa kerana main politik perkauman

JERANTUT: Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kuasa selama ini kerana adu domba politik perkauman sehingga menyebabkan rakyat menganggap hanya parti itu yang mampu memberi pembangunan dan menjamin keselamatan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Muhamad Sabu berkata, inilah propaganda yang telah disemai bertahun-tahun namun kini sudah mula tidak dipercayai rakyat.

Bercakap dalam majlis ceramah umum di Kompleks Imam As-Syafie (KIAS) Temin Jerantut baru-baru ini, Muhamad berkata pada hakikatnya Umnolah yang mengkhianati hak-hak Melayu.

“Dulu mereka memainkan isu jika PAS memerintah orang Cina dan India akan kena khatan, tak boleh makan babi dan sebagainya. Inilah mainan mereka sebab selagi orang Cina tak undi PAS dan orang Melayu takutkan DAP, BN akan terus berkuasa.”

Namun, tambah Muhamad, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 terdapat perubahan besar pada sikap bukan Melayu sehingga mereka mulai mengetepikan propaganda tersebut.

Katanya, bagi orang Melayu, mereka masih belum berani melakukan perubahan sehingga menganggap memenangkan Umno/BN bermakna mereka mempertahankan Melayu.

“Ada tiga perkara yang orang Melayu takut nak ubah, pertama masalah keamanan. Kedua kalau parti lain menang tidak ada pembangunan. Ketiga, hanya Umno sahaja yang boleh jamin hak-hak Melayu, dan inilah yang telah disemaikan bertahun-tahun.”

“Tetapi masalah keamanan dan pembangunan itu sudah mula tidak dipercayai oleh rakyat berdasarkan PRU 2008, tetapi perkara ketiga iaitu Umno menjamin hak-hak Melayu masih diterima dengan kuat oleh orang Melayu.”

Jelas Muhamad, semua itu tidak benar kerana berdasarkan sejarah Umnolah yang mencabul hak-hak orang Melayu selama ini.

“Cuba kita tengok siapa yang sekat bantuan Sekolah Agama Rakyat (SAR)? Adakah DAP? Siapa tukar cuti hari cuti umum di Johor daripada Jumaat kepada Ahad, adakah DAP? Tidak, Muhyiddin. Ingat 10 tahun dulu siapa yang tukar subjek Sains dan Matematik ke bahasa Inggeris, adakah DAP? Tidak... Dr Mahathir.”

“Tengok pula, siapakah yang menjahanamkan tulisan jawi sehingga membuatkan anak-anak Melayu sendiri buta Islam? Siapa yang lupuskan tanah rizab Melayu daripada 3 juta ekar kini hanya tinggal 1.7 juta? Semua ini akibat perlakuan pemimpin Umno”.

“Tiba-tiba selepas PRU 2008 muncullah Umno sebagai pejuang Melayu, muncul pula Perkasa kononnya nak bela Melayu” ujarnya sambil diiringi gelak ketawa orang ramai.

Lebih 2,000 hadir. Turut berceramah Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang Fadzli Ramly dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Dr Hamzah Jaafar.

Jelas Muhamad, di Pulau Pinang Umno menunjukkan sikap patriotik melampau walhal selama pemerintahan di bawah mereka orang Melayu jelas kurang terbela.

“Bayangkan, di Pulau Pinang selama ini yang 80% penduduk miskin tegar ialah orang Melayu, 50 tahun Umno memerintah buat apa? Sekarang Lim Guan Eng sebut nak ikut Umar Abdul Aziz, Umno marah. Tetapi kita sepatutnya bersyukur. Itu lebih baik daripada kalau dia nak ikut Mao Tze Tung atau Ho Chi Min.”

“Tuan-tuan tahu, hasil penjimatan kerajaan negeri dapat kumpul RM36 juta. Daripada situ diagihkan antaranya kepada SAR. Jadi yang sekat bantuan SAR Umno, yang bagi bantuan kepada SAR DAP Pulau Pinang.”

Muhamad menjelaskan, teraju pemerintahan Umno/BN akan tumbang sekiranya PAS berjaya matikan politik perkauman mereka pada masa akan datang.


Thursday, May 27, 2010

Rakyat terus bangkit!

Negara ini ada tuannya. Tuan Negara ini ialah rakyat, bukannya pemimpin Umno/BN. Pemimpin hanya dilantik oleh majoriti rakyat bagi mewakili mereka bagi meguruskan pentadbiran.

Kefahaman pemimpin berkuasa segala-galanya adalah tahyul tahun-tahun 50-an yang sudah mula dilupakan.

Sebagai sifatnya pemimpin, segala tindakan dan keputusan tidak boleh dilakukan sendirian, apa lagi tindakan dan keputusan itu balik kepada rakyat mudaratnya.

Rakyat berhak bangkit dan membantah tatkala situasi ini berlaku. “Tidak ada sesiapa yang boleh mengubah nasib sesuatu kaum melain kaum itu sendiri”.

Jika rakyat terus bangkit dan bangkit menentang kemungkaran Kerajaan BN seperti ini, lambat laun pasti ada hasilnya.

Kebetulan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala mengaku Malaysia akan bangkrap dalam tempoh 10 tahun lagi.

Katanya jika tidak mahu bangkrap, hapuskan sahaja subsidi dan rakyat tanggunglah harga barangan yang akan melangit naiknya, yang pada masa ini telah sedia susah dan tertekan dengan kos kehidupan yang tinggi.

Kerajaan mahu ambil jalan mudah, tekan sahaja rakyat apabila kerajaan tidak lagi mampu menambah pendapatan nagara.

Mudahnya menjadi kerajaan seperti BN, kerana pilihannya tidak banyak…







Kerajaan Pahang buka tanah pertanian, sentiasa rugi

TEMERLOH: Kerajaan negeri Pahang melalui anak-anak syarikatnya digesa menghentikan pembukaan tanah hutan di negeri ini dengan alasan kemajuan pertanian sebaliknya membuka skim Ladang Rakyat sebagaimana yang diperkenalkan oleh kerajaan Kelantan.

Melalui kaedah tersebut rakyat dapat memiliki tanah yang diusahakan oleh syarikat dilantik kerajaan negeri dengan pelbagai jenis tanaman komersil di samping beroleh keuntungan berbentuk dividen dan bonus selaku pemegang saham dalam skim tersebut.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, Mohd Fadzli Ramli, berkata di negeri ini tanah diteroka, balak dikeluarkan dan ladang dibuka sedangkan keuntungan tidak tahu kemana dan akhirnya anak-anak syarikat kerajaan yang mengusahakannya diisytiharkan rugi dan terpaksa gulung tikar.

“Sekarang ini hangat diperkatakan kerajaan melalui beberapa anak syarikat Kerajaan Pahang yang bertindak membuka ladang-ladang tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan getah melibatkan ribuan hektar dan semakin bertambah keluasannya dari masa ke semasa”.

“Sebagai contoh, Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) mempunyai ladang kelapa sawit dan getah di seluruh Pahang berjumlah hampir 54 ribu ekar. Begitu juga penerokaan tanah hampir 30 ribu ekar tanah di Rompin oleh YP Plantation Holdings Sdn Bhd iaitu salah sebuah anak syarikat subsidiari Kerajaan Pahang iaitu Yayasan Pahang bagi tujuan tanaman kelapa sawit”.

“Malahan saya difahamkan sebanyak 15 ribu ekar lagi akan dibuka di daerah yang sama. Itu belum dikira jumlah pembukaan tanah-tanah baru oleh syarikat swasta di mana kerajaan Pahang mempunyai kepentingannya seperti di Pekan, Bera, Rompin dan Kuantan mencecah hampir 15 ribu hektar sehingga tahun 2004 sahaja untuk pelbagai tujuan seperti perladangan kelapa sawit dan lain-lain tanaman komersil”.

“Malangnya, pembukaan puluhan ribu hektar tanah itu hanya menguntungkan beberapa kerat pemimpin dan tauke sedangkan rakyat tidak mendapat manfaat apa-apa,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Pentas Pemuda di Darul Amin, Sungai Gau, di sini baru-baru ini.

Turut berucap di hadapan kira-kira 2,000 orang itu ialah Ketua Pemuda PAS Pusat Nasruddin Hasan dan Ketua Pemuda PAS Pahang Suhaimi Saad.

Jelas Fadzli lagi, sekali pandang seolah-olah kerajaan Pahang membangunkan ribuan hektar tanah yang diteroka oleh kebanyakannya anak syarikat kerajaan negeri untuk tujuan kemajuan. Namun sebaliknya rakyat terhimpit dengan masalah ketiadaan tanah sehingga terpaksa menumpang dan meneroka tanah haram.

Katanya lagi, rakyat yang memohon tanah bertahun-tahun lamanya sehingga ada di kalangan pemohon yang meninggal dunia, tetapi permohonan mereka masih tidak diluluskan. Begitu juga dengan golongan belia yang sudah pastinya tidak memiliki tanah selain daripada membeli ataupun memperolehinya secara pusaka.

“Perusahaan ladang komoditi secara sewenang-wenangnya ini telah mengakibatkan tiada manfaat dinikmati oleh penduduk setempat di mana kawasan ladang tersebut dibuka kecuali beberapa pekerja asing yang dibawa masuk bekerja di situ. Ketiadaan kilang memproses produk berasaskan sawit mengakibatkan rakyat setempat hanya mampu jadi penonton”.

