Wednesday, March 31, 2010

Orang Asli Bukit Rok bangkit bantah agensi kerajaan ceroboh tanah

TEMERLOH: Orang Asli Bukit Rok memfailkan tuntutan bagi menghalang kerajaan Pahang daripada memajukan tanah seluas 2,023 hektar di Padang Kepayang, Bera.

Mereka mendakwa tanah berkenaan adalah tanah adat dan kawasan rayau hak milik Orang Asli kerana tanah itu telah diakukan oleh nenek moyang mereka sejak sebelum Perang Dunia Kedua.

Dakwa mereka lagi, terdapat dokumen pengakuan daripada kerajaan semasa pemerintahan penjajah Inggeris memperuntukan tanah tersebut milik mereka. Namun yang menjadi pertikaian status rizab Orang Asli tidak dimasukkan ke dalam pelan di pejabat daerah.

Dengan ketiadaan status tersebut pelbagai pihak boleh sewenang-wenangnya menceroboh termasuk pihak kerajaan atas alasan memajukan kawasan.

“Jadi kes ini boleh dianggap kes kerajaan lawan rakyat. Kerajaan menidakkan hak kami melalui eksplotasi undang-undang sehingga kami terpaksa berlawan dengan kerajaan di mahkamah, sedangkan tanah yang mahu dimajukan bagi pihak lain itu terang-terang hak milik kami sejak turun-temurun,” kata Rosmani yang menyaman kerajaan.

Tuesday, March 30, 2010

Skuad Sinar Harian Pahang lawat pejabat PAS

TEMERLOH: Pejabat Badan Perhubungan PAS Pahang (BPPNP) di Jalan Dato Bahaman pada Ahad 21 Mac lalu buat pertama kalinya menerima kunjungan tetamu istimewa iaitu daripada skuad wartawan akhbar Sinar Harian edisi Pahang.

Skuad seramai 16 orang dari Kumpulan Karangkraf diketuai editornya Mohd Hanafiah Hashim itu, mengambil kesempatan singgah sambil beramah mesra dengan pimpinan Pakatan Rakyat Pahang sempena program lawatan ‘Singgah Mesra’ menemui masyarakat daerah ini.

Antara pimpinan yang hadir mewakili PAS ialah Timbalan-timbalan Pesuruhjaya Dr Hamzah Jaafar, YB Syed Hamid Syed Muhamad, Sementara YB Leong Ngah Ngah mewakili DAP dan Tajuddin Ramli mewakili PKR.

Turut hadir ialah Setiausaha Perhubungan Roslan Zainal, Ketua Penerangan Hasanuddin Salim, Pengarah Japen Hashim Abdullah dan Ketua DAP Temerloh Woo Chee Wan.

Dr Hamzah dalam ucapan alu-aluan dan terima kasih merakamkan rasa terharunya kerana kesanggupan pihak media yang mulai mendapat perhatian masyarakat ke tempat ‘panas’ ini dan berharap akhbar tersebut meneruskan dasar liberal dan terbukanya dengan menyiarkan berita-berita berkaitan aktiviti parti-parti dalam Pakatan.

“Kita harapkan wartawan Sinar Harian daerah-daerah juga meneruskan dasar yang sama dan kita percaya jika berterusan akhbar harian ini akan terus laris di pasaran kerana masyarakat juga muak membaca berita sehala mengampu parti kerajaan sahaja seperti disiarkan akhbar-akhbar arus perdana”.

Adun Triang Leong Ngah Ngah pula dalam ucapannya menganggap Sinar Harian media yang neutral kerana boleh melaporkan berita pelbagai pihak dan cadangkan supaya mendapatkan pandangan daripada empat Adun Pakatan di Pahang.

“Jadi ada persefahaman tidak langsung antara Pakatan dengan pihak akhbar tuan-tuan dan ini saya anggap satu perkembangan yang baik. Saya cadangkan juga supaya wartawan Sinar Harian mendapatkan pandangan Adun-Adun Pakatan pada setiap kali selepas perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tanpa salah faham”.

Mohd Hanafiah pula yang berucap bagi pihak Sinar Harian memberitahu, akhbar yang berorientasikan perniagaan itu mengamalkan tujuh dasar iaitu jujur, telus, wibawa, adil, amanah, disiplin dan prihatin.