“Saya percaya bahawa kerajaan negeri akan berhujah bahawa pembukaan ladang adalah bersifat jangka masa panjang dan keuntungannya akan diagihkan secara saksama kepada rakyat. Sekali pandang, kita boleh bersetuju. Tetapi apabila dinilai keseluruhan pendapatan jika dicongak dari ladang seluas ratusan ribu hektar di seluruh negeri yang diteroka oleh kerajaan negeri, Pahang sepatutnya memiliki pendapatan tertinggi”.

“Namun realitinya satu demi satu anak syarikat kerajaan Pahang mengalami kerugian seperti yang menimpa Mentiga Corporation. Begitu juga saban tahun dan terkini, pendapatan kerajaan Pahang berada di tahap defisit Kemana perginya pendapatan hasil dari pembukaan ladang yang luas itu?”, soal Fadzli.

Sehubungan itu beliau mencadangkan kerajaan Pahang mengambil contoh kerajaan Kelantan di mana tanah yang dibuka diagihkan kepada rakyat negeri Pahang ini dan diusahakan melalui syarikat berwibawa bagi membangunkan komoditi perladangan.

Menurut Fadzli, beliau difahamkan bahawa terdapat beberapa buah syarikat berkepentingan kerajaan yang mendapat kontrak pembukaan ladang kelapa sawit telah bertukar tangan kepada pegangan syarikat bukan bumiputera.









Bendahari PAS Cawangan Kampung Razali meninggal

KUANTAN: Bendahari PAS Cawangan Kampung Razali, Kuantan Haji Abdul Rahman Hassan, 71, meninggal dunia pagi semalam (26 Mei) dipercayai serangan jantung.

Menurut Syed Anis, anak keempat daripada enam beradik dan berasal dari Ganchong, Pekan itu pada mulanya menunggu isteri membeli barang untuk berniaga di dalam keretanya. Setelah kembali ke kereta, isterinya mendapati Allahyarham kelihatan telah putus nyawa lalu di bawa ke sebuah klinik di Jaya Gading.

Bekas pekerja bank perdagangan merupakan aktivis masyarakat dan Allahyarham menjawat Bendahari sejak 10 tahun lalu juga dilantik sebagai Imam Surau RRM Sungai Belat, Batu 3.5 Kuantan.

Allahyarham sehingga ke akhir hayatnya sedang berusaha mengumpulkan dana untuk menyiapkan dewan madrasah di Kampung Razali berjumlah RM65,000.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Batu 8. Beliau meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.

Semoga Allah merahmati rohnya.






Wednesday, May 26, 2010

Anak Samy Vellu tuduh Umno upah ‘pembunuh’ gulingkan bapanya

Perang dalam parti komponen BN iaitu antara Umno dan MIC mungkin tidak dapat dielakkan.

Ahli Majlis tertinggi (CWC) MIC S. Vell Paari, mendakwa Umno telah memainkan peranan di sebalik kempen anti- (GAS), yang dilancarkan oleh bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC yang dipecat.

Vell Paari mendakwa Umno telah menyokong tindakan Mugilan yang bakal dilancarkan pada 30 Mei ini.

“Bahaya apabila orang luar (Umno) ini terlibat. Lupakan fakta ayah saya merupakan presiden MIC. Beliau terpilih secara demokratik oleh pengerusi-pengerusi cawangan.
Jadi ada pemimpin yang mempunyai agenda politik terlindung dengan mengupah pembunuh politik untuk menjatuhkan beliau,” katanya sebagaimana dipetik media.

Anak tunggal lelaki Samy Vellu itu turut membidas Umno kerana menganggap parti-parti komponen selain Umno hanya penumpang manakala Umno sebagai ‘pemandu bas’. Tambah beliau, inilah punca segala masalah kepada BN.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam responsnya menganggap Vell Paari sebagai biadab dan minta Samy Vellu ‘mengajar’ anaknya itu.

Dalam perkembangan yang lain pula, Ketua Pemuda MIC T. Mohan pula minta dikaji semula kedudukan MIC dalam BN.







Tuesday, May 25, 2010

Pemuda India mati lemas ditemui

TEMERLOH, 25 Mei: Mayat pemuda yang dilaporkan tergelincir dan lemas di Sungai Semantan Ahad lalu, Tamil Selvam A/L Ahri, 24, dari Kampung Megat Segama dekat sini, ditemui kira-kira jam 11 pagi hari ini oleh pasukan pencari.

Menurut laporan, mayat Tamil Selvam ditemui selepas 30 jam operasi mencari, di Kampung Tanjung Lalang, kira-kira tiga kilometer dari tempat mangsa mula-mula lemas.

Pembantu sebuah kedai basikal yang tidak pandai berenang itu, dikatakan mahu membasuh tangan ke gigi air sebelum memancing, tiba-tiba tergelincir lalu jatuh dan tenggelam.

Gambar:
YDP PAS Temerloh Ustaz Abdul Rahim (berkopiah) membacakan doa, mohon dipelihara keselamatan pasukan pencari mayat seorang pemuda India yang mati lemas




Sebenarnya Malaysia jual Tanjong Pagar kepada Singapura?

Media hari ini melaporkan kononnya Malaysia memperoleh kejayaan apabila isu tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di republik ini yang tertangguh hampir 20 tahun hingga menjadi ‘duri dalam daging’ dalam hubungan Malaysia-Singapura, berakhir semalam apabila kedua-dua negara mencapai persetujuan bersejarah menubuhkan syarikat usaha sama dikenali M-S Pte Ltd bagi memajukan kawasan berkenaan.

Berdasarkan persetujuan yang dicapai dalam pertemuan sejam antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong, di sebuah hotel di Singapura, Stesen KTMB di Tanjong Pagar akan dipindahkan ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011.
Tanah KTMB seluas 217 hektar di Tanjong Pagar, Kranji, Woodlands serta tiga lot di Bukit Timah, pula akan diserahkan kepada syarikat berkenaan untuk dimajukan. Penyerahan tanah itu akan berkuat kuasa apabila KTMB mengosongkan stesen Tanjong Pagar.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan kedua-dua pemimpin itu, M-S Pte Ltd yang akan ditubuhkan sebelum 31 Disember ini, membabitkan Khazanah Nasional Berhad dari Malaysia yang memegang 60 peratus kepentingan, manakala Temasek Holdings Limited – cabang pelaburan Kerajaan Singapura, memegang 40 peratus ekuiti.

Kenyataan berkenaan juga menjelaskan tanah dimajukan itu boleh ditukar, berdasarkan nilai masing-masing, dengan tanah di Marina South dan Ophir Rochor di sini.

Namun pemerhati berpendapat, perbincangan tersebut lebih kepada bagaimana Malaysia boleh mendapatkan wang melalui ‘penswastaan’ memajukan kawasan ‘lubuk emas’ berkenaan.

Tanjong Pagar ialah daerah bersejarah yang terletak dalam lingkungan Central Business District di Singapura, mencelapak Kawasan Perancangan Outram dan Downtown Core di bawah zon-zon perancangan bandar Lembaga Pembangunan Semula Bandar.

Tanjong Pagar pada asalnya ialah sebuah perkampungan nelayan tradisonal Melayu sejak zaman berzaman.

Sebuah kisah menarik menurut Sejarah Melayu, di pesisiran pantai di sanalah termeterainya sejarah masyhur ‘Singapura dilanggar todak’ sehingga kemudian lahirnya budak lelaki pintar bernama legenda. Hang Nadim, menghapuskan bala berkenaan melalui perintang batang pisang menukarnya daripada bertahan dengan betis rakyat.

Kini bekas-bekas kepintaran Hang Nadim sudah tiada lagi, yang tinggal hanyalah ‘kepintaran’ Najib memajukan tanah tapak yang penuh bersejarah itu.






Monday, May 24, 2010

Bilakah kes saman kerajaan Pahang selesai?


Kes saman syarikat pembalakan Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd (SGM) terhadap Kerajaan Negeri Pahang yang berlanjutan sejak satu dekad, terus menjadi topik bualan ramai di negeri ini. Sesetengahnya pula bertanya, sehingga bilakah kes tersebut mahu dibiarkan terus berlarutan.

Apa yang dimusykilkan orang ramai ialah keengganan melengah-lengahkan pembayaran tersebut bermakna jumlah bayaran semakin meningkat kerana wang faedahnya sebagaimana diputuskan mahkamah terus bertambah sebanyak RM8,300 sehari.

Menurut sumber, jumlah yang kena bayar sehingga kini sudah hampir menjangkau RM70 juta! Oleh kerana keputusan membayar telah dikeluarkan oleh mahkamah, tidak dapat tidak pembayaran mesti dibuat. Jika kerajaan negeri yang membayar, itu bermakna wang rakyat yang akan dikorbankan bagi menyelesaikan kes tanah Umno.

SGM ialah syarikat kontraktor pembalakan yang telah menerima hak eksklusif mengeluarkan saki baki kayu balak di tanah milik Umno iaitu P.T. Lot 6959 Mukim Bebar, Pekan seluas 10,000 ekar pada tahun 2000 lalu.