“Dengan slogan tersebut kami bebas daripada mana-mana kelompok politik dan wartawan kami tidak dibela oleh mana-mana wakil rakyat atau parti. Mereka bertindak sebagai wakil rakyat kecil bagi menyampaikan hasrat penduduk setempat”.

“Saya tawarkan kepada Pakatan Rakyat Pahang jika berhajat untuk melawat Karangkraf, iaitu penerbitan terbesar di negara ini dengan kakitangannya melebihi 1,500 orang”.

Monday, March 29, 2010

Pindaan Rukun Negara disokong



Oleh TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Gesaan Presiden PAS agar Rukun Negara dipinda bagi menyelaraskan dengan kehendak massa dengan menukarkan Kepercayaan Kepada Tuhan kepada Kepercayaan Kepada Allah sangat-sangat dialukan. PAS berpendapat bahawa penggunaan kalimah Allah lebih tepat bagi menggambarkan Tuhan yang sebenar; berbanding istilah Tuhan yang dapat diterjemahkan dengan pelbagai bentuk dan rupa. Keadaan ini tentunya bertentangan dengan konsep ketuhanan yang sebenar.


Allah sebagai Tuhan yang selayaknya disembah dan diimani sebagai Tuhan yang sebenar bukanlah satu istilah yang sensitif bagi golongan bukan Islam, kerana selama bertahun-tahun mereka juga menggunakan kalimah Allah dalam menyanyikan lagu-lagu rasmi kebanyakan negeri.Bahkan para pelajar khususnya menyanyikan lagu-lagu negeri ini dengan menggunakan istilah Allah, tanpa menimbulkan sebarang polimik, kerana itulah hakikat ketuhanan sebenar. Bahkan dalam kehidupan seharian istilah Allah digunakan oleh kalangan bukan Islam terutama dalam aspek penciptaan, kejadian, kehidupan dan kematian.

Gesaan Presiden PAS dilihat satu usaha bagi meletakkan Allah sebagai Tuhan yang dipercayai dan disembah, agar rakyat negara ini lebih merasai keperluan mempercayai Allah dalam kehidupan mereka. Hal ini dilihat dengan hanya menyebut kepercayaan kepada Tuhan lebih umum dan ianya dilihat tidak mendatangkan keperluan kita mengimani sebagai tumpuan utama dalam setiap aspek kehidupan. Akibatnya ramai dari anggota masyarakat tidak mengikuti arahan dan perintah Allah dalam kehidupan mereka. Meningkatnya gejala sosial, rasuah, penyelewengan, ketidakadilan sosial, dan lainnya adalah menifestasi tiadanya penghayatan kepada konsep ketuhanan yang diimani.

Kini sampailah masa seluruh anggota masyarakat melihat isu ini dengan lebih terbuka, ilmiah dan rasional bagi membina satu masyarakat yang menjadikan Allah sebagai asas kepercayaan. Diharap dengan membuat pindaan ini juga, sebarang polimik yang cuba dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu akan berjaya diatasi.

PR ada 'modal besar' untuk menang

SHAH ALAM: Pakatan Rakyat (PR) mempunyai ‘modal besar’ untuk mengekalkan kerusi Parlimen Hulu Selangor, antaranya prestasi Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang baik.

Pengarah Strategik PKR dan juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, prestasi Kerajaan Selangor membanggakan jika dibandingkan pentadbiran 50 tahun Barisan Nasional Selangor.

Menurutnya, pilihan raya pertama di Selangor merupakan ujian getir kerajaan PR Selangor kerana ia mampu menjadi batu pengukur sejauh mana kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan PR.

“Kita bukan sahaja mempunyai ‘modal’ yang besar untuk dipertaruhkan tetapi banyak isu yang melibatkan BN yang akan digunakan dalam kempen kali ini.

“PR tidak kisah siapa yang bertanding di pihak lawan, kerana kami yakin akan dapat mempertahankan kerusi tersebut,” katanya kepada kepada media semalam.

Sampai bila Felda aniayai peneroka?

MARAN: Cerita-cerita Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Felda menganiaya dan memperdaya para penerokanya tidak pernah habis-habis. Malah isu-isu yang bertambun melibatkan kedua pihak, masih jauh untuk cuba diselesaikan.