Ceritanya bermula apabila SGM telah membayar kepada Umno Pahang untuk mengeluarkan saki baki balak dikawasan terbabit, sebelum kerja-kerja pembalakan selesai Jabatan Perhutanan Pahang enggan melesenkan kepada SGM pada sebahagian tanah yang ditender sehingga menyebabkan syarikat tersebut mendakwa mengalami kerugian besar.

Ekoran itu SGM telah mengambil tindakan mahkamah sebagai jalan terakhir setelah kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri enggan melayan tuntutan SGM untuk mendapatkan lesen bagi meneruskan kerja-kerja pembalakan.

Justeru itu Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 telah mengeluarkan suatu perintah kepada defendan supaya membayar ganti rugi berjumlah RM37,127,471.60 kepada SGM berserta kadar faedah 8 peratus setahun mulai Disember 2000 kepada SGM.

Ini setelah Mahkamah Tinggi Kuantan mendapati Pengarah Perhutanan Negeri telah bertindak secara cuai apabila enggan menggunapakai pelan terkini yang dikemukakan syarikat itu yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 5 April 2000, sebaliknya mengarahkan pelan asal yang diluluskan oleh exco pada 7 Januari 1998, digunapakai.

Dalam pada itu pihak defendan ada memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Bagaimana pun penghakiman Mahkamah Rayuan bertarikh pada 13 Februari 2008 kedua-dua defendan (Kerajaan Pahang dan Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang) gagal dalam rayuannya untuk mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi Kuantan.

Pada 7 Mac 2008 pula, Mahkamah Tinggi Kuantan telah memperakukan sijil perintah dan amaun penghakiman terhadap kedua-dua defendan daripada Mahkamah Tinggi Kuantan (keputusan penghakiman 25 Mei 2007).

Tarikh 7 April 2008 sepatutnya adalah hari wajib bayar iaitu tarikh akhir bagi pihak defendan kepada SGM. Namun pihak defendan telah gagal membuat apa-apa bayaran ataupun menghubungi SGM. Maka secara automatik pihak kerajaan negeri dianggap melanggar dan menghina keputusan mahkamah.

Pada 20 April 2009 pula Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan perintah mandamus (memaksa pihak berkuasa mematuhi perintah mahkamah) terhadap Adnan dan kerajaan negeri bagi melunaskan bayaran RM63 juta kepada SGM dalam tempoh 14 hari.

Namun begitu, keputusan terbaru Mahkamah Rayuan ialah menamakan Pegawai Kewangan Negeri Pahang sebagai penerima mandamus menggantikan Menteri Besar Pahang yang menerimanya dari mahkamah sebelum ini kerana konteks negeri Pahang penjawat merupakan orang yang bertanggungjawab mengeluarkan bayaran.

Pembuat dasar langgar undang-undang sendiri

Bagi peguam Ahmad Nizam Hamid, setelah Mahkamah memutuskan sesuatu hukuman tidak sepatutnya belaku kelengahan kerana ia bermakna melanggar undang-undang ataui mengingkari mahkamah.

Katanya, ini sudah tentu membukkan imej kerajaan sendiri yang membuat dasar dan peraturan, tetapi melanggarnya.

“Kita boleh melihat kes rampasan kuasa Kerajaan Negeri perak sebagai rujukan. Apabila Mahkamah Persekutuan pada satu ketika memutuskan (Datuk Seri) Nizar diputuskan sebagai menteri besar, (Datuk Seri) Zambry turun. Dan bila mahkamah yang sama memutuskan Zambry sebagai menteri besar semula, Nizar pula yang turun.”

“Kesnya sama, iaitu melibatkan pematuhan terhadap perintah mahkamah. Pada masa ini saman terus berjalan dan apa yang saya bimbangkan ialah jika sikap pemimpin kerajaan negeri terus-terus bersikap begitu, jumlah yang kena bayar meningkat lagi kerana wang faedah terus berjalan sebanyak RM8,000 sehari."

“Dalam akta penghakiman terhadap kerajaan apabila dikeluarkan perintah amaun kena bayar melalui proceeding act, bayaran wajib ikut perintah dikeluarkan mahkamah, kerajaan negeri enggan... mahkamah terpaksa pula keluarkan perintah mandamus. Keingaran ini sangat memalukan kerana macam negeri koboi di mana undang-undang tidak dipedulikan”.

“Seperti kes SGM ini, setiap langkah yang diambil bagi mendapatkan bayaran daripada Pegawai Kewangan, Setiausaha Kerajaan Negeri atau daripada pihak berkuasa negeri melalui penasihat undang-undangnya, semuanya menepati perintah mahkamah,” katanya.

Satu hal lagi, Kesannya sudah tentu buruk daripada sikap melanggar perintah mahkamah oleh Kerajaan Negeri Pahang juga dikhuatiri akhirnya dipandang negatif oleh pelabur dalam dan luar negeri.

Usahawan Saharudin Omar, berpendapat kes ini sudah tentu dilihat buruk di mata pelabur-pelabur dalam dan luar negeri kerana mereka rasa tiada jaminan mendapat hak dan keadilan di sisi undang-undang jika berlaku konflik dengan kerajaan negeri.

“Demi kebaikan semua, kita berharap kes yang berlarutan sekian lama ini dapat diselesaikan secara baik kerana kes yang tertangguh ini memburukkan imej negeri sendiri juga termasuk di mata pelabur dalam dan luar negeri,” katanya.

Saharudin turut menyelar sikap tidak bertanggungjawab Kerajaan Negeri Pahang kerana membelakangkan prinsip-prinsip good governance, ketelusan dan integriti sehingga kerajaan negeri terpaksa membayar lebih daripada sepatutnya.

Imej buruk di mata pelabur

Februari lalu akhbar edisi internet Adelaide Now dari Australia melaporkan, Rose Ong, iaitu rakan kongsi SGM dari negara itu telah memberi amaran kepada pelabur-pelabur dari Australia agar berhati-hati melabur di Pahang kerana kerajaannya melanggar undang-undang.

Di bawah artikel bertajuk “Adelaide timber investor fights for $21m payout”, Rose berkata, mahkamah tinggi telah mengarahkan kerajaan negeri membayar ganti rugi sebanyak RM 63 juta ($21 million), tetapi Kerajaan Negeri Pahang tetap enggan membayarnya.

“Penghakiman oleh mahkamah tinggi dan mahkamah persekutuan Malaysia kedua-duanya menyebelahi kami (dalam tuntutan saman) namun Kerajaan Negeri Pahang tetap enggan membayar,” katanya.

Ahli perniagaan wanita tersebut turut menghantar bantahan kepada Kedutaan Melaysia di negara itu.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh pula meletakkan Menteri Besar Pahang mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya dalam hal ini dan rakyat harus menuntut supaya wang rakyat tidak disentuh oleh kerajaan negeri dalam melangsaikan bayaran saman ini.

“Tindakan menggadaikan hak rakyat oleh pemimpin negeri ini mestilah diberhentikan serta-merta bagi menyelamatkan negeri ini daripada lebih parah dan hanya akan merugikan rakyat”,

“Bagaimanakah pula Kerajaan Negeri Pahang terpaksa membayar sebanyak hampir RM70 juta sedangkan hutang sedia ada dikatakan hampir RM2 bilion. Apa yang kita tidak mahu rakyat telah bertungkus lumus bekerja keras, membayar cukai, kemudian terpaksa pula melihat wang mereka digunakan untuk membayar saman hasil dari pentadbiran yang gagal dan tidak bertanggungjawab ini”.

Manakala ketirisan aset dan khazanah negeri yang berterusan menjadikan Pahang sebuah negeri yang hampir muflis walaupun kaya dengan berbagai sumber hasil, tambah Fuziah.



1. Inilah pelan kawasan Tanah Umno di Pekan (kawasan bergaruis lurus) yang diserahkan kepada SGM



Pemuda India lemas di Sungai Semantan

TEMERLOH, 24 Mei: Seorang pemuda Tamil Selvam A/L Ahri, 24, dari Kampung Megat Segama dekat sini, dikhuatiri mati lemas setelah jatuh ke Sungai Semantan di Kampung Lompat kira-kira jam 3 petang semalam.

Menurut abangnya Rajendran, 35, adik bongsunya yang bekerja sebagai pembantu kedai basikal itu datang ke situ bersama dua orang anak saudaranya yang berumaur 8 dan 9 tahun untuk memancing ikan.

"Kira-kira pukul 5 anak saudara saya pulang ke rumah dan bila kami tanya mana Selvam, mereka kata dia jatuh sungai dan hilang. Selepas tidak sedap hati bapa saya pun pergi membuat laporan di Balai Polis Temerloh".

Rajendran berkata, anak saudaranya menceritakan sebelum sempat Selvam memancing, beliau dikatakan mahu membasuh tangan ke gigi air lalu tiba-tiba tergelincir lalu jatuh dan tenggelam.

"Dia tak tahu berenang," tambah Rajendran.

Sementara itu, bapa Selvam, Ahri Selvam berkata, mangsa sepatutnya bekerja hari itu tetapi memberitahunya mahu bercuti hari itu kerana mahu berehat.

"Saya pukul 10 dah keluar bekerja semalam dan balik pukul 3," katanya.

Sehingga berita ini ditulis, Tamil Selvam masih belum ditemui.

Operasi mencari telah dijalankan oleh kira-kira 10 anggota daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat serta JPA (Jabatan Pertahanan Awam) Temerloh.

Sementara itu, pegawai khas Adun Kuala Semantan, Ahmad Zuber Omar, datang ke tempat kejadian dan menghulurkan sedikit wang sagu hati kepada bapa mangsa.









Sunday, May 23, 2010

Datuk Zaha kritikal semula, penduduk Kerdau kembali gelisah...

TEMERLOH: Setelah beberapa hari dikeluarkan ke wad biasa, Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang (Adun) kawasan Kerdau Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, kembali berada dalam keadaan kritikal dan dimasukkan ke ICU Institut Jantung Negara (IJN) kerana koma.

Menurut laporan, keadaan organ jantung dan paru-paru beliau juga dikatakan berada dalam keadaan lemah. Laporan yang baru diterima dari sumber yang boleh dipercayai, buah pinggang dan hatinya dikatakan gagal berfungsi dengan baik.

Pada 9 Mei lalu bekas anggota skuad "James Bond Malaysia" ini telah dimasukkan ke Hospital Temerloh akibat komplikasi jantung selepas pembedahan ulser usus.Akibat makin kritikal, beliau kemudiannya telah dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Sebelum ini, beliau yang merupakan berstatus duda, telah menjalani pembedahan tetapi akibat penyakit-penyakit lain yang dihadapinya seperti serangan jantung dan kencing manis, membuatkan keadaannya bertambah teruk.

Beliau sebelum ini dikatakan telah banyak kali keluar masuk hospital termasuk tiga kali dimasukkan ke ICU. Keadaan ini menyebabkan beliau tidak banyak dapat menumpukan tugasnya sebagai wakil rakyat.

Suasana baru ini telah menimbulkan spekulasi negara mungkin terpaksa menghadapi satu lagi pilihan raya kecil (PRK).

Pada PRU 12 2008, Zaharuddin yang pertama kali bertanding sebagai calon BN menggantikan Datuk Redzuan Harun, mengalahkan calon PAS Hasanuddin Salim (Ketua Penerangan PAS Pahang) dengan majoriti 1,615 undi. Zaharuddin mendapat 8,451 undi berbanding Hasanuddin (6,789).

N. 28 Kerdau terletak dalam Parlimen Kuala Krau di mana YDP Kawasannya ialah Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Peratusan pengundi terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus Orang Asli.



Buah Zaitun : Khasiat dan Keistimewaannya

Oleh NORKUMALA AWANG

"Demi buah tiin dan zaitun. Dan Gunung Tursina". (Surah at Tiin ayat 1 dan 2). Allah telah menyebut di dalam Al Quran berkenaan dengan buah zaitun. Ini menunjukkan buah zaitun juga memiliki banyak keistimewaan tersendiri yang jarang diketahui dan diselidiki. Di dalam Al Quran, buah zaitun disebut sebanyak 7 kali di mana sebanyak 2 kali, ia di sebut bersendirian dan 5 kali lagi ia digambarkan dalam Al Quran bersama dengan buah- buahan lain seperti tamar, delima, anggur dan buah tiin. Gambaran ini menunjukkan betapa banyaknya khasiat buah zaitun sepertimana buah- buahan lain yang mendatangkan kebaikan kepada kehidupan manusia sejagat.

Buah zaitun atau nama botaninya dikenali sebagai olea europea ditanam di kawasan Meditranean tetapi tempat penanaman yang paling utama ialah Sepanyol, Turki, Itali, Tunisia dan Morocco. Di dalam surah an Nur ayat 35 juga Allah menyebut tentang buah zaitun yang mana ulama seperti Maulana Majid, Maulana Maudoodi, Maulana Usmani, Maulana Haqqani dan Abdullah Yusuf Ali memberi pentafsiran dan pandangan yang sama merujuk kepada tempat dan taburan penanaman buah zaitun.

Dunia moden pada hari ini, melalui kajian- kajian sains semasa mengiktiraf khasiat buah zaitun. Minyak zaitun mempunyai nilai yang tinggi dalam bidang perubatan. Seandainya minyak zaitun diambil sebagai bahan makanan, ia bertindak sebagai penambah zat makanan, mencuci dan membaik pulih perut dan menjadi penawar racun. Ia akan membantu pesakit gastrik dan juga yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang. Jika minyak zaitun diambil sebagai sapuan luaran, ia bertindak sebagai pelicin dan pelembut kepada kulit yang mengalami ekzema dan psoriasis seterusnya dapat meremajakan kulit. Menurut Tarmizi dan Ibn Majah, Nabi Muhamad SAW bersabda, " Makanlah minyak zaitun, dan sapulah kulitmu dengannya kerana ia datang dari pohon yang diberkati".

Dari sudut pandangan sains pemakanan, minyak zaitun mengandungi asid lemak tidak tepu yang dikelaskan sebagai "monounansaturated" yang mampu merendahkan kolesterol berbahaya di dalam darah. Satu kajian yang telah dijalankan oleh pakar- pakar kesihatan di Institut Sains Kesihatan, Universiti Oxford melihat perkaitan antara kanser dan pemakanan seseorang. Didapati bahawa negara yang mengamalkan pengambilan daging yang kerap dan rendah dalam pengambilan sayur- sayuran mempunyai risiko dan kes penyakit kanser yang tinggi tetapi pengambilan minyak zaitun akan mengurangkan kadar kes tersebut. Dalam Annals of Oncology (10 Januari 2005) menyatakan pakar- pakar sains mendapati diet Meditranean yang kaya dengan minyak zaitun akan mengurangkan risiko seseorang mendapat kanser payudara kerana kandungan ‘oleic acid' yang terdapat didalamnya. Menurut Imam Ibn Qayyim Al Jauziyyah, mutu minyak zaitun adalah bergantung kepada pokok yang mengeluarkannya. Sebagai contoh, jenis yang terbaik adalah minyak zaitun yang dikeluarkan daripada buah yang masak, manakala minyak daripada buah zaitun yang belum masak adalah bersifat sejuk dan kering. Buah zaitun yang telah masak ranum, lebih cenderung menjadi panas dan mengurai. Oleh itu, jika ia diproses menggunakan air akan menjadikannya kurang panas, bertindak dengan lembut dan lebih berkhasiat. Walaubagaimanapun, semua jenis minyak zaitun akan melembutkan kulit serta melambatkan proses penuaan. Di samping itu, minyak zaitun dapat melawan racun di dalam badan dengan bertindak sebagai ‘laxative' dan menyingkirkan cacing di dalam badan.

Melihat kepada keadaan dan tahap kesihatan masyarakat kita sekarang, penyakit jantung yang dikenali sebagai pembunuh secara senyap semakin meningkat. Namun begitu, pengambilan minyak zaitun mungkin dapat mencegahnya kerana ia kaya dengan bahan ‘phenol'. Bahan ini mempunyai bahan antioksidan yang tinggi di samping mampu mencegah proses radang dan pembekuan darah. Oleh itu, pengambilan minyak zaitun amat bermanfaat untuk mencegah seseorang daripada menghidapi penyakit jantung. Di samping itu, mutakhir ini, manfaat minyak zaitun untuk kecantikan seringkali dihebahkan di dada akhbar mahupun media elektronik. Ini kerana, banyak syarikat kosmetik yang menggunakan minyak zaitun sebagai bahan asas ramuan dalam pembuatan barangan kecantikan. Oleh itu, sememangnya kelebihan minyak zaitun tidak dapat dinafikan lagi.

Kelebihan minyak zaitun boleh dilihat dalam situasi yang paling dekat dengan kehidupan kita di mana penggunaannya sebagai minyak masak. Walaupun banyak pendapat mengatakan bahawa makanan yang dimasak atau digoreng menggunakan minyak zaitun tidaklah sesedap makanan yang digoreng dengan menggunakan minyak kelapa sawit, namun ia ada kelebihan tersendiri dari sudut kesihatan. Minyak masak selain yang berasaskan buah zaitun apabila digunakan berulang kali menyebabkan jumlah kolesterol teroksida dan menjadi tepu serta tidak elok untuk kesihatan. Kesannya dapat dilihat apabila minyak tersebut memerangkap sisa makanan dan berubah warna dan bau. Namun berbeza dengan minyak zaitun kerana ia boleh digunakan berulangkali, tidak akan mengalami proses pengoksidaan dan menjadi tepu serta tidak akan berubah dari segi warna dan bau. Setelah makan makanan yang digoreng menggunakan minyak zaitun, perut akan terasa ringan dan puas sehingga seseorang akan berhenti makan sebelum kenyang. Ini adalah kerana kesan daripada penguraian tenaga di hati oleh minyak zaitun yang mempunyai banyak kandungan zat yang bermanfaat.

Oleh itu, tidak dapat disangkal lagi akan keistimewaan buah zaitun yang daripadanya boleh menghasilkan pelbagai jenis barangan dengan teknologi yang ada pada masa kini untuk kegunaan ramai. Sehubungan dengan itu, daripada Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda " Ambillah minyak zaitun dan sapulah ke kulitmu. Ia membantu mengubat tujuh puluh (beberapa) penyakit dan juga Juzam (kusta). Dengan ini, tidak hairanlah, ramai yang mengetahui akan kelebihan buah zaitun, memanfaatkannya sebagai bahan untuk kegunaan asas seperti minyak masak, minyak rambut, barangan kecantikan, sabun dan juga dijadikan sebagai makanan tambahan. Justeru, khasiat yang terdapat pada buah zaitun merupakan anugerah Allah ke atas hamba- hambaNya yang amat bernilai untuk dimanfaatkan kerana bukan sahaja buah zaitun disebut di dalam Al Quran, malah pakar- pakar sains dunia juga mengiktiraf akan keistimewaannya.