Walhal nama Felda gah hari ini adalah hasil titik peluh peneroka yang telah bergelumang selama setengah abad.

Terbaru, peneroka-peneroka Jengka 6 bangkit mempersoalkan status wang hasil peneroka yang ditahan sebanyak 20 peratus oleh pengurusan Felda di beberapa rancangan bermula Februari lalu.

Menurut kenyataan wakil peneroka, Daud Abas, sebagaimana yang disiarkan dalam akhbar Sinar Harian, sebelum ini laporan polis telah dibuat berkenaan wang tahanan 20 peratus yang tidak dipersetujui oleh peneroka memandangkan penahanan ini membebankan.

Menurutnya, namun tiada sebarang jawapan dan tindakan balas daripada pihak pengurusan Felda malah wang tersebut masih menjadi wang tahanan sehingga diserahkan pada hujung bulan di mana sebelum ini telah dipersetujui semua pihak bahawa pemotongan hanya RM50.

“Bermula Februari wang hasil peneroka dipotong RM50 bagi membiayai insurans ladang dan keceriaan kawasan kampung dan sebagainya dan ini tidak mendapat sebarang tentangan memandang itu merupakan tanggungjawab peneroka.

“Namun apabila melibatkan penahanan sebayak 20 peratus ini dirasakan membebankan malah laporan polis telah dilakukan namun tidak mendapat sebarang jawapan daripada pengurusan Felda sendiri seolah-olah memandang rendah kepada laporan yang dibuat,” katanya.

Daud berkata, peneroka mohon penjelasan daripada pihak Felda mengenai tujuan penahanan 20 peratus tersebut dan peneroka sendiri tidak bersetuju dengan penjelasan sebelum ini bahawa wang peneroka dipulangkan dalam bentuk wang ekor.

“Kita tidak mahu wang kepala atau wang ekor dan apa yang kita mahukan bayaran 100 peratus kerana bagi peneroka yang mengusahakan sendiri ladang, mereka tidak mempunyai sebarang hutang dengan pihak pengurusan Felda.

“Jadi tidak adil wang mereka turut ditahan dan sekiranya wang tersebut ditahan untuk tujuan bayaran hutang peneroka sememangnya tidak menolak tujuan tersebut cuma bagi yang tiada hutang ini menimbulkan keraguan pada peneroka,” katanya.

Menurutnya, wang tahanan tersebut sememangnya akan dikembalikan kepada peneroka setelah ditolak hutang namun lewat lebih dua minggu setelah hasil dijual dan ini tidak adil bagi peneroka yang tidak mempunyai hutang.

“Peneroka yang mengusahakan sendiri ladang terutamanya di Jengka 6 ini tidak mempunyai sebarang hutang Bayaran Kembali (BK) dan mereka juga telah bersetuju sebelum ini bahawa pemotongan hanya RM50 untuk tujuan insurans ladang, keceriaan dan sebagainya.

“Oleh itu, diminta penjelasan dan kembalikan sistem bayaran 100 peratus kepada peneroka memandangkan penahanan ini membebankan dan tidak mempunyai tujuan jelas terutamanya bagi peneroka yang mengusahakan sendiri ladang mereka,” katanya.

Bermasalahnya anak anda, sebab REMAJAnya

Oleh SYED HALEEM

Setiap hari, masyarakat dan media membicarakan masalah remaja, realitinya dan terkadang mencadangkan jalan penyelesaiannya. Ada yang menjadikan remaja sebagai "costumer" mereka untuk mengaut keuntungan.

Bila istilah "zaman remaja" diguna pakai dalam masyrakat, masalah yang berlaku akan bertambah dan semakin bertambah.

Cuba kita kembali melihat apa yang di gariskan oleh Islam kepada kita.

Zaman anak-anak- belum pandai menilai baik-buruk,
Zaman akil baligh - zaman memahami dan mempelajari nilai-nilai
Zaman baligh- - zaman melaksana kerja dan bertanggung jawab..