Saturday, May 22, 2010

Judi bola: Surat terbuka Tuan Ibrahim kepada Jamil Khir


JUDI BOLA : DI MANA KAMU SAHABAT LAMAKU?

JUMAAT, 21 MEI 2010 | 7 JAMADILAKHIR 1431H


(Catitan : Artikel ini telah pun dikeluarkan pada 13 Mei 2009, dan setelah setahun berlalu, kebimbangan yang disuarakan akhirnya berlaku. Masih tidak kedengaran suara Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini berkenaan isu judi bolasepak, adakah diam tanda setuju atau apa sebenarnya yang berlaku?)

Kepada sahabat lama Jamil Khir Baharom,

Semoga Allah memberkatimu, walau lama kita tak bersua. Semoga Allah melimpah belas kasihanNya ke atasmu.

Terlebih dahulu aku merakamkan ucapan takziah di atas bebanan yang sedang engkau pikul, kerana engkau tidak lebih baik dari Imam Ahmad yang menolak perlantikan sebagai Mufti, kerana itu bermakna ia meredhai kezaliman khalifah. Tetapi engkau juga tidak sekejam Hajjah bin Yusuf al-Thaqafi yang bertindak membelakangkan hukum Allah bagi menunjukkan kekuasaan yang ada.

Tetapi jauh lebih membimbangkan aku terhadapmu ialah engkau akan terpaksa menentang Jamaah Islam, engkau akan menentang Parti Islam. Kami tahu kami bukanlah yang terbaik, tetapi aku lebih bimbang bilamana kamu menganggap UMNO lebih baik. Engkau akan terpaksa meredhai kemungkaran yang diizinkan pemerintah dan membenarkan kezaliman ISA dan lainnya. Aku tahu engkau tidak kuat menahan kemurkaan Allah di akhirat seandainya Ia murka. Aku memohon perlindungan dariNya untuk aku dan kamu.

Lantaran itu, kumpullah mereka yang takutkan Allah, satulah kekuatan bagi menentang kezaliman, tegaklah makruf dan tentanglah kemungkaran dari dalaman UMNO yang kamu mampu; tetapi akhirnya kamu akan kecewa. Kerana kamu dilingkungi oleh bukan ahlinya.

Sekian, ingatan sahabat sementara hidup, kerana tiada pesanan di akhirat.

Wassalam.

Sahabat Lama,

TUAN IBRAHIM TUAN MAN


Bekas SUK PAS Kuantan kembali ke rahmatullah

TEMERLOH: Bekas Setiausaha Kerja PAS Kawasan Kuantan, Jamal@Kamaruzaman, 40an, kembali ke rahmatullah kira-kira jam 8 pagi (Jumaat) 21 Mei.

Menurut sumber, ketika menghantar anaknya ke sekolah dari rumahnya di Sungai Karang, Allahyarham tiba-tiba mengadu sakit dada dan meninggal dunia kemudiannya.

Beliau meninggalkan seorang balu dan lima orang anak.

Sementara itu, bekas Setiausaha Kawasan Kuantan, Asri Ismail menyifatkan Allahyarham yang sangat komited dengan tugasnya kerana sanggup mengorbankan diri demi perjuangan.

„Sebagai orang yang pernah bekerja di bawah saya, kelebihan beliau ialah tahu apa nak buat tanpa arahan. Berjaga malam kerana sesuatu tugas parti adalah biasa bagi arwah.“



Friday, May 21, 2010

Antara sesat Arqam dan sesat Umno

Akhbar arus perdana sehari dua ini banyak memainkan isu pengikut Asaari Muhammad atau Abuya percaya kononnya bekas pemimpin pergerakan Al-Arqam yang diharamkan itu tidak meninggal dunia dan akan kembali dalam masa terdekat.

Antara lain, akhbar memetik kenyataan Penasihat Ekonomi dan Korporat Global Ikhwan, Dr Aziz Hashim, bahawa Abuya cuma ghaib dan akan kembali dalam masa terdekat.

Anak Asaari sendiri, Fakhrur Razi, berucap dalam satu konsert ‘Kalahkan Nafsu Abuya Pulang’, Isnin lalu, dilaporkan berkata bapanya hanya pergi sementara dan akan kembali dengan jasad yang hidup untuk memimpin umat Islam.

Beliau berkata, kegembiraan ditunjukkan pengikut Asaari pada konsert itu membuktikan mereka yakin bekas pemimpin Al-Arqam itu tidak meninggal dunia.

Kini polemik demi polemik dimainkan, namun tidak ramai yangs edar bahawa pada satu peringkat, kesesatan kumpulan Arqam itu memang sengaja dibiarkan oleh Kerajaan Umno/BN demi sebagai modal untuk menentang PAS.

Sebenarnya cerita keganjilan fahaman kumpulan tersebut sudah lama cuma sengaja dibiarkan, sehinggalah kumpulan tersebut mendakwa akan mengambil pemerintahan negara melalui jalan ghaib menggantikan Dr Mahathir.

Hujah mereka ialah Perdana Menteri Malaysia berdasarkan teori RAHMAN. Tengku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Hussein Onn, Dr Mahathir... dan “A” selepas “M” itu ialah “Asaari”.

Inilah dakwaan mereka dengan bangga. Dan selepas Kerajaan Umno/BN melihat Arqam mula berpolitik, barulah mereka bertindak.

Kenapa penulis katakan kumpulan ajaran sesat sengaja dibiarkan untuk menghentam PAS? Kerana senang dalam propaganda dan gerak saraf Umno mereka menuduh Pas sesat. Propaganda dan gerak saraf tersebut biasa laku, terutama kepada orang Melayu yang tidak bermaklumat, pekat Umno dan memang jenis bangang.

Tanyalah orang-orang PAS di kampung-kampung, propaganda inilah yang terpaksa mereka hadapi apabila PAS disamakan sesat dan menyeleweng kerana mahu membawa politik Islam.

Ajaran dan doktrin Umno ialah politik suku agama suku. Siapa boleh menafikan demikian?

Sebenarnya banyak kumpulan sesat lain yang sememangnya tidak mampu ditangani, atau sengaja dibiarkan oleh Kerajaan Umno/BN, umpamanya ajaran Ayah Pin. Sampai hari ini tidak terdengar pengasas kumpulan Kerajaan Langit itu tertangkap.

Kemudian senanglah Umno berkempen dengan mendakyahkan kesesatan PAS.

Ketika Taliban dan Al-Qaeda diperangi Amerika Syarikat dalam kempen ‘memerangi keganasan’ anjuran Presiden Bush, saban hari mereka memaparkan muka Osama bersama dengan Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Ustaz Hadi di kaca televisyen. Ini dengan hasrat untuk mengimejkan PAS sebagai pengganas dan mendokong keganasan.

Siapa yang boleh menafikan ini semua?

Justeru saya melihat, tidak perlu terikut dengan rentak Umno yang sengaja memainkan isu kumpulan sesat, kerana sasaran mereka ada kumpulan lain yang akan mereka psikokan kepada umum sebagai sama dengan sesat.

Dengan lain-lain perkataan, mereka sengaja mempropagandakan isu tersebut kepentingan politik mereka.

Kita faham, yang sesat tetap sesat, kita tidak membela kesesatan. Malah, setiap hari pendakwah kita di pentas ceramah, di surau, di masjid, dalam kuliah-kuliah dan di medan penulisan menguar-uarkan kesesatan Umno! Adakah mereka sedar dan berubah?

Mana lebih memudaratkan, Arqam sesat yang tidak berkuasa dengan Umno yang sedang berkuasa?

Penulis rasakan, pelajar Pasti enam tahun pun tahun jawapannya.

Jadi apa kesesatan Umno? Di mana mereka sesat lagi menyesatkan?

Maaf, kita boleh berdebat dan membincangkannya pada wacana lain, kerana hari sudah lewat malam!




Thursday, May 20, 2010

Gula.... oh gula...

KUANTAN: Sikap pengguna yang membuat pembelian panik merupakan antara punca utama berlakunya kekurangan bekalan gula di beberapa kawasan di Pahang, kata Ketua Seksyen Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Pahang, Md Nawawi Ab Rahman.

Beliau berkata, jumlah bekalan gula di Pahang bagi menampung 1.6 juta penduduk negeri itu sebenarnya amat mencukupi, dengan 1,700 hingga 1,900 metrik tan gula dibekalkan di Pahang setiap bulan.

"Jumlah itu mencukupi bagi menampung keperluan penduduk di Pahang ini, jadi masalah bekalan gula di Pahang sepatutnya tidak berlaku," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai masalah bekalan gula yang dikesan terutamanya di daerah Kuantan, Bera dan Temerloh.

Md Nawawi berkata, berdasarkan tinjauan, pihaknya mendapati masalah kekurangan itu bukanlah disebabkan kekurangan bekalan atau sebab lain seperti tindakan para peniaga menyorok bekalan.