Bila menjejaki zaman baligh, Islam menjelaskan bahawa
setiap kita bertanggung jawab penuh, atas apa yang telah kita lakukan secara sedar.
Tidak seperti apa yang kita guna pakai harini, masih ada lagi kelonggaran dan tidak mengapa bagi mereka yang melakukan jenayah sebelum 18 tahun atau 21 tahun..iaitu "zaman remajanya". Sehingga mahkamah khas direka untuk mengiyakan atau separuh terima kesalahan-kesalahan itu. Hukuman juga di"adjust" untuk fitkan "zaman lalai ini"

Zaman remaja atau "zaman adjustment"nya terlalu panjang !!,

sampai ada antara kita merasakan dirinya masih remaja walaupun dah menjejaki umur 40 tahun, jadi ada yang masih "tolerate dengan kesalahan-kesalahan kecilnya" sendiri sampai kezaman umur 40'an.

Mari kita melihat panglima perang Islam , Usaamah yang disusun oleh Rasulullah SAW, dan Muhammad Al Faatih yang menakluk Istanbul dari kerajaan ROM . Mereka ini, telah memimpin angkatan perang ummatnya dalam umur 17 dan 18 tahun sahaja !

Ini bukan dongeng !!

Cuba kita tengok anak-anak kita yang berada pada lingkungan umur tersebut !!

Disebabkan tiadanya budaya bertanggung jawab ini, maka kita sendiripun merasakan yang anak-anak kita tidak layak memimpin pasukan yang sebegitu penting (.. jikapun ada pada waktu ini).

"Zaman remaja" tidak pernah diperkenalkan oleh Islam.
Ia ialah istilah dalam budaya barat yang membiarkan

kerehatan dan hedonism
berlaku dalam masyarakat mereka.

Ciri-ciri ini bila digunapakai dalam masyrakat kita, akan melemahkan seluruh ummat Islam. Bila lemah golongan "remaja", bereti lemahlah masa depan ummat tersebut. Ummat ini tak akan bangun jika generasi "remaja"nya terus lalai dan diracuni dengan berbagai jenis hiburan.
Ummat yang lemah ''remajanya" pasti tak akan bangun dalam 10 -15 tahun lagi. Dalam 15-20 tahun seterusnya, generasi lemah inilah yang akan mula mentadbir dan memimpin negara . Dan mereka ini, akan terus "menguna dan meneruskan kesalahan-kesalahan generasi remaja" berikutnya.

Mukaddimah terbaik untuk membantu mereka ini, dan masyarakat seluruhnya, adalah dengan membuang kalimah REMAJA yang telah banyak menipu kita dengan "zaman toleransi" nya.

Sunday, March 28, 2010

'Pelakon filem lucah' menang presiden MCA

KUALA LUMPUR, 28 Mac: Bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek menang jawatan presiden MCA hari ini, sekali gus menghidupkan semula kerjaya politiknya buat kali kedua.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula diumumkan timbalan presiden.

Sebelum ini kedua-dua mereka masing-masing merupakan timbalan presiden dan naib presiden.

Dr. Chua, 62, memperoleh 901 undi berbanding Ka Ting yang meraih 833 undi manakala Tee Keat di tempat tercorot dengan 578 undi.

Liow menerima 1,171 undi bagi mengalahkan bekas naib presiden dan rakan dalam Kabinet iaitu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha yang mendapat 1,106 undi.

Bagi jawatan naib presiden, calon wanita tunggal, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen memperoleh undi tertinggi iaitu 1,528, diikuti bekas Naib Presiden Datuk Donald Lim (1,469), Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung (1,202) dan anggota Jawatankuasa Pusat Gan Ping Sieu yang juga meraih 1,202 undi.

Ini merupakan satu kemenangan manis buat Dr Chua yang terpaksa bertarung dengan dua pesaing yang sangat berpengaruh, namun membuktikan bahawa beliau masih popular dalam parti meskipun berdepan pelbagai pergolakan.

Pada 2 Jan 2008, beliau melepaskan jawatan dalam Kabinet dan naib presiden MCA selepas mengakui beliaulah lelaki dalam video seks yang tersebar dengan meluas.

Dalam pemilihan parti pada Oktober 2008, beliau mengalahkan bekas Setiausaha Agung dan abang Ka Ting, Datuk Seri Ong Ka Chuan, bagi jawatan nombor dua parti.