"Pengguna juga tidak perlu panik dengan khabar angin kononnya harga gula akan naik atau stok bekalan berkenaan berkurangan," katanya dan menambah pihaknya sentiasa memantau keperluan gula di seluruh daerah di Pahang.

"Kita sentiasa pantau, bukan sahaja bekalan barang, tapi juga harga, dan laporan yang diterima setakat menunjukkan bekalan gula di Pahang mencukupi," katanya. - BERNAMA


PRK Sibu punya hal, BN cirit birit

Barangkali sudah agak terlewat untuk menganalisis kemenangan manis Pakatan Rakyat merampas kerusi Parlimen Sibu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 16 Mei, Ahad lalu. Penulis mengakui ketinggalan.

Namun begitu sudah banyak tulisan, komentar dan pendapat telah disiarkan mengenai kegagalan BN mempertahankan kerusi parlimen tersebut di mana calonnya, Robert Lau Hui Yew dari parti SUPP dikalahkan oleh calon DAP, Wong Ho Leng dengan majoriti 398 undi.

Wong mendapat 18,845 undi, Lau memperoleh 18,447 undi manakala calon bebas Narawi Haron 232 undi.

Semua mengakui, ini sudah tentulah merupakan kemenangan besar kepada DAP yang mewakili Pakatan kerana pada Pilihan Raya Umum 2008 BN memenangi kerusi tersebut daripada DAP dengan majoriti 3,235.

Cuma penulis dapat melihat beberapa fakta yang terkandung dalam kemenangan gemilang Pakatan yang sudah tentu amat menyenakkan dada pimpinan BN, terutamanya Perdana Menteri Najib Tun Razak itu.

Pertamanya, nyata orang-orang Cina tidak mudah dijual beli undi mereka, tidak mudah diperkotak-katikkan dengan gula-gula wang dan projek. Pengundi Cina bukan sahaja berpaling daripada BN seperti yang mereka lakukan pada PRU 2008, malah bertindak menyebelahi Pakatan meskipun BN memberi belasan juta ringgit peruntukan segera kepada sekolah jenis kebangsaan Cina dan menjanjikan pelbagai projek serta tindakan.

Semua orang tahu, beberapa jam sebelum pengundian, Najib turun sebagai Perdana Menteri Malaysia ke Sibu dna berkempun untuk BN, termasuk kawasan Cina di Rajang, dengan pelbagai taburan janji, ugutan dan rasuah. Anehnya orang-orang Cina bijak dan matang kerana menerima Najib dengan baik, tetapi tidak memberi sokongan kepada BN.

Jelas bahawa usaha BN mendapatkan semula undi Cina masih tidak berhasil walaupun telah memberi dan menjanjikan pelbagai kemudahan.

Kedua, mainan politik perkauman dan ugutan terhadap bangsa Cina oleh ekstremis Umno dan sekutu-sekutunya nyata memakan diri. Ini juga menunjukkan trend pengundian 2008 akan berterusan kerana belum kelihatan tanda-tanda orang Cina berpatah balik kepada BN.

Ketiga, ternyata strategi kolot dan tradisional BN memikat hati pengundi dengan umpan kebendaan dan janji, tidak semesti berkesan, kecuali di tempat-tempat tumpuan orang Melayu.

Keempat, keputusan ini menjadi salah satu indikator BN Sarawak bakal menghadapi cabaran besar dalam pilihan raya negeri yang pada mulanya dirancang November ini.

Namun lebih jauh daripada itu, kesan kemenangan ini ialah lambang kepada terlingkupnya bahtera BN pada PRU akan datang.

Bayangkan, jika Sarawak yang selama ini dianggap kubu dan penyelamat kerajaan BN boleh tersungkur pada PRK yang selalunya memberi advantage kepada BN, ini bermakna tidak mustahil Pakatan mampu mara lebih jauh pada PRU akan datang!

Tidak ramai yang sedar, bahawa pimpinan BN kini berada dalam keadaan migrin, ciri birit dan demam kuat pada masa ini!





Wednesday, May 19, 2010

Laporan SPRM oleh pimpinan PR Pahang terhadap PM berkaitan rasuah dan ugutan PRK Sibu

TEMERLOH: Satu aduan salah laku membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan ini pada 19 Mei oleh Pakatan Rakyat (PR) Pahang.

Laporan dibuat berkaitan satu kenyataan Najib dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sibu yang didakwa melakukan ugutan rasuah dalam isu membabitkan kononnya untuk kelulusan membina mitigasi banjir bernilai RM5 juta sekiranya calon BN diberikan kemenangan oleh pengundi.

Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengetuai rombongan menyerahkan laporan kepada Pegawai Penyiasat SPRM dengan diiringi Timbalan Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah-Ngah dan Pengerusi Cabang PKR Temerloh, Ahmad Nizam Abdul Hamid.



Turut serta ialah Setiausaha DAP Pahang, Choong Siew Onn, Adun Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamad, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dr Hamzah Jaafar dan kira-kira 30 penyokong PR.

Dalam laporan tersebut yang kemudiannya diedarkan kepada media antara lain berbunyi:

Kami dengan ini membuat laporan kepada SPRM bagi memohon satu penyiasatan dibuat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan pimpinan yang lain yang semasa berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu Sarawak telah melakukan berbagai perkara yang kami sifatkan mengandungi ugutan berbentuk rasuah.

“Kami ingin membuat aduan atas satu pendedahan yang disiarkan dalam laman Malaysiakini bertarikh 13 Mei 2010 jam, 6.37 yang kami sifatkan penyalahgunaan kuasa dan kedudukan secara jelas sebagai Perdana Menteri bagi menawarkan peruntukan untuk membina mitigasi banjir bernilai RM5 juta sekiranya rakyat Sibu memenangkan calon BN pada PRK tersebut.”

“Dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman tersebut telah menunjukkan secara jelas Najib telah membuat tawaran berbentuk rasuah dan salah guna kuasa apabila menyebutkan:

“Mari kita membuat perjanjian. Jika anda memberikan sokongan kepada Robert Lau Jr pada hari Ahad, saya akan menandatangani cek pada hari Isnin.”

“Mengikut penelitian yang kami terdapat sekurang-kurangnya 20 projek segera diumumkan yang menelan belanja berbilion ringgit diumumkan sepanjang tempoh berkempen.

“Sebagai contoh, pada 10 Mei 2010 (Utusan Online) melaporkan sejumlah RM1 bilion diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tebatan banjir di Sibu.

“Pada 15 Mei 2010 beliau mengumumkan penurunan bayaran premium tanah sehingga 50 peratus daripada kadar asal.

“Pada 12 Mei 2010 Perdana Menteri mengumumkan pemberian siaran televisyen satelit percuma di pedalaman Sabah dan Sarawak. Najib turut memberikan sumbangan sebanyak 50 unit komputer kepada para pelajar yang layak di Parlimen Sibu.

“Apa yang mendukacitakan kami ialah pada setiap kali pilihan raya terutamanya pada PRK pemimpin Umno/BN telah membudayakan anasir rasuah melalui pelbagai cara termasuk ugutan sehingga mencemarkan amalan ketelusan demokrasi di negara ini.

“Selain daripada itu kami amat risau tentang perjalanan kewangan negara yang tidak sihat apabila pemimpin kerajaan menyalurkan bantuan bersifat ‘segera’ yang memungkinkan berlakunya ketirisan dalam penyaluran dana awam.

“Sebagai pemimpin pertubuhan politik yang sah kami amat prihatin dan bertanggungjawab atas perjalanan dana awam di negeri agar ianya diurus secara telus dan berintegriti.

“Oleh kerana isu ini telah didedahkan oleh media berulang kali dan telah menjadi perhatian umum yang ada kepentingan awam maka di sana telah wujud banyak keraguan yang sehingga kini tidak mampu diperjelaskan.

“Maka kami dari Pakatan Rakyat memohon pihak SPRM menggunakan kuasa menyiasat i bawah peruntukan undang-undang Seksyen 21 (1) Akta Pencegahan Rasuah atau lain-lain seksyen yang ada pada bidang SPRM.

“Kami memohon suatu bentuk penyiasatan yang terperinci dilakukan bagi menjaga kepentingan rakyat dan kewangan negara.”

Gambar:

1. Pimpinan PR Pahang bergambar ramai di hadapan pejabat SPRM Temerloh

2. Mohon disiasat... Tuan Ibrahim (tiga, kiri) menyerahkan aduan kepada Pegawai Penyiasat SPRM Temerloh




Pak De Pa dipanggil menemui Allah

Pagi ini kira-kira jam 8 pagi, saya dikejutkan dengan panggilan telefon oleh bapa saudara saya, yang saya panggil Cu Ark, mengatakan Cikgu Mustapha Mohd Nor (Pak De Pa) dalam keadaan dan nazak dan kritikal di Hospital Ampang.

Adik beradik, anak-anak dan sanak saudara mereka telah berkumpul.

Pada masa itu saya masih berada dalam kereta dan Cu Ark meminta saya memberi tahu Mak kerana dia tidak mahu memaklumkan hal tersebut bimbang-bimbang Mak terkejut.

Pak De Pa telah dimasukkan ke Wad ICU hospital berkenaan sejak seminggu lalu kerana jangkitan paru-paru.

Setengah jam kemudian ketika saya berjumpa Mak di rumah Tik, Umar menelefon dari Kedah mengatakan Pak De Pa telah kembali ke rahmatullah.

Pak De Pa, 60-an, bapa saudara pupu saya ialah anak kepada bekas wakil rakyat Padang Tengku, Cikgu Mohd Nor. Saya tidak sempat bertemunya, tapi sempat dengan ibu Pak De yang saya panggil Tok Arah.

Pada masa kecil dulu-dulu saya sering ke rumahnya di Kampung Telmin, Padang Tengku. Kebetulan adiknya, Azmi (Cu Mi), sebaya dengan saya jadi suka kami bemain. Seronok ke sana kerana dapat naik kereta api.

Rumah tersebut kini diduduki oleh Ayahngah Tar (Mokhtar Mohd Nor – bekas Sarjan Mejar tentera). Lama juga tak jumpa Pak De Pa, kerana setelah bersara dari dunia pendidikan dia menetap di Kuala Lumpur.

Kini Pak De Pa telah kembali ke rahmatullah. Menurut SMS yang saya terima daripada Cu Ark dan Umar, jenazah allahyarham akan disembahyangkan di Surau Mutmainnah, Pandan Perdana dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Baru hari ini juga.

Moga-moga Allah ampunkan segala dosa dan rohnya dicucuri rahmat.

Berehatlah Pak De. Hari ini giliran Pak De, esok-esok giliran kami pula... Begitulah resamnya hidup di dunia ini sebagai hamba Allah.



Exco gagal bantu keluarga miskin luluskan permohonan SPNB

LANCHANG: Meskipun keluarganya merupakan pengundi kepada Adun Lanchang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin, namun Exco itu masih gagal membantunya meluluskan permohonan mereka untuk memiliki rumah sendiri.

Bayangkan jika anda tinggal dalam sebuah rumah usang saban tahun ditenggelami air banjir dan hanya mempunyai pendapatan RM400 sebulan.

Dengan pendapatan di bawah paras kemiskinan itu anda terpaksa pula menyara enam anak termasuk dua anak Orang Kelainan Upaya (OKU).

Memang kita tidak sanggup melalui keperitan itu tetapi bagi Abdul Rahman Ibrahim, 60 dan isterinya Jelipah Tot, 51, itulah rutin hidup yang terpaksa mereka harungi untuk meneruskan hidup.

Tinggal dalam rumah usang dibina atas tanah rizab masjid ihsan penduduk kampung dalam kawasan kebun getah mereka juga terdedah kepada penyakit akibat persekitaran yang semak dan dipenuhi nyamuk.

Rumah yang didiami keluarga miskin itu juga saban tahun ditenggelami air banjir dan mereka terpaksa berpindah ke balai raya berhampiran sejak 10 tahun lalu setiap kali musim banjir tiba.

Abdul Rahman berkata, bukan mereka tidak memohon bantuan tetapi sampai kepada tahap merayu supaya Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Pahang meluluskan permohonan mereka untuk memiliki rumah sendiri.

Isterinya Jelipah berkata, setelah 10 tahun tinggal dalam kawasan mudah banjir di Kampung Kuala Kaung, dia dan keluarga tabah meneruskan hidup.

Saban hari rutin hariannya hanyalah mengambil upah menoreh getah penduduk kampung dengan pendapatan RM400 sebulan. Jika musim hujan pendapatannya tinggal separuh daripada jumlah itu.

Dengan pendapatan itulah dia menyara enam anaknya termasuk dua OKU kerana suami tidak mampu lagi bekerja setelah diserang strok dua tahun lalu.

Sebelum ini suaminya bekerja sebagai pencuci longkang dengan Alam Flora tetapi sekarang tugas mencari rezeki dipikul sepenuhnya Jelipah.

Menurutnya, permohonan untuk mendapatkan rumah telah dibuat melalui wakil rakyat dan pejabat daerah namun masih belum ada jawapan.

“Kami merayu kepada SPNB supaya meluluskan permohonan kami kerana tidak sanggup lagi tinggal dalam keadaan rumah yang uzur,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankusa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Kaung/Sempadan Mohd Norawi Abd Rani berkata, permohonan keluarga itu telah diajukan kepada wakil rakyat.

Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang Datuk Mohd Sharkar Shamsudin beberapa kali merayu kepada SPNB supaya disegerakan pembinaan rumah bagi keluarga terbabit.

“Kami telah membantu keluarga terbabit mendapatkan sebidang tanah bagi pembinaan rumah keluarga Abdul Rahman.

“Masalah yang berlaku dipercayai di pihak SPNB sendiri kerana semua permohonan mengikut prosedur telah dibuat termasuk melalui pejabat daerah dan tanah Temerloh,” katanya.

Sehubungan itu mana-mana pihak yang ingin membantu boleh menghubungi keluarga Abdul Rahman melalui ketua kampung Mohd Norawi di talian 013-9605841.

Gambar ~
Jelipah melayan telatah anak keempatnya, seorang OKU Affendi Abdul Rahman, 27, di hadapan rumahnya




Tengku Muhammad Faris bakal dimasyhur Sultan Kelantan?


Apakah krisis Istana Kelantan akan berakhir dalam amsa terdekat?

Persoalan ini timbul sehari dua ini berikutan desas-desus kuat bahawa dalam masa terdekat ini Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra akan ditabal sebagai sultan, sekali gus mengakhiri kemelut Istana Kelantan.

Menurut laman mStar, bagaimanapun pihak Istana Kelantan sehingga kini mengambil pendekatan berdiam diri serta enggan mengulas lanjut berhubung khabar angin berkenaan.

Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, beliau tidak mengetahui mengenai desas-desus berkenaan.

Malah beliau turut menyatakan tidak layak untuk menjelaskan mengenai perkara berkenaan kerana hanya bertugas sebagai pegawai kerajaan.

"Saya tidak tahu (pertabalan sultan), saya tak layak komen tentang perkara ini... saya hanya pegawai sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai beberapa tulisan di blog-blog yang mengatakan Pemangku Raja akan ditabalkan sebagai Sultan Kelantan dalam masa terdekat.

Blog-blog berkenaan juga mengatakan dengan pertabalan Tengku Muhammad Faris, ia akan menamatkan krisis Istana Kelantan yang berlanjutan sehingga hampir setahun sejak Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra gering.

Baginda kemudiannya dimasukkan ke Hospital Mount Elizabeth pada 14 Mei tahun lalu berikutan serangan jantung.

Seiring dengan itu, Tengku Muhammad Faris dilantik sebagai Pemangku Raja pada 24 Mei tahun lalu.


Tuesday, May 18, 2010

Umno hantar bahan fitnah melalui pos

TEMERLOH: Kerana terdesak dan bimbang dengan kemaraan PAS, Umno dipercayai kembali menggunakan taktik menghantar bahan fitnah terus ke sasaran melalui pos.

Terbaru bahan-bahan dokumen yang mengandungi fitnah terhadap pemimpin parti-parti dalam Pakatan Rakyat telah diterima oleh Ketua Penerangan PAS Pahang, Hasanuddin Salim tanpa alamat pengirim.

Menurut Hasanuddin, antara bahan yang terkandung dalam sampul surat besar yang diterimanya ialah dokumen yang menuduh DAP anti Melayu, fatwa mufti Datuk Seri Harussani, CD dokumentari berkaitan Nizar Jamaluddin dan sebuah buku bertajuk 50 kemusykilan tentang manusia bernama Anwar Ibrahim tanpa nama penulis, penerbit dan pencetaknya.

“Sebelum ini saya sudah beberapa kali menerima bahan pos yang dihantar ke rumah iaitu majalah Ekspresi yang mana isi kandungannya melaga-lagakan pandangan kumpulan-kumpulan dalam PAS dan dalam Pakatan Rakyat yang kebanyakannya dipetik dari blog-blog tertentu”.

“Dulu saya ingatkan mungkin bahan tersebut dihantar daripada kelompok tertentu dalam PAS atau Pakatan, sekarang dah jelas dari Umno yang tujuan utamanya cubaan untuk menceraikan PAS daripada Pakatan,” katanya ketika menemui SelamatkanPahang di sini.

Menurut Hasanuddin yang juga Setiausaha PAS Kawasan Temerloh, bahan yang dicop di Mersing, Johor itu dipercayai telah dihantar kepada semua Setiausaha PAS Kawasan-Kawasan seluruh Pahang berdasarkan maklumat yang diterimanya.

“Ingatan saya kepada lain-lain penerima, ini jelas propaganda dan taktik jahat Umno yang seolah-olah hilang punca dan sebenarnya timbul rasa ketakutan yang amat sangat apabila Pakatan kelihatan mendahului BN”.

“Contohnya program-program penerangan yang kita anjurkan di Kerdau dan Sungai Gau baru-baru ini telah berjaya menarik puluhan ribu rakyat. Jadi mereka gunakan taktik bacul ini kerana terdesak’.

Tambah Hasanuddin, daripada membazir sehingga terpaksa berhabisan duit untuk menghadapi kemaraan PAS ini lebih baiklah mereka menumpukan pembangunan sebagaimana yang diamanahkan rakyat.