Beliau terbabit dalam pertikaian kepimpinan dengan Tee Keat apabila beliau dipecat kerana mencemarkan imej parti berikutan video seks pada Ogos lalu.

Dr. Chua kemudian diterima semula sebagai anggota parti semasa mesyuarat agung luar biasa MCA yang turut meluluskan undi tidak percaya terhadap Presiden parti.

Berikutan itu, jawatan timbalan presiden dikembalikan semula kepadanya oleh Pendaftar Pertubuhan, yang sebaliknya menurunkan kedudukan Liow, yang telah pun mengisi jawatan timbalan presiden, kembali sebagai naib presiden.

Dr. Chua kemudian berdamai dengan Tee Keat untuk mewujudkan pelan “perpaduan lebih unggul” parti namun terus berdepan tentangan daripada Liow dan para penyokongnya, termasuk Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun, yang terus mendesak supaya diadakan pemilihan baru.

Pada 4 Mac lalu beliau meletak jawatan bersama-sama 21 anggota CC bagi memberi laluan kepada pemilihan baru yang diadakan hari ini, peletakan jawatan kedua beliau dalam tempoh dua tahun.

Sejumlah 2,315 daripada 2,377 perwakilan yang layak, melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi dalam pemilihan parti hari ini, jumlah tertinggi yang mengundi dalam sejarah parti berkenaan.

Seramai 101 calon bertanding pelbagai jawatan utama parti dalam pemilihan yang kali terakhir diadakan pada Okt 2008.

SENARAI PIMPINAN BARU MCA

PRESIDEN

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek - 901 undi

TIMBALAN PRESIDEN

Datuk Seri Liow Tiong Lai - 1,171 undi

NAIB PRESIDEN

1. Datuk Seri Ng Yen Yen (1,528 undi)

2. Datuk Donald Lim Siang Chai (1,469)

3. Datuk Chor Chee Heung (1,202)

4. Gan Ping Sieu (1,202)

ANGGOTA JAWATANKUASA PUSAT (CC)

1. Datuk Lee Chee Leong (1,430 undi)

2. Dr Hou Kok Chung (1,312)

3. Senator Heng Seai Kie (1,267)

4. Datuk Wee Jeck Seng (1,175)

5. Toh Chin Yaw (1,142)

6. Tee Siew Kiong (1,141)

7. Datuk Gan Tian Loo (1,117)

8. Datuk Seri Tan Chai Ho (1,114)

9. Datuk Seri Ong Ka Chuan (1,104)

10. Lee Wei Kiat (1,100)

11. Loh Seng Kok (1,086)

12. Hoh Khai Mun (1,077)

13. Datuk Liew Yuen Keong (1,059)

14. Tan Cheng Liang (1,054)

15. Koh Nai Kwong (1,040)

16. Dr Por Choo Chor (1,037)

17. Tan Ken Ten (999)

18. Kong Sing Chu (981)

19. Datuk Chong Itt Chew (975)

20. Yoo Wei How (974)

21. Tan Ah Eng (969)

22. Wong Koon Mun (953)

23. Datuk Ti Lian Ker (929)

24. Teh Kim Poo (864)

25. Chuah Poh Khiang (851)

~ Sumber

MalaysianInsider

Friday, March 26, 2010

Isteri Pesuruhjaya PAS Pahang Ke 5 kembali ke rahmatullah semalam

PEKAN: Isteri Pesuruhjaya PAS Pahang Ke 5 (1977- 1982 & 1984-1987), Allahyarham Tuan Haji Mohd Rusdi Ariff, Syarifah Akbal Hanum Syed Husin, kembali ke rahmatullah kira-kira jam 10 pagi semalam (25 Mac) di rumahnya di Ketapang, dekat sini.

Menurut adiknya Syed Anis kepada SelamatkanPahang, bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang pada era 1980-an itu menghembuskan nafas terakhir ketika sedang tidur di rumahnya.

Sebelum itu, pesara guru itu telah mendapatkan rawatan Amputasi di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 26 Februari lalu dan pulang ke rumah pada 14 Mac.

Beliau meninggalkan 8 orang cahaya mata.

Pemilihan MCA dan trend anti perkauman

Minggu ini, tidak ada yang lebih menarik perhatian seluruh negara melainkan pemilihan jawatan dalam MCA. Ahad ini, seramai 101 calon akan bertanding merebut jawatan tertinggi, iaitu antara yang teramai dalam sejarah pemilihan parti terbesar kaum Cina itu.

Namun yang paling diberi tumpuan ialah saingan tiga penjuru antara penyandang, Datuk Seri Ong Tee Keat, bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, dan bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting. Juga pertandingan merebut timbalan satu lawan satu antara dua bekas naib presiden iaitu Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Selebihnya merebut empat jawatan naib presiden dan 25 ahli majlis pusat (CC). Pemenangnya pula hanya akan berkhidmat setahun kerana penggal pemegang jawatan akan tamat tahun depan dan pemilihan baru akan diadakan semula.

Apabila sejarah tercipta kerana pertama kali seorang bekas Presiden kembali bertempur di gelanggang politik dalam misi menyelamatkan parti, ini sudah tentu membuktikan betapa tenatnya pergolakan yang berlaku dalam parti komponen kedua terbesar BN itu.

Sebenarnya kekalutan yang berlaku dalam parti tertua kaum Cina itu adalah rentetan hasil prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 8 Mac 2008, apabila 25 daripada 40 calon kawasan parlimennya kecundang. Pada peringkat negeri pula, MCA hanya menang 31 daripada 90 DUN yang dipertandingkan.

Penganalisis mengatakan ini merupakan kekalahan teruk parti itu semenjak bertanding dalam pilihan raya pertama 1955. Ironinya, kekalahan itu pula berlaku semasa Ong Ka Ting meneraju jawatan presiden.

Persoalan yang berlegar di kalangan orang ramai kini ialah apakah kemelut kepimpinan MCA akan berakhir seusai pertandingan ini? Apakah selepas itu MCA akan kembali mendapat kepercayaan majoriti orang-orang Cina?

Bagi Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah, apa sahaja keputusan pemimpin MCA yang ‘bergasak’ sesama sendiri ini parti perkauman itu sudah pecah sehingga bukan sahaja kehilangan kepercayaan orang Cina malah ahli-ahlinya sendiri.

Adun Triang itu meskipun daripada parti pembangkang, namun pendapatnya sudah tentu tidak semberono dan wajar diperhatikan kerana selama ini beliau telah lima penggal berturut-turut mewakili kawasan lebih 80 peratus majoriti kaum Cina.

“Memang setiap yang bertanding akan mengatakan membawa misi parti, namun pandangan ramai perjuangan mereka sekarang lebih kepada perjuangan kelompok atau team tertentu. Dan ini tidak dapat disanggah”.

“Satu perkara lagi yang mungkin tidak ramai menyedarinya, MCA itu sendiri sudah tidak relevan kerana orang Cina sudah membelakangkan politik perkauman”.

“Kalau diperhatikan sejarah penubuhan MCA, ialah bagi menangani agenda politik perkauman pada masa itu. Sebagaimana orang Melayu perlukan Umno untuk merdeka, begitulah juga orang Cina masa itu perlukan MCA untuk tujuan yang sama”.

“Tapi jika dilihat trend pengundian PRU 2008, rakyat Malaysia nak lihat orang Cina, Melayu dan India bersatu dalam tindakan. Ertinya politik perkauman 50 tahun dulu sudah tidak relevan lagi hari ini,” hujah Leong.

Jika dirujuk sejarah MCA yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949, ia sememangnya bagi menangani isu perkauman pada masa itu iaitu serentak dengan perjuangan orang Melayu dalam Umno dan akhirnya kedua-dua parti perkauman itu bersama MIC menubuhkan Perikatan.

Bagi Setiausaha DAP Pahang Choong Siew Onn pertanding merebut jawatan Presiden MCA Ahad ini hanyalah persaingan daripada tiga kelompok yang membawa agenda perjuangan berbeza.

“Sebenarnya sudah timbul perasaan muak di kalangan orang Tionghua kerana kesibukan pimpinan bertanding walaupun dibenarkan dalam sistem demokrasi. Namun umum melihat

hari ini pemimpin MCA sudah dilihat lari daripada prinsip perjuangan asal parti itu,” kata Adun Teras itu.