Monday, May 17, 2010

Selamat Hari Guru Dari PJ PAS Pahang

Oleh TUAN IBRAHIM TUAN MAN

ISNIN, 17 MEI 2010 | 3 JAMADILAKHIR 1431H

PAS mengucapkan Selamat Menyambut Hari Guru kepada seluruh warga pendidik. Merenungi hadis Rasulullah s.a.w, bilamana mati anak Adam, maka putuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dengannya serta anak soleh yang mendoakannya.

Bilamana merenungi antara tiga perkara tersebut secara mendalam, kita akan terasa betapa ilmulah yang paling besar manfaatnya bagi si mati. Betapa yang lain berkemungkinan berakhir juga. Anak akan berakhir kerana ia akan mati, sedekah juga akhirnya musnah dan akan berakhir, namun guru dan pendidik meninggalkan amalan yang berterusan dan kekal. Alangkah hebatnya menjadi warga pendidik yang beriman dan ikhlas dalam amalannya.

Seorang guru akan tetap menjadi guru walau ia telah pencen. Saya teringat akan kata-kata seorang guru semasa di kelas peralihan semasa belajar di Sekolah Agama Dong, Raub pada tahun 1973 : "Kamu belajarlah rajin-rajin, biar sampai ke universiti, kemudian kamu datanglah ke sekolah ini, kamu jumpa semula cikgu dan kamu akan dapati beginilah cikgu. Tiada seorang cikgu inginkan anak muridnya lebih rendah darinya." Saya menjenguk semula ke sekolah lama setelah menamatkan pengajian di UKM pada tahun 1985, dan ternyata saya menemui semula guru kesayangan kami, ternyata dia tetap begitu, mengajar dan terus sabar dengan pelbagai gelagat anak muridnya.

Sewaktu saya menjadi pensyarah di ITM ( sekarang UiTM) perkara utama yang ditekankan selain memberi didikan ialah keberkatan dalam ilmu, sehingga saya meletakkan satu notis di pintu bilik : "Separuh dari keberkatan ilmu anda, terletak kepada anda menghormati guru anda, manakala separuh lagi ialah anda mengamalkan apa yang anda pelajari."

Saya bimbang dengan apa yang sedang berlaku dalam sistem pendidikan kini, bilamana kurangnya adab murid dengan guru, hilangnya perbincangan tentang nilai keberkatan ilmu, dan kurangnya keredhaan guru kepada muridnya; akan menghilangkan nikmat dan rahmat dalam pendidikan. Saya ingin meninggalkan pesanan yang sentiasa dipesan oleh ibu sewaktu menunggu bas untuk balik ke asrama : "Jangan sesekali kamu menyakiti hati guru kamu, nanti kamu tidak akan berkat sepanjang hidup kamu."


Ada bakat ke Piala Dunia!






GOL… GOL… GOL!!! Ini ialah detik-detik cemas, memukau dan menakjubkan sebelum pasukan Indera Mahkota dinobatkan sebagai juara bolasepak setelah mengalahkan Kuantan.

Semuanya berlangsung pada petang 16 Mei 2010 (Ahad) di padang Taman Gajah, Temerloh dalam festival Sukan Tahunan Pasti Negeri Pahang.

Dalam pertandingan akhir yang mendebarkan dada para penonton serta hebatnya laksana ‘Piala Dunia’ itu pasukan Indera Mahkota menundukkan Kuantan dengan jaringan 4-3 melalui penalti, selepas tiada gol dijaringkan dalam masa permainan.

Permainan menghiburkan kedua pasukan turut menarik perhatian kira 500 penonton, termasuk orang luar.

Hadiah-hadiah bagi pemenang pertama, kedua dan ketiga acara bolasepak dan bolajaring telah disampaikan oleh Exco perhubungan PAS Pahang Ustaz Ramli Abdul Rahman.

Ternyata bakat mereka dikagumi dan sudah pasti boleh diketengahkan lebih jauh lagi pada masa mendatang jika terus dan terus digilap.













Karnival Warga Felda Bera 22 Mei 2010

MEDIA GUAI

BERA:
Lajnah Hal Ehwal Pertanian,Peneroka dan Buruh Kawasan Bera menganjurkan Program Karnival Warga Felda Bera 2010 bertempat di Laman Pusat Khidmat Masyarakat Felda Purun, Bera.

Beberapa aturcara bermula jam 9.00 pagi sehingga 12.00 malam pada 22 Mei 2010 telah disediakan. Aturcara melibatkan penyertaan dari kalangan kanak-kanak, muslimat, nisa dan orang dewasa.

Pengarah Program Ust Sulaiman bin Mohamad yang juga Yang Di-pertua PAS Kawasan, berharap agar seluruh warga Felda dalam Parlimen Bera dapat membanjiri kawasan yang telah disediakan.

Perincian program adalah seperti berikut:

******************************************************

Tarikh: 22 Mei 2010

Masa: 9.00 pagi hingga 12.00 malam

Tempat: Laman Pusat Khidmat Masyarakat, Felda Purun

******************************************************

Aturcara:

9.00pg : Sukaneka kanak-kanak & dewasa
: Pertandingan mewarna kanak-kanak ( 4 – 10 tahun )

10.00pg : Klinik motorsikal PERCUMA
: Gunting rambut PERCUMA

: Pertandingan gubahan bunga

: Acara Muslimat & Nisa

: Pemeriksaan kesihatan PERCUMA

: Bekam, Urut Refleksologi & Kiropraktik PERCUMA

3.00ptg : Ramah Mesra Warga Felda

7.30mlm : Tahlil Perdana

9.15mlm : Ceramah Pakatan Rakyat

Sunday, May 16, 2010

Pasti sudah ada 1,700, pelajar 65,000

TEMERLOH: Sepanjang 26 tahun usia kewujudan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), kini sudah ada 1,700 buah, termasuk milik pelbagai kaum, dengan lebih 65,000 pelajar di seluruh negara, kata Pengarahnya, Cikgu Azrin Abdul Majid.

Malah, katanya, kini Pasti sudah mampu melaksanakan program lanjutan di mana bekas pelajarnya yang sudah memasuki sekolah-sekolah aliran perdana, boleh terus mengikuti pelajaran agama dan akhlak yang mana modulnya setakat ini digubal sehingga pelajar berusia 12 tahun.

“Di Perak sudah ada Pasti bagi pelajar berbangsa India yang diusahakan oleh Kelab Penyokong PAS. Di Penampang, Sabah sudah ada Pasti pelajar Kadazan. Di Tumpat ada Pasti yang mana pelajar-pelajarnya terdiri dari kalangan pelajar berbangsa Siam.”

“Kenapa bukan Islam turut meyakini sistem pendidikan Pasti? Sudah tentu kerana sistem pengajaran dan pembelajarannya, termasuk tentang konsep perpaduan. Sebagaimana maksud agama... iaitu “a” (tidak), “gama” (kacau orang) ... makna agama tidak kacau orang.”

“Berdasarkan konsep itulah sepertimana yang mereka fahami, bukan Islam yakin dan minta kita buka Pasti untuk tujuan pendidikan, akhlak dan konsep perpaduan,” katanya.

Azrin berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Makan Malam Pasti Az-Zahra’ pada 15 Mei di Dewan Orang Ramai Taman Temerloh Jaya. Kira-kira 200 tetamu menghadiri majlis berkenaan.

Pada majlis yang sama, beliau turut memuji aktivis-aktivis Pasti Pahang, khususnya Temerloh yang selama ini bertungkus lumus memperjuangkan bidang pendidikan bagi menjayakan misi parti.

“Perjuangan tidak asing lagi di Temerloh ini. Saya baca sejarah di mana orang Temerloh ini pernah menghalau penjajah Inggeris. Saya baca sejarah Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau. Saya baca sejarah Pak Sako, malah saya baca sejarah dan semangat perjuangan Lubuk Kawah yang kental mengusir penjajah.”

“Jadi kini tepat pada masanya... dan saya yakin apabila anak Temerloh dari bumi Pahang ini, dengan semangat daripada keturunan yang sama memperjuangkan peningkatan Islam melalui bidang pendidikan, khususnya melalui Pasti,” katanya.

Azrin berkata, kegemilangan Pasti selama ini sebenarnya turut dicemburui pihak lain terutamanya kerajaan sendiri.

“Sekarang ini kita boleh lihat bagaimana pihak kerajaan cuba menyaingi Pasti. Pesara guru diberikan lesen dengan mudah untuk mewujudkan pusat pendidikan pra sekolah. Permata Negara hari ini diperuntukkan dengan bajet besar, iaitu RM100 juta setahun.”

“Sebelum ini kerajaan memperkenalkan pra sekolah di sekolah-sekolah tertentu. Jadi ini membuktikan usaha Pasti yang dilihat berkesan selama ini diperhati dan dicemburui oleh kerajaan BN.”

Azrin hadir ke Temerloh sempena merasmikan Majlis Sukan Tahunan Pasti Pahang pada 16 Mei di Padang Taman Gajah Temerloh.

Sementara di majlis berkenaan, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan nasyid oleh penyanyi Qomarul Raihan, Mohd Sabri dan kumpulan Huffaz dari Berhala Gantang.

Pelajar Pasti Az-Zahra’ sendiri turut mempersembahkan keletah masing-masing.