“Kalau dulu kepentingan masyarakat Tionghua yang diperjuangkan pemimpin ialah hak-hak pendidikan, ekonomi, kebajikan dan urus tadbir masyarakat luar bandar seperti Kampung Baru yang ketinggalan dan perlukan pembelaan, tetapi perjuangan MCA kini sudah tersasar”.

“Jadi tidak hairanlah masyarakat Tionghua pada PRU yang lepas mempamerkan protesnya secara besar-besaran,” jelasnya.

Apa-apapun, jelas di sini masyarakat Cina sudah terkehadapan meninggalkan politik perkauman yang dianggap primitif dalam sebuah negara berbilang kaum. Jadi menarik diperhatikan, bukan sahaja keputusan pertandingan MCA ini nanti, malahan juga apakah orang Melayu juga bakal ‘celik mata’ sehingga mahu menghumbankan politik perkauman pada PRU akan datang?

Thursday, March 25, 2010

Selamatkan Pahang alternatif kepada Sidang Online

Selama empat tahun laman sesawang SidangOnline beroperasi tanpa gangguan. Dan ketika itu sayalah pengendalinya bersama web master Ustaz Taufeeq. Sewaktu Pahangkini.net yang wujud Februari lalu belum ada, SidangOnline dianggap laman rasmi PAS Pahang khususnya bagi berita-berita.

Selain berita-berita kawasan, nasional dan bersifat negeri, saya juga menyelitkan beberapa artikel dalam pelbagai bidang. Sebabnya saya anggap ia umpama sebuah akhbar yang lengkap bacaannya dalam pelbagai bidang mengikut selera para pembaca. Ia juga bersifat penampung kepada tulisan-tulisan dan analisis daripada sahabat-sahabat, terutamanya dari Pahang.

Namun musibah datang hujung minggu lalu apabila SidangOnline diceroboh dan pengkalan datanya diserang sehingga laman tersebut tidak boleh diakses lagi. Pahangkini juga diceroboh, namun berjaya dibangunkan semula dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Lama saya bersama SidangOnline dan banyak kenangan bersama dengannya, dipuji, dicela, ditertawakan, menjadi rujukan dan seribu macam respons pelayar yang membacanya. Pada satu ketika sewaktu beberapa kes panas dipaparkan, hitsnya berupaya mencecah sehingga 700 ke 800 lebih sehari. Dan seperti biasa, jika tiada kontroversi, hitsnya menurun. Itu biasa.

Saya fikir tidak sewajarnya terus bernostalgia dengan masa lalu, lantas blog ini cuba dibangunkan bagi mengumpulkan kembali sisa-sisa dan puing-puing SidangOnline yang telah runtuh.

Mungkin SelamatkanPahang tidak mampu setanding SidangOnline, dengan banyak sebab, alasan dan popularitinya. Sudah tentu tidak enteng untuk memberitahu orang tentang wujudnya sebuah blog baru.

Namun ibarat kata pepatah 'tiada rotan akar pun berguna'. Maka blog ini akan cuba merealisasikan cita-cita PAS Pahang melalui penulisan membongkar kemungkaran yang bersarang di bumi Inderapura ini, dan pada masa yang sama mengajukan alternatif terbaik kepada rakyat di samping menyedarkan mereka bahawa khazanah negeri ini milik anak pribumi, bukan untuk isi poket atau harta pusaka Umno/BN.

Blog ini akan berusaha menyiarkan pelbagai kajian dan penyelidikan pelbagai bidang yang telah dilakukan oleh sahabat-sahabat. Saya usahakan sedemikian bagi menampung kelompangan yang ada berkaitan pelbagai isu yang melanda negeri ini. Sesuai dengan namanya Selamatkan Pahang, ia bermaksud negeri ini perlu diselamatkan daripada kedurjanaan tangan-tangan pemerintah yang telah sekian lama mencabul hasil mahsul negeri ini.

Blog SelamatkanPahang berusaha seupayanya merasionalkan hujah bahawa betapa perlunya negeri ini diselamatkan daripada kerakusan itu. Jika dalam tempoh waktu dan urusan itu wujud pelbagai kelemahan, maka anggaplah itu kelemahan saya semata-mata. Teguran dan kritik membina amat-amat diharapkan.

Akhirnya, wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamu'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